Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Usaha memperkenalkan kembali karya tokoh puisi tanah air kepada generasi baharu direalisasikan menerusi Majlis Pelancaran Buku Siri Tokoh Puisi dan Wacana Ilmiah Karya Tokoh Puisi hasil kerjasama antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Penerbitan Kata Pilar (M) Sdn. Bhd., di sini, hari ini.
Majlis yang berlangsung di Sudut Karyawan (Stor Teater), Wisma DBP ini menyaksikan pelancaran empat naskhah buku siri tokoh puisi.
Antaranya termasuklah buku Wanita itu Siapa Namanya? (SN A. Samad Said), Bulan Pecah di Tengah Hari (Abdul Ghaffar Ibrahim), Taman Insaniah (YBrs. Dr. Shamsudin Othman) dan Menggarami Ombak (J.M. Aziz).
YBrs. Dr. Fahd Razy yang mewakili Penerbitan Kata Pilar (M) Sdn. Bhd. dalam ucapan alu-aluannya berkata, projek yang dimulakan sekitar tahun 2022 itu merupakan inisiatif untuk memasyarakatkan karya-karya terpilih tokoh puisi tanah air agar lebih mudah diakses khalayak, khususnya generasi muda.
Mengulas tentang sesi Wacana Ilmiah Karya Tokoh Puisi, beliau menyatakan bahawa pihak penganjur menampilkan panel yang terdiri daripada generasi muda bagi melihat semula karya tokoh lama melalui perspektif baharu.
“Tiga orang panel, iaitu YBrs. Dr. Haniff Zikri, Jack Malik dan Wan Nor Azriq juga merupakan penyusun buku siri tokoh puisi ini. Kita mahu mengetahui alasan mereka memilih karya tertentu dan sebab karya itu mewakili tokoh yang dipilih,” katanya.
Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari dalam ucapan perasmiannya pula berkata, antara perkara yang mahu diperkasakan sejak beliau dilantik menerajui DBP termasuklah pewacanaan sastera.
Menurut beliau, sekitar tahun 1990-an hingga awal 2000-an, pelbagai wacana sastera giat dianjurkan oleh pihak universiti dan DBP, namun kegiatan tersebut semakin berkurangan.
“Kita perlu meningkatkan semula penganjuran wacana sastera ini. Tanpa adanya wacana tersebut, karya sastera akan mati. Apabila karya diwacanakan, maknanya karya itu hidup, pengarangnya diingati dan akan berlaku percambahan pemikiran baharu yang dapat meningkatkan mutu penghasilan karya seterusnya,” tambahnya.
Beliau turut mengalu-alukan kerjasama daripada pelbagai pihak, termasuk syarikat swasta untuk bersama-sama menganjurkan program pewacanaan sastera.
Majlis perasmian diserikan dengan gimik penandatanganan kanvas oleh YBrs. Dr. Hazami Jahari sebelum sesi penyampaian naskhah buku kepada para penulis dan ahli panel.

Persembahan istimewa oleh Mosyuki Borhan yang mendeklamasikan empat buah puisi karya tokoh-tokoh yang diraikan turut memeriahkan suasana.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan sesi wacana yang membicarakan empat buah karya puisi terpilih. Ahli panel wacana terdiri daripada YBrs. Dr. Mohamed Nazreen, YBrs. Dr. Haniff Zikri, Jack Malik dan Wan Nor Azriq.

Turut mencuri perhatian ialah persembahan aforisme oleh Abdul Ghaffar Ibrahim (AGI) dan persembahan puisi oleh YBrs. Dr. Shamsudin Othman.