Diterbitkan pada 14 Mei 2026, 16:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Ketil – Forum Inkspiration Talk yang diadakan di Dewan Eksperimen Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) membuktikan bahawa pena masih mempunyai kuasa besar untuk membentuk masa depan generasi muda, sama ada melalui karya sastera mahupun tulisan ringkas dalam media sosial.

Program anjuran Majlis Pimpinan Universiti Rakan Siswa YADIM UniSHAMS ini menjadi tempat percambahan idea dan inspirasi kepada hampir 200 orang peserta daripada pelbagai institusi yang menghadiri program tersebut, 8 Mei lalu.

Para peserta yang menghadiri Forum Inkspiration Talk.

Program tersebut menampilkan dua panel utama, iaitu Dr. Husairi Hussin, Pensyarah Bahagian Kesusasteraan, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Encik Azri, wakil Majlis Pimpinan Tertinggi Rakan Siswa YADIM 2026. Turut bersama sebagai moderator, Puan Fasiha, Da’ie Muda YADIM 2024.

Dengan mengangkat tema kepemimpinan, penulisan dan pengaruh media sosial terhadap generasi muda, moderator memulakan sesi dengan satu pertanyaan yang menyentuh dunia kreatif penulisan:

Bayangkan sehelai kertas putih yang kosong. Di mata seorang pencinta sastera, bagaimanakah kita ingin mula menari dengan pena supaya setiap perkataan itu bukan sekadar dibaca tetapi ‘dilihat’ dan ‘dirasakan’ oleh hati pembaca?

Dr. Husairi Hussin menegaskan bahawa penulisan yang istimewa lahir daripada kejujuran emosi dan kepekaan terhadap kehidupan di sekeliling kita.

Menulis bukan sekadar menyusun ayat yang cantik atau sedap untuk dibaca. Penulis perlu belajar melihat dunia dengan hati. Apabila kita menulis tentang hujan, pembaca bukan hanya nampak air yang turun, tetapi mereka perlu dapat merasakan dingin, kesepian dan kenangan yang dibawa oleh hujan.

Beliau turut berkongsi bahawa kekuatan karya lahir daripada keberanian penulis menyentuh sisi kemanusiaan yang dekat dengan masyarakat terutama melibatkan pengalaman sendiri.

Tulisan yang hidup ialah tulisan yang ada jiwa. Kadangkala satu ayat yang jujur lebih kuat daripada seratus ayat yang terlalu mahu kelihatan bijak.

Moderator dan ahli panel bersama-sama peserta Forum Inkspiration Talk.

Sementara itu, Encik Azri pula menyentuh cabaran generasi muda pada era media sosial yang pantas dan serba ringkas.

Pada hari ini, orang membaca dalam tempoh beberapa saat sahaja. Namun, ringkas tidak bermaksud kosong. Anak muda perlu belajar memasukkan roh kemanusiaan dalam setiap hantaran media sosial mereka. Satu kapsyen yang baik seperti nasihat dapat menjadi pemula perubahan.

Beliau turut menegaskan bahawa media sosial seharusnya digunakan sebagai medan membina masyarakat, bukannya sekadar ruang mengejar populariti semata-mata.

Sesi soal jawab antara peserta dengan ahli panel.

Pada akhir sesi forum ini, Dr. Husairi menjelaskan bahawa penulis perlu mempunyai disiplin asas, namun tidak boleh terlalu terikat sehingga membunuh kreativiti.

Beliau menggariskan tiga elemen penting untuk penulis muda, iaitu banyak membaca, memerhati dan menulis (berani) dengan jujur untuk berkongsi pengetahuan kita.

Encik Azri pula menyifatkan penulisan sebagai motivasi kepada diri dan bermanfaat kepada khalayak.

“Penulis muda perlu ada sistem fikir yang jelas seperti untuk apa, mengapa dan siapa dalam penulisan kita. Apabila tujuan itu jelas, tulisan akan mempunyai kekuatan tersendiri,” tambahnya.

Antara peserta yang menghadiri program ini termasuklah pelajar daripada UniSHAMS, Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin, Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Sultan Abdul Halim, Sekolah Menengah Agama Yayasan Al-Khairiah, Baling serta pelajar-pelajar sekolah di sekitarnya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi