Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangNilai – Peserta dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Timor-Leste dan Pejabat Daerah dan Tanah Rembau dinobatkan sebagai juara kategori masing-masing dalam Sayembara Puisi Pentas Dunia (SePENA) 2026 yang berlangsung dari 20 hingga 22 Mei di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Pengumuman itu dibuat dalam Majlis Perasmian dan Penyampaian Hadiah Suara Rumpun Puisi Nasional (SERUMPUN): Sayembara Puisi Pentas Dunia (SePENA) 2026 di Dewan Kuliah Utama, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM, semalam.
Mahasiswa UPSI, Nik Fateeha Syuhada Imran dan Ammar Wazif Mahmud muncul sebagai juara bagi kategori pelajar tempatan, manakala Chelsea Milagrosa Cilda Pires Guterres, mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berasal dari Timor-Leste menjuarai kategori pelajar antarabangsa.
Menariknya, SePENA kali ini juga dibuka kepada penjawat awam yang berkhidmat di Negeri Sembilan dengan menyaksikan Puan Asnizan Muksin dari Pejabat Daerah dan Tanah Rembau menjadi juara kategori tersebut.
Selain hadiah wang tunai, setiap pemenang turut membawa pulang buku, piala, cek cura dan sijil pemenang.

Bagi kategori pelajar tempatan, gelaran naib johan disandang oleh Amuddin Saifudin Zulqurnain dan Ahmad Afif Hakimi Abdul Mukim mewakili UMS, manakala tempat ketiga menjadi milik Naurah Mursyidah Naili Nasir dan Nik Faruqi Naim Mohd Fauzi dari USIM.
Bagi kategori pelajar antarabangsa pula, Hanifah Amalia Zahra dari Indonesia yang mewakili USIM muncul sebagai naib johan, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Aisyah Hanin Nursiwi dari Indonesia yang mewakili Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Sementara itu, bagi kategori penjawat awam, Encik Muhamad Shah Amirul Moktar dari Pejabat Daerah dan Tanah Rembau merangkul gelaran naib johan, manakala tempat ketiga menjadi milik Puan Ainnatun Nadrah Mansor dari Pusat Penerbitan USIM.

Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai dalam ucapan alu-aluan berkata, usaha penganjuran SePENA 2026 ini amat signifikan untuk memastikan kesinambungan warisan kesusasteraan Melayu terus subur dan dihargai oleh generasi muda. Tambahnya,
Penyertaan yang melibatkan mahasiswa tempatan, antarabangsa dan penjawat awam ini memperlihatkan bahawa puisi masih mempunyai tempat yang istimewa dalam masyarakat dan mampu menjadi jambatan yang menyatukan pelbagai lapisan komuniti.
Dalam ucapan perasmian, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, YBrs. Profesor Dr. Mushaddad Hasbullah menyifatkan SePENA bukan sekadar sebuah pertandingan seni bahasa, tetapi merupakan medan pertemuan jiwa, pemikiran dan peradaban melalui kekuatan kata-kata.
Beliau turut mengumumkan pelantikan Sasterawan Negara, YBhg. Dato’ Rahman Shaari sebagai Ikon SePENA 2026.
Pelantikan ini merupakan satu tanda penghargaan dan pengiktirafan atas jasa, sumbangan serta komitmen beliau yang tidak pernah jemu dalam usaha memperkasakan seni, budaya dan bahasa Melayu pada peringkat universiti, nasional dan antarabangsa.

Sayembara yang dianjurkan oleh Pusat Kebudayaan USIM melalui Kelab Penerbitan Kreatif dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) serta Pusat Zakat dan Wakaf USIM ini menyaksikan penyertaan daripada 15 buah institusi pengajian tinggi tempatan yang melibatkan peserta dari lapan buah negara, termasuklah Malaysia, Indonesia, Yaman, Timor-Leste, China, India, Bangladesh dan Tanzania.