Diterbitkan pada 22 Mei 2026, 15:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Oleh: Mohamad Aidil Adha Rozkamarul Affendi

Serdang – “Cerpen merupakan cinta pertama manakala puisi pula cinta yang datang lewat, namun menempah tempat sebagai cinta teragung yang membuka dimensi zaman awal dewasa,” ujar Puan Ainunl Muaiyanah Sulaiman ketika berkongsi pengalamannya dalam Program Bimbingan Penulisan: Proses Kreatif Karya Terpilih (Siri VII).

Program yang berlangsung di Auditorium Za’ba, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) ini dijalankan oleh pelajar Bacelor Sastera Kesusasteraan Melayu dengan Kepujian, melalui Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM dan Kelab Alumni Minggu Penulis Remaja (MPR) dengan kerjasama Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Beliau yang juga seorang editor berkongsi pengalamannya menulis cerpen dan puisi dari pelbagai sudut pandangan, baik sebagai pembaca, editor mahupun penulis.

Menurut beliau, sastera dan perkataan telah menyelamatkannya dalam perjuangan genre cerpen dan puisi.

Beliau menyatakan bahawa rasa cinta perlu dipupuk terlebih dahulu sebelum seseorang berkarya atau meminati sesuatu genre sastera. Baginya, sesebuah karya yang mampu memberikan kesan yang mendalam dan bermanfaat kepada pembaca lahir daripada rasa cinta tersebut. Tambahnya,

Sesebuah karya yang terbit bermula dengan posisi sebagai seorang pembaca kerana dari situlah kita mengenali dunia yang dapat diketahui melalui pembacaan tanpa perlu merasainya secara alami.

Beliau turut berkongsi bahawa pencapaian dalam bidang penulisan bukanlah suatu cita-cita yang diimpikan sejak kecil memandangkan beliau merupakan graduan bidang sains biologi dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Puan Ainunl Muaiyanah berkongsi pengalamannya dengan para peserta.

Sementara itu, Profesor Madya Dr. Kamariah Kamarudin, penasihat program merangkap pensyarah Kursus Novel Melayu berkata, hampir keseluruhan kisah perjalanan penulis berkait rapat dengan kariernya sebagai seorang pensyarah dan penulis.

Beliau turut menzahirkan rasa kesyukuran kerana berpeluang bertemu dengan Ainunl Muaiyanah, editor bukunya yang berjudul Kumpulan Cerpen Catatan Cinta Anakanda Bonda.

Program ini merupakan sebahagian daripada aktiviti Kelab Alumni MPR yang diadakan dengan kerjasama FBMK UPM sejak Januari lalu. Antara penceramah yang terlibat pada siri terdahulu termasuklah Salina Ibrahim, Lutfi Ishak, A. Muziru Idham Adnan, Hafizah Iszahanid, Nisah Haron dan Dr. Fahd Razy.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi