Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangRoslan Jomel melihat “permata” Sasterawan Negara Mana Sikana yang sentiasa kemilau dan terus menerangi.
_________________________________________
‘‘Saya tidak melihat diri saya sebagai pengarang berjaya. Perkataan kejayaan itu aneh buat saya, kerana penulisan bukannya tentang pencapaian atau pengiktirafan, tetapi tentang memahami dunia dan diri sendiri.’’ – Arundhati Roy
Terlebih dahulu diucapkan tahniah kepada Mana Sikana atas pengiktirafan sebagai Sasterawan Negara. Segala kerja keras menggali teori sastera klasik dan mutakhir akhirnya dibalas. Nama beliau disusun sebaris dengan penerima Sasterawan Negara sebelumnya. Sebagai peminat sastera dan pemikiran, sudah tiba masanya buku-buku dan gagasan pemikiran beliau dihayati. Dan sudah tentu ada alasan yang kukuh daripada barisan panel mengapa Mana Sikana wajar diangkat sebagai tokoh persuratan. Bukan personaliti yang dinilai, namun kepiawaian karya yang menjadi subjek kajian.
Semasa bertentangan muka dengan beliau di Stor DBP pada 18 September 2020, intuisi saya menyatakan bahawa inilah individu yang sudah sepatutnya dijulang sebagai Sasterawan Negara. Dari muda hingga terpaksa bertongkat, obsesifnya terus melekat pada sastera dan pemikiran teori sastera. Daripada aliran eksistensialisme yang serba galau hingga kembali kepada ta’abbudiyah. Dimaklumi umum, beliau bagaikan ensiklopedia teori-teori sastera. Tidak semua mengerti bahasa konotatif dan ungkapan pemikiran dalaman seseorang sasterawan. Kabur, tinggi, berlapisan dan mengundang pelbagai tafsiran. Hanya apabila berdepan dan berbual-bual dengannya, maka terserlah sifat fitrah manusia seseorang.
‘‘Jemputlah ke rumah, kalau hendak belajar teori sastera dari saya,’’ usik beliau.
Terimbas saya pada siri pertelingkahan hangat beliau dengan tokoh kritikawan dalam majalah Dewan Sastera suatu ketika dahulu yang dikuti dengan penuh minat dan ghairah. Berdesing telinga sewaktu membacanya, saling berbalas hujah dan disampaikan dengan analogi yang sungguh berseni dan sinikal. Berupa perbincangan panas, persoalan falsafah, disiplin penulisan, etika seseorang pengarang beragama Islam dan kekeliruan tujuan makna kesusasteraan. Nama Syed Muhammad Naquib al-Attas dipetik seiring dengan buku-buku tulisan Jean-Paul Sartre, Albert Camus dan Samuel Beckett. Perseteruan klasik yang menggoncang makna dan akar sastera. Pihak manakah yang benar dan perlu diikuti serta menjadi pegangan? Sastera menurut kaca mata Islam atau sastera yang bertunjangkan tragedi Barat?
Namun begitu, banyak pengetahuan dan ilmu bantu diperoleh, jika masih waras dan neutral, di tengah-tengah bara tulisan yang sambung-menyambung. Nuansanya tegang, seperti melalui medan peperangan. Pada sudut yang lain, horizon kesusasteraan menjadi lebih luas, kompleks, canggih dan beralun-alun dengan aneka pengolahan naratif. Debat dalam bentuk teks sedemikian sudah mulai mengendur pada masa kini. Bersama-sama dengan SN Muhammad Haji Salleh, Mana Sikana membentangkan tekstur esei sastera yang utuh dan berautoriti. Bukan tulisan yang mendatar dan kaku, tidak lagi sekadar ulasan selapis, cedokan kata-kata dari berbilang tokoh dan buku, tetapi suatu kedewasaan penulisan yang berpijak pada ketinggian darjah sastera itu sendiri.
“Menikam dalam seni”, kata orang.
