Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPagoh – Keunikan budaya dunia berjaya diketengahkan menerusi program LensaRaya 2026 yang berlangsung meriah di Kafe Mahallah Zaid bin Harithah dan Bilik Aktiviti Pelajar 2 pada 15 Mei lalu.
Program ini dianjurkan oleh pelajar jurusan Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa daripada Kulliyyah Pelancongan Lestari dan Bahasa Kontemporari (KSTCL) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kampus Pagoh bagi kursus BMCO 2101 Komunikasi Antarabudaya.
Program ini bertujuan untuk mewujudkan peluang interaksi silang budaya, memupuk suasana pembelajaran yang inklusif dan kolaboratif, meningkatkan kompetensi antarabudaya serta menggalakkan pelibatan kreatif melalui ekspresi budaya.
Selaras dengan tema “Lensa Identiti Budaya Berevolusi”, program ini berjaya menonjolkan elemen kebudayaan yang menggabungkan identiti budaya yang berevolusi bagi setiap negara yang dipilih.
Sebanyak 13 buah negara telah diperkenalkan melalui dekorasi reruai, persembahan budaya, pakaian tradisional, permainan, bahasa serta informasi berkaitan dengan budaya negara masing-masing.
Pertandingan reruai terbaik dari segi dekorasi dan pembentangan turut diadakan bagi menilai kreativiti serta penghayatan peserta terhadap identiti budaya negara yang dipilih.

Pensyarah dan penyelia program LensaRaya 2026, YBrs. Dr. Arina Johari berkata, program ini merupakan platform yang mampu memberikan pendedahan secara langsung kepada pelajar tentang kepentingan komunikasi antarabudaya dalam kehidupan global masa ini.
Beliau berharap agar program sebegini dapat melahirkan pelajar yang lebih terbuka, kreatif dan menghargai kepelbagaian budaya masyarakat dunia.
Pengarah Pengurusan LensaRaya 2026, Ahmad Fauzan dan Sharifah Umi Syahirah pula menyifatkan program ini bukan sahaja memberikan peluang kepada pelajar untuk mempromosikan budaya negara yang dipilih, malah membantu meningkatkan keyakinan diri, kemahiran komunikasi dan semangat kerjasama dalam kalangan mahasiswa.