Diterbitkan pada 20 Mac 2025, 16:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Salman Sulaiman menekankan peri penting seseorang pengarang itu untuk menjadi seorang ilmuwan sekali gus intelektual dengan mengutip beberapa sumber pandangan yang berautoriti dalam hal tersebut.

Sastera sebagai satu bentuk ilmu itu yang perlu dipegang oleh penulis yang ingin berjaya sebagai pengarang.

 

Memilih untuk menjadi pengarang sama ada mengarang karya ilmiah dalam bidang sejarah, sosiologi, politik, agama, budaya atau menulis karya kreatif umpama cerpen, sajak, novel dan skrip drama; adalah sekali gus memilih menjadi ilmuwan.

Pengarang perlu meletakkan dirinya sebagai seorang ilmuwan atau secara lebih tepat, seseorang pengarang mesti mewajibkan dirinya menjadi insan berilmu. Inilah syarat utama seorang pengarang sebenarnya.

Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya bertajuk Risalah Untuk Kaum Muslimin merumuskan makna seorang penyair (pengarang) Islam sebagai:

Jadi jelaslah bahawa penyair dalam Islam itu, sekiranya dia ingin menerapkan kesannya kepada masyarakat, haruslah juga melambangkan keislaman yang tulen dan mencerminkan ilmu yang benar, kerana sumber ilham yang menerbitkan rasa-cita luhur dalamnya adalah agama jua, dan bukan falsafah atau kesenian.

Al-Attas pada awalnya menerangkan tentang peranan penyair Islam sebagai penampung kebenaran dan penayang gambaran hakikat yang ditapis daripada renungan para filsuf, yang kemudiannya disebarkan kepada masyarakat sebagai falsafah awam untuk dijadikan panduan hidup.

Kata al-Attas lagi, yang memainkan peranan demikian kebiasaannya ialah para ulama sejati yang memiliki hikmat Ilahi dan dan ilmu hakiki mengenai Islam. Maka, jika ada penyair yang memainkan peranan tersebut, penyair tersebut juga kebiasaannya termasuk dalam golongan ulama sejati.

Jelaslah kepada kita bahawa seorang penyair Islam itu mesti menguasai ilmu dan perlu terlebih dahulu menjadi ulama sejati untuk menerapkan kesan kepada masyarakat bagi melambangkan Islam yang tulen dan bagi mencerminkan ilmu yang benar. Tidak dapat tidak, seorang penyair perlu terlebih dahulu menjadi insan yang cukup dengan ilmu pengetahuan, baharulah dia benar-benar lengkap sebagai penyair atau pengarang.

Tidak begitu jauh bezanya dengan pandangan yang dikemukakan oleh Ali Shariati seperti yang disimpulkan oleh Dr. Jalaluddin Rahmat dalam eseinya “Ali Shari’ati: Panggilan untuk Ulil Albab” yang dimuatkan dalam buku Warisan Shariati; bahawa dalam masyarakat Islam, seorang intelektual itu bukan sahaja memahami sejarah namun sanggup pula melahirkan gagasan analitis yang cemerlang. Seterusnya Dr. Jalaluddin mencatatkan lagi tentang ciri penting seorang intelektual, “Kata Shariati, ia harus juga menguasai ajaran Islam.”

Ciri yang sama ditegaskan oleh al-Attas sebelum ini tentang syarat sebagai penyair Islam. Maka dapat ditarik satu kesimpulan bahawa seseorang pengarang atau penyair itu bukan sahaja perlu menjadi seorang ulama sejati, namun mesti pula menjadi seorang insan ulil albab. Ulama sejati dan ulil albab ialah nama lain bagi seorang intelektual. Menjadi intelektual inilah yang merupakan syarat utama seorang pengarang atau penyair.

Mohd. Affandi Hassan pula, dalam bukunya, Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid tatkala menghuraikan berkenaan peranan penulis merumuskan dapatan yang hampir sama dengan intelektual lain sebelumnya.

Seorang insan pengarang itu mesti menjadi insan berperibadi mulia seperti saranan al-Quran dan perlulah memastikan tulisannya tidak melanggar batas syariah.