Terus terang, saya berhutang kebijaksanaan dengan dua orang tokoh akademik ini dalam penulisan esei agar tidak tersasar emosional dan dangkal ketika menulis. Sudah banyak contoh penulisan diterbitkan tetapi tidak menyumbang kecerdasan akal dan hikmah kemanusiaan yang kononnya sinonim dengan sasterawan. Atau tulisan-tulisan yang tebal dengan salutan madu dari pangkal sampai hujung perbincangan sehingga apa-apa yang benar dan lompang pada sesebuah naskhah lindap di balik limpahan pujian. Sarjana seumpama Mana Sikana hadir dengan penulisan serius, ilmiah dan analitik dalam usaha membedah, menyingkap dan meletakkan kedudukan naskhah secara adil. Tiada kompromi. Itulah perkara yang sepatutnya dilakukan.
Menjadi pengarang tidak memerlukan seseorang itu perlu diminati dan dikenali menteri. Hal itu tiada kaitan pun dengan kredibiliti penulisan karya sastera. “Sastera ialah sastera”, kata Budi Darma. Ditulis atas alasan kesusasteraan, atau sebagaimana ditulis oleh SN Keris Mas dalam esei “Ke Mana Arahnya Kesusasteraan Kita?”:
Kesusasteraan sepatutnya tidak ikut menjadi confuse oleh reaksi manusia dan masyarakat terhadap revolusi mental dan fizikal, tetapi sebaliknya mengemukakan sesuatu yang konkrit, menimbulkan pengertian, manifestasi tentang kebenaran. Kesusasteraan mestilah menjadi tenaga yang menghapuskan segala kekeliruan dengan tegas, yakin dan bererti’
Sepatutnya begitulah sikap dan prinsip seorang sasterawan. Nilai manusiawinya bukan 50-50.
Demikian air mata saya menitik ketika namanya sah dipilih sebagai penerima gelaran terunggul itu. Hormatilah pemilihan yang sudah dimuktamadkan. Keputusan tersebut bukan ditentukan oleh sekelompok anak sekolah rendah. Rezeki diatur oleh Tuhan, maka siapakah kita hendak mempertikaikannya? Bayangkan jika beliau hidup ketika ini dan menyedari keputusan pengiktirafannya dipertikaikan. Saya terharu. Mengapa? Saya sendiri tidak mengerti. Apabila mengenang kerja penulisan yang dilakukan oleh seseorang yang komited seperti Mana Sikana, dan membandingkan dengan apa-apa yang saya telah lakukan ketika ini, bagai api jauh dari panggang. Beliau bukan lagi muda, tetapi sentiasa ingin menekuni setiap aliran sastera, seolah-olah seperti baharu semalam bergelut dalam bidang sastera. Manakala saya sudah mulai jelak dan sinis.
Kehadiran beliau terlalu bermakna sebagai pemikir teori sastera ketika segelintir sarjana tempatan harus meminjam pendekatan dan perspektif barat untuk menganalisis naskhah tempatan. Menyelami lautan teori dan membina dimensi baharu, jelas merupakan pekerjaan akal yang meletihkan, lemas dalam pelbagai istilah dan sumber rujukan. Ia perjuangan ekspresif daripada beliau demi menaiktarafkan arah momentum kesusasteraan tanah air yang dinilai mundur dan kurang mendobrak. Menurut pemerhatian beliau, karya sastera tempatan sewajarnya dianalisis dari sudut pandang yang tepat dengan norma tempatan. Alangkah janggal jika hanya diukur daripada dimensi asing hingga melemahkan kekuatan naskhah itu. Sastera kita juga sama ruwet, kompleks dan pintar. Namun, bagaimana untuk menilai keunggulan sesebuah karya yang berbeza dengan penulisan barat?
Lalu teori tempatan dikemukakan. Kerja murni itu dilakukan untuk mengukuhkan standard ketamadunan seniman tempatan. Selain menghasilkan karya kreatif, pengarang tanah air juga pemikir, menyampaikan wawasan dan pandangan di sebalik cerita. Lapisan bawang cerita, metafora, kiasan dan sindiran disoroti melalui ilmu pascamoden. Tanpa kehadiran kritikawan yang terlatih, tidak mungkin unsur dalaman sesebuah karya dapat ditemukan. Sebagaimana ajaibnya seseorang karyawan menghasilkan naskhah kreatif, demikian dituntut keluarbiasaan akal dan imaginatif kritikawan untuk menyelami dasar naskhah yang dihasilkan oleh para pengarang tanah air. Tambahan pula, sastera yang dihasilkan para pengarang kontemporari kian mencabar dan merobohkan struktur lama.
Walaupun berbeza generasi, dengan sifat keterbukaannya menghargai inovatif bentuk dan teknik penulisan kontemporari generasi baharu, semacam memberi sokongan positif kepada usaha eksperimental terus dilakukan agar sastera tidak terlihat kondusif, seragam dan membosankan. Beliau tidak menjauhkan diri dengan perkembangan sastera yang dicetuskan oleh generasi mutakhir malahan sentiasa menyokong dengan usaha eksperimental karyawan masa kini. Sastera perlu dicipta, bukan disalin. Bukan mengikut apa-apa yang sudah ditulis sebelum ini. Sebagaimana yang ditegaskan oleh beliau dalam Bab Teori Sastera Teksdealisme, dalam buku Teori Sastera Kontemporari:
Untuk mencipta sebuah teks yang unggul, pengarang harus ada sifat-sifat berani dan bijaksana, berani mengemukakan sesuatu idea dan pemikiran baru dan bersedia untuk melakukan inovasi dan pembaharuan. Bijaksana pula merupakan sifat yang mendorong pekerjaan teks itu supaya dilakukan dengan penuh kesedaran dan bergerak dalam landasan keilmuan. Tanpa sifat tersebut teks-teks yang dihasilkan hanya akan bergerak dalam lingkungan tradisinya dan tidak memecah kepada teks-teks yang unggul
Pengarang ini sepertinya akan terus menulis dan berimaginasi, tidak dipudarkan umur. Bahkan awet muda oleh ketajaman pemikiran melalui wawasan sasteranya dengan deretan buku terkini, tulisan di akhbar serta majalah terbitan berkala. Beliau beradaptasi dengan bahasa masa kini. Begitulah beliau menyampaikan ilmu pengetahuannya agar sampai kepada audiens generasi Z. Tidak menulis, bermakna tiadalah dokumentasi ketamadunan sesebuah bangsa. Itulah rutin pengarang yang mencipta cerpen-cerpen bertema absurd ini. Suatu subjek yang sukar diterima dan sering disalah faham. Idealisme dan bentuk penulisan karya kreatif beliau mempengaruhi generasi penulis selepasnya, bahawa sesungguhnya, sifat sastera tidak diselaraskan oleh mana-mana institusi rasmi. Mandiri. Karya yang menepis kelaziman sememangnya tidak diajar dalam kelas bimbingan. Isu bangkangan yang berkeliaran sebaik sahaja namanya disepakati – tidak bermanfaat untuk disentuh di sini. Tidak mungkin ada kesudahannya rentetan konflik sesama manusia.
Terpaksa diulangi lagi di sini, selain SN Muhammad Haji Salleh (sudah tentulah ada sarjana lain), beliaulah individu berpengaruh yang memperkenalkan segala jenis teori asing (selain mencipta teori beliau sendiri, iaitu teori teksdealisme – dibukukan dalam buku Teori Sastera Teksdealisme). Sumbangan kepengarangan dan pengetahuan luas beliau dalam disiplin teori sastera amat bermakna buat perkembangan intelektual buat penulis muda. Hal ini kerana karya sastera yang asli dan istimewa bukan dihasilkan oleh AI (sepatutnya begitu), namun datang terus dari lubuk jiwa seseorang manusia seniman. Dalam siaran audio siar bertajuk “Forum Anugerah Sastera” yang menampilkan Profesor Emeritus Dr. Mohamad Mokhtar Abu Hassan dan Dr. Norhayati Ibrahim, isu penggunaan AI dalam penghasilan naskhah karya kreatif telah dibincangkan dari sudut profesionalisme dan etika. Dan sama ada ia diterima sebagai karya sastera yang sah dan tulen, wajar dituntaskan sekarang sebelum merebak dan tidak mampu lagi dikawal dalam wadah ekosistem kesusasteraan. Jadi apa kesusasteraan kita nanti?
Pengarang atau pengikut karya sastera perlu membaca atau mendalami teori sastera seiring dengan pembacaan? Bahkan digalakkan untuk membaca beberapa aliran teori sebagai bacaan sampingan/wajib. Apakah hubungannya dengan anatomi penulisan kreatif yang bukan berciri teknikal? Sudah tentu ada manfaat tersendiri. Melalui beberapa penulisan, Mana Sikana memperingatkan betapa banyak keuntungan buat pengarang karya kreatif, sekurang-kurangnya, mengetahui teori sastera tertentu sebagai panduan ketika menghasilkan karya yang diangkat daripada sesuatu teori. Bukanlah suatu kemestian, tetapi setidak-tidaknya, pengarang memiliki ilmu bantu sampingan. Sebagai pengarang, saya sendiri tidak terlalu bersandarkan apa-apa teori ketika menghasilkan kerja kreatif. Namun, sentiasa mengingatkan diri, bahawa secara ilmiahnya, teori sastera tetap berfungsi dalam urusan penelitian dan penghakiman yang adil ke atas naskhah kreatif. Dua bidang yang saling bertembung dengan perspektif berbeza.
Adakah kelahiran buku One Hundred Years of Solitude diinspirasi daripada buku teori sastera atau kesedaran pengarangnya tentang kolonialisasi dalam negaranya? Demikian juga, adakah Hujan Pagi dicetuskan kerana pembacaan ke atas buku teori sastera psikologi,? Misteri dunia kepengarangan. Tetapi tiada yang bersifat ambiguiti dalam kerja kritikan. Impak karya kreatif seseorang penulis juga diekori oleh kritikawan sastera dengan intim. Aliran kejiwaan, sai-fai, realisme magis, pensejarahan baharu dan aneka kaedah penulisan, berlegar-legar dalam landskap penulisan kreatif tempatan.
Tugas pengkritik ialah mengkaji setiap naskhah daripada disiplin kritikannya. Sedangkan para pengkarya dirangsang untuk menulis dengan cemerlang tanpa perlu dikongkong teori. Tujuan penulisan, seperti yang kerap dimaklumkan oleh sarjana sastera, membuktikan betapa akal sasterawan tempatan juga sama hebatnya dengan pencapaian persuratan dari luar. Kosmopolitan. Genius. Dan matlamatnya untuk memupuk rasa bangga kepada kekuatan tamadun berfikir anak tempatan buat ibrah generasi mendatang.
Adapun riwayat kepengarangan beliau, hadiah dan pengiktirafan lain, tidaklah perlu saya himpunkan di sini, memandangkan betapa nama Mana Sikana sering dikaitkan dengan gerakan pembaharuan sastera Melayu moden. Bukan sekadar pengarang di tahap biasa. Sudah selayaknya jasa dan ikhtiar kerja kepengarangan beliau diangkat ke kedudukan berprestij sebagai bukti kepiawaiannya dalam bidang yang difokuskan sepanjang hayat. Tiada jalan pintas untuk menemui reputasi demikian, hanya dengan kesungguhan dan usaha intelektual seseorang. Saya tidak menyentuh kerja penulisan beliau dalam karya kreatif. Beliau merupakan jaguh dalam bidang teori sastera. Kerjayanya sebagai ahli akademik yang memberi tumpuan terus-menerus dalam pembinaan dan teori sastera, bukan pilihan utama mana-mana pengarang. Seseorang lebih selesa menjadi pengarang karya kreatif kerana ganjaran material dan kemasyhuran. Kerusinya lebih empuk dan dingin. Sementara kerja mengkritik karya penulis lain (dengan objektif, jujur dan konstruktif), sesuatu yang ingin dielakkan jika tidak ingin dijeling negatif oleh golongan sasterawan.
Menjelaskan perbezaan jurusan kreatif dan bukan kreatif, melalui pembukaan untuk esei bertajuk “Ingin Menjadi Pengkritik Sastera” dalam buku Sastera Qurani dan Wacana Sastera Melayu, Mana Sikana menyatakan jurang sempadannya dengan visual mengerikan dan serius:
Kritikan sastera ialah sains sastera. Berbeza dengan penulisan kreatif seperti cerpen dan puisi, kritikan sastera ialah bidang imaginatif dan ilusif. Kritikan berwacana dan berhujah dengan dalil dan contoh untuk membuktikan kedudukan sesuatu karya sastera. Seseorang pengarang pun diletakkan pada tempatnya – adakah pengarang itu