Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangOleh: Nur Afiqah Dayana Mohamad Roshidan
Pagoh – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh melalui Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari (KSTCL) telah menganjurkan program Tunas Khalifah: Wacana Aspirasi Cilik Madani bagi memperkasakan elemen kepimpinan dalam kalangan pemimpin cilik tahap dua, Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Keroma Darat, Muar, Johor.
Program yang berlangsung di Studio Kuliah B4, KSTCL ini melibatkan 19 orang pelajar daripada Program Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa yang mengambil kursus BMCO 2107 Pragmatik dan Wacana dengan penyertaan sebanyak 80 orang pemimpin cilik.
Dalam ucapan perasmian, YBrs. Dr. Arina Johari selaku penasihat program berharap agar kolaboratif antara pelajar universiti dengan pihak sekolah ini dapat melahirkan pemimpin yang bukan sahaja bijak dari segi intelek, malah memiliki kecerdasan emosi yang tinggi pada masa akan datang.
Sepanjang program berlangsung, murid didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang mampu mencungkil potensi kepimpinan, membina jati diri dan memupuk semangat kerja berpasukan menerusi empat modul utama, iaitu “Aku Pemimpin, Bukan Sekadar Jawatan”, “Bersuara dengan Hikmah, Bertindak dengan Adab”, “Pemimpin MADANI: Buat Keputusan, Bukan Ikut Perasaan” dan “Dari Cilik ke Madani: Aku Boleh Pimpin”.

Murid yang terlibat rata-rata memberikan maklum balas yang positif serta menyifatkan program ini sebagai satu pengalaman yang menyeronokkan kerana elemen belajar sambil bermain yang diterapkan dalam setiap slot telah berjaya menarik minat mereka.
Pengurus program, Muhammad Arif Hafidzudin Mohd Amir menegaskan bahawa pelaksanaan program ini berupaya membina karakter serta jati diri murid SK Parit Keroma Darat sebagai persediaan menjadi pemimpin dinamik yang memiliki kemahiran komunikasi dan nilai tanggungjawab, sekali gus melahirkan generasi yang berintegriti, beradab serta berwibawa.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Parit Keroma Darat, Puan Halimah Md Saru, menyambut baik inisiatif ini dan menyatakan bahawa keinginan utama sekolah adalah untuk memastikan input kepimpinan ini tidak terhenti di sini sahaja.
“Saya berharap agar modul yang dipelajari dapat dipraktikkan secara berterusan dalam tugasan harian seseorang pemimpin di sekolah, seterusnya mengangkat martabat sekolah dalam usaha melahirkan pemimpin yang berkualiti,” ujarnya.