Selepas mengutip ayat-ayat al-Quran daripada dua surah yang merumuskan perihal isi kandungan karya yang luhur dan selaran al-Quran terhadap penulis bohong dan munafik, iaitu ayat 24 hingga 27 surah Ibrahim dan ayat 221 hingga 227 surah Asy-Syu’ara’, Affandi memutuskan begini:

“Intisari ayat-ayat dalam dua kutipan dari al-Quran ini jelas menunjukkan bahawa kaum penulis, dalam Islam, diwajibkan membentuk peribadi yang sempurna berasaskan konsep insan yang diajarkan oleh wahyu, dan pada waktu yang sama ia harus menentukan isi tulisannya tidak melanggar batas-batas syariah, dengan menjadikan konsep “kalimah tayyibah” sebagai pegangan dalam berkarya.”

Peribadi yang sempurna berasaskan wahyu dalam konteks seorang pengarang tentu sahajalah seorang pemikir atau intelektual sekali gus. Affandi kemudiannya menghuraikan berkenaan kepentingan ilmu dan kaitannya dengan insan pengarang secara lebih mendalam di bawah tajuk “Hakikat Ilmu dan Amal”.

Wan Mohd Nor Wan Daud menerangkan panjang lebar tentang kejayaan seseorang insan dan sesuatu bangsa itu adalah berasaskan ilmu dalam bukunya yang terkenal, Penjelasan Budaya Ilmu. Apatah lagi seorang insan pengarang, ilmu adalah asas utama kepengarangan dan setiap penulisannya. Mana mungkin seseorang insan itu akan berjaya menjadi seorang pengarang jika tanpa ilmu.

Manakala Syed Ali Ashraf dalam eseinya, “Prinsip dan Kaedah Islam di dalam Pengajaran Ilmu Kesusasteraan” yang dimuatkan dalam buku Falsafah Kesusasteraan dan Seni Halus membicarakan khusus berkenaan kesusasteraan sebagai satu bentuk ilmu.

Menurut beliau, “Kesusasteraan, dengan itu, adalah satu bentuk ilmu. Ilmu ini serpihan sifatnya tetapi ikhlas, tulus dan asli. Ianya dikatakan serpihan kerana ia hanyalah pengalaman individu akan realiti. Disebabkan individu itu hanya seorang manusia biasa maka pengalamannya tidak mungkin penuh dan sempurna. Hanya Allah menghakki ilmu yang sempurna. Namun, disebabkan pengalaman maju ke depan dan bertambah, maka ilmu ini pun menjadi maju dan meluas. Pengluasan dan pertambahan ilmu ini bermakna satu ‘ulang cipta diri’ kerana ilmu tentang apa saja yang di luar daripada diri adalah bertindak sebagai alat atau bahan bagi menjadikan sesuatu yang di luar daripada diri itu sebagai sesuatu yang sebahagian daripada diri. Adalah melalui proses kesedaran diri inilah maka manusia menjadi sedar tentang perhubungannya dengan Tuhan, dengan alam tabii dan dengan seluruh kejadian di mayapada ini. Di dalam diri inilah dhat manusia terkandung, iaitu satu dhat yang tentangnya difirmankan: “Aku telah meniupkan ke dalam dirinya daripada roh-Ku.””

Walaupun beliau lebih memaksudkan di sini bahawa ilmu itu ialah ilmu daripada pengalaman kehidupan manusia, namun penegasannya tentang sastera sebagai satu bentuk ilmu itu yang perlu dipegang oleh penulis yang ingin berjaya sebagai pengarang.

Penegasan ini membuktikan bahawa ilmuwan Islam juga telah lama mengiktiraf sastera itu sebagai satu bentuk ilmu. Ilmu tentu sajalah hanya mampu dan boleh ditulis oleh seorang yang bergelar ilmuwan. Oleh itu, seseorang yang ingin menceburkan diri dalam dunia kesusasteraan sebagai sasterawan perlu bersedia dengan ilmu.

Natijahnya, sasterawan mestilah sekali gus dalam masa yang sama perlu menjadi seorang ilmuwan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi