Diterbitkan pada 18 Mei 2026, 15:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Oleh: Ahmad Naqib Aslam Ahmad Zainuddin

Yan – Program SULAM BCLCIM: Dari Idea ke Gagasan Ideal memberikan peluang kepada pelajar mengaplikasikan ilmu kepengarangan kreatif dan memupuk nilai kemasyarakatan.

Program ini dianjurkan oleh pelajar Ijazah Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif (BCLCIM) melalui kursus Gagasan Kepengarangan Karya Kreatif (SBLSK2043) di Kampung Aceh, Yan, Kedah, 16 Mei lalu.

Tujuan program ini diadakan adalah untuk memperkukuh hubungan antara universiti dengan komuniti setempat melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman.

Sebanyak 30 orang pelajar bersama dengan dua orang pensyarah pengiring bertolak dari Universiti Utara Malaysia (UUM) seawal jam 7.00 pagi sebelum tiba di Kampung Aceh sekitar jam 8.30 pagi.

Program dimulakan dengan aktiviti penyediaan makanan tradisional Aceh. Majlis kemudiannya diteruskan dengan sesi perasmian oleh Dekan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, UUM.

Para pelajar yang dibahagikan kepada beberapa buah kumpulan turut menjayakan pameran infografik mengenai tokoh penulis kreatif Kedah yang terpilih.

Mereka mengetengahkan pemikiran tokoh-tokoh sastera negeri itu serta sumbangannya kepada komuniti.

Pameran infografik tentang tokoh penulis kreatif Kedah terpilih.

Program tersebut turut diserikan dengan acara kenduri rakyat bersama-sama penduduk kampung sekitar tengah hari.

YBrs. Dr. Mohd Haniff Mohammad Yusoff, pensyarah kursus SBLSK2043, berkata bahawa program seumpama ini mampu memperluas pemahaman pelajar tentang realiti masyarakat, di samping menginterpretasikan pengetahuan yang diperoleh dan mengasah kemahiran insaniah mereka.

Beliau berharap agar kerjasama antara universiti dengan komuniti setempat dapat diteruskan melalui lebih banyak program berimpak tinggi pada masa akan datang.

Program di bawah inisiatif Service Learning Malaysia University for Society (SULAM) ini menjadi medium untuk memupuk nilai kemasyarakatan, kepemimpinan dan kerjasama dalam kalangan mahasiswa.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi