Diterbitkan pada 15 Mei 2026, 17:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Saya melihat puisi-puisi Pak Samad dipandu oleh naratif, dramatik, ada elemen cerita dan sangat reaktif. Pak Samad sentiasa hendak memberikan pendapat,” ujar Wan Nor Azriq ketika menyatakan pengalamannya menyelenggara buku siri Tokoh Puisi terbaharu terbitan KataPilar bertajuk Wanita Itu Siapa Namanya?.

Sebelum buku terbaharu Pak Samad tersebut, Azriq telah berpengalaman menyelenggara buku puisi penyair terkemuka negara lainnya termasuklah Usman Awang, T. Alias Taib dan Muhammad Haji Salleh. Namun, antara penyair-penyair itu, puisi-puisi Pak Samad lah yang paling mencabar untuk diselenggara.

Buku selenggaraan inilah yang paling lama bagi saya. Puisi Pak Samad terlalu banyak, pelbagai topik dan ada fasa tertentu dalam penulisan puisinya.

Azriq turut menyatakan kaedahnya yang tersendiri apabila menyusun buku ini. Beliau “memulakan tugasnya” dengan menganggap dirinya sebagai pembaca baharu. Hal ini penting kerana tujuan penerbitan buku ini adalah untuk memperkenalkan penulis lama kepada pembaca baharu. Ujarnya,

“Saya juga perlu melihat fasa kehidupan seorang penyair. Saya mencari pattern ataupun persamaan dalam puisi-puisi tersebut. Saya juga mencari ‘apa’ yang unik.”

Beliau merangka buku puisi tersebut kepada tiga bahagian. Bahagian pertama melibatkan puisi-puisi awal Pak Samad yang seringnya berkaitan dengan ibu, nenek dan kehidupan Pak Samad di Melaka. Bahagian kedua pula disusun mengikut puisi Pak Samad yang lebih bersifat epik dan kemasyarakatan, manakala bahagian ketiga pula lebih bersifat renungan dan kembara.

Wan Nor Azriq ketika menjelaskan tentang kaedah beliau menyusun puisi Pak Samad.

Menyentuh tentang keunikan puisi, beliau berpendapat bahawa Pak Samad sentiasa konsisten dengan gaya bahasanya.

Puisinya puisi lirik, kemas dan elok serta berani untuk mencuba menulis puisi yang formal.

Selain itu, Azriq turut menyatakan bahawa dengan adanya penerbitan sebegini, maka pembaca dapat memberi keadilan kepada penyair, melihat keragaman puisinya dan memberi dimensi baharu terhadap sasterawan.

Kita menemui suara kita melalui penyair lama. Ada naratif yang tersembunyi di dalamnya.

Buku terbaharu Siri Tokoh Puisi karya A. Samad Said, J.M. Aziz dan Abdul Ghafar Ibrahim (AGI) terbitan KataPilar.

Menerusi siri tokoh puisi ini, KataPilar turut menerbitkan kumpulan puisi Bulan Pecah di Tengah Hari karya Abdul Ghaffar Ibrahim dan Menggarami Ombak karya J.M. Aziz. Wacana Ilmiah Karya Tokoh Puisi yang berlangsung pagi tadi di Sudut Karyawan (Stor Teater) Wisma DBP turut menampilkan YBrs. Dr. Mohamed Nazreen, YBrs. Dr. Haniff Zikri dan Jack Malik.

 

Kredit Foto: Syafiq Selamat
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi