Diterbitkan pada 25 Mei 2026, 14:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Oleh: ‘Aien Muhtadi

Parit Buntar – Untuk menjadi penulis, seseorang haruslah bermula sebagai pembaca. Jika kita tiada masa untuk membaca, kita tidak akan beroleh alat untuk menulis. Hal ini dikatakan demikian kerana membaca itu sendiri secara tidak langsung akan menunjukkan jalan ke arah menulis.

Demikian kata Munsyi Sastera, Puan Salina Ibrahim, selaku pembimbing Program Bimbingan Pengkarya Muda 2026 peringkat daerah Kerian yang berlangsung di Pejabat Pendidikan Daerah Kerian, Perak, baru-baru ini.

Menjawab persoalan pelajar tentang kriteria cerpen yang baik, beliau berpendapat bahawa cerpen yang baik harus seimbang.

Menurutnya, antara aspek yang perlu diberi perhatian dalam penulisan cerpen termasuklah pemilihan idea, pengolahan cerita, penggunaan teknik dan keupayaan bahasa yang mampu menyerlahkan kekuatan karya itu sendiri.

Dari segi idea untuk berkarya pula, beliau mencadangkan pelajar memanfaatkan aspek kearifan tempatan di daerah masing-masing.

Sebagai contoh, daerah Kerian dikenali sebagai antara pengeluar padi terbesar dan beberapa kampung berhampiran pantai pula rancak dengan aktiviti nelayan.

Penduduknya pula terdiri daripada tiga kaum utama, iaitu Melayu, Cina dan India, dengan etnik Melayu Banjar yang agak sinonim di Kerian, sekali gus menyediakan pertembungan budaya, bahasa dan makanan yang menarik untuk diangkat dalam karya.

Peserta Program Bimbingan Pengkarya Muda 2026.

Beliau turut menyifatkan penerapan elemen tempatan dalam karya dapat membentuk identiti karya dan penulis. Tambahnya,

Penulis yang peka akan melihat aspek ini sebagai peluang untuk menonjolkan karyanya ke peringkat yang lebih tinggi.

Program Bimbingan Pengkarya Muda 2026 anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara dan Pejabat Pendidikan Daerah Kerian dihadiri oleh 66 orang pelajar dan guru pengiring yang mewakili 22 buah sekolah menengah dari seluruh Kerian.

Pengarah DBP Wilayah Utara, Encik Sharrul Rizal Hashim, dalam ucapan perasmiannya berpesan supaya pelajar memanfaatkan sepenuhnya peluang untuk mengenali bidang penulisan dan karya sastera, selain mengalu-alukan sebarang undangan kerjasama untuk dijayakan bersama dengan DBP.

Sementara itu, Perancang Bahasa DBP Wilayah Utara, Encik Zainal Abidin Mohd Zin turut memperkenalkan pelantar digital WadahDBP kepada pelajar dan guru yang dapat dijadikan platform berkarya serta dapat digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Kredit Foto: Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi