Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSalman Sulaiman menyambung perbincangan tentang kepentingan ilmu dalam pembentukan jiwa dan nurani penulis pemula.
Masuk ke dalam dunia kepengarangan, walaupun “hanya” mahu menulis karya sastera atau disebut juga penulisan kreatif, tetap memerlukan kelengkapan asas dan utama, iaitu ilmu.
Perbincangan tentang ilmu tentu sahaja tidak lengkap tanpa memetik huraian paling menarik dan menyeluruh yang pernah dibuat. Huraian itu dikemukakan oleh Profesor Diraja Terpuji, Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Beliau merupakan antara ilmuwan terulung Nusantara, malah di peringkat dunia, yang mengungkapkan tentang makna ilmu dengan jelas dan terperinci dalam buku kecilnya yang sangat bermanfaat berjudul Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam:
Ilmu adalah suatu gerak-daya memperoleh pengetahuan dan merujuk kepada suatu sifat yang berada pada sesuatu (insan) yang hidup, yang membolehkan diri yang mengetahui itu mengetahui yang diketahui. Ilmu juga pengenalan terhadap yang dikenali sebagaimana adanya. Pengenalan ini pengenalan yang yakin tentang kebenarannya, dan merujuk kepada hikmah. Maka ilmu adalah sesuatu yang meyakinkan dan memahamkan dengan nyata. Mengenali dan mengetahui sesuatu itu adalah mengenali dan mengetahui sebab-sebab wujud dan keadaan sesuatu yang dikenali dan diketahui. Ilmu adalah gerak-daya memperoleh atau menghasilkan sesuatu menerusi tilikan akal – iaitu tilikan yang memandang hakikat sesuatu seperti adanya. Ilmu juga perolehan kalbu mengenai sesuatu, yang menggambarkan hakikatnya dengan secara tepat dan jernih, baikpun hakikat itu hakikat yang zahir di alam shahadah mahupun yang batin di alam ghaib. Ilmu adalah penetapan diri atau kalbu tentang kebenaran sesuatu sewaktu shak dan ragu-ragu timbul mengenainya. Ilmu itu kepercayaan yang teguh dan tiada berubah di dalam kalbu. Ilmu adalah suatu gerak-daya ke arah penjelasan, penetapan dan penentuan. Ilmu itu pengikraran terhadap kebenaran… .
Prof. Dr. Wan Mohd. Nor Wan Daud dalam bukunya, Budaya Ilmu: Konsep, Prasyarat dan Pelaksanaan di Malaysia (1989) pula menjelaskan tentang pentingnya sifat kritis dan berani dalam mencari kebenaran. Sifat tersebut datangnya daripada ilmu yang dimiliki; seperti tertera dalam petikan ini, “Satu lagi ciri budaya ilmu ialah keberanian untuk mencari kebenaran dengan memperbaiki hasil-hasil pemikiran manusia terdahulu. Sikap hormat kepada cendekiawan dan guru tidak membantut mereka untuk terus memperbaiki hasil-hasil pemikiran manusia terdahulu. Sikap hormat kepada cendekiawan dan guru tidak membantut mereka untuk terus memperbaiki hasil-hasil pemikiran manusia, walaupun guru mereka sendiri. Aristotle, ketika menyimpang daripada ajaran gurunya, Plato kerana mempunyai hujah yang lebih baik, dikatakan telah melafazkan formula keramat ini:
Walaupun kita menghormati Plato, tetapi kita juga menghormati kebenaran. Malah kita menghormati kebenaran lebih daripada Plato.
Dalam konteks seorang pengarang, tentu sahaja sangat penting untuk menjadi kritis serta berani mencari kebenaran dan berhujah (membaiki) pemikiran-pemikiran sebelum ini. Dengan adanya ilmu, maka baharulah mampu menjadikan pengarang itu berfikiran kritis dan juga berupaya berfikir dengan baik dan betul.
Tanpa ilmu, manusia tidak akan dapat menggunakan sepenuhnya akal yang dikurniakan oleh Allah SWT kepadanya.
Tugas mencari dan menuntut ilmu ini hukumnya wajib bagi seorang Islam. Tambah lagi jika seseorang itu ingin menjadi pengarang. Kerja hakikinya selain mengarang ialah menuntut ilmu. Malah menuntut ilmu itu perlu diletakkan pada hierarki tertinggi, utama dan lebih penting daripada mengarang. Menuntut ilmu nombor satu. Mengarang nombor dua.
Perihal kepentingan menuntut ilmu ini telah pun ditegaskan oleh Prof. Naquib al-Attas sejak sekian lama dalam satu daripada buku pentingnya, iaitu Konsep Pendidikan Dalam Islam (1994), “Sebagaimana manusia memiliki dwi-sifat, demikian pulalah ilmu terdiri dari dua jenis: yang pertama adalah berian Allah, dan yang kedua adalah ilmu capaian (yang diperoleh dengan usaha). Pada hakikatnya, dalam Islam, semua ilmu datang dari Allah, tapi cara kedatangannya – yaitu hushul dan wushul – serta fakultas-fakultas dan indera-indera yang menerima dan menafsirkannya secara berbeza.”
Para ulama dan ilmuwan Islam telah menunaikan tugas mereka memikul amanah ilmu. Prof. Dr. Mohd Nasir Omar memberikan sedikit rumusan tentang hal itu dalam bukunya, iaitu Gagasan Islamisasi Ilmu (2005), “Oleh yang demikian, mempelajari ilmu hikmah atau ilmu falsafah dianggap oleh kebanyakan hukama’ Islam sebagai tanggungjawab yang mesti dilaksanakan oleh mereka demi untuk mempertahankan warisan ilmu yang telah diilhamkan oleh Allah SWT kepada pelbagai etnik manusia dan sekali gus untuk mengemas kini skop dan kegunaan ilmu tersebut.”
Penulis dan ilmuwan terdahulu telah berjaya menggalas amanah sebagai pengarang sekali gus pemikir dan intelektual. Perkara yang menjadi persoalan perbincangan kita sekarang ialah pengarang dan penulis yang masih ada pada hari ini, juga penulis pemula yang baharu mengasah pena, yang sedang bercita-cita ingin menjadi pengarang.
Masuk ke dalam dunia kepengarangan, walaupun “hanya” mahu menulis karya sastera atau disebut juga penulisan kreatif, tetap memerlukan kelengkapan asas dan utama, iaitu ilmu. Tidak boleh tidak. Jika tidak mahu mengkaji, tiada minat akan dunia belajar dan menuntut ilmu serta malas membaca, maka dunia kepengarangan dan penulisan bukanlah bidang yang layak dan sesuai untuk anda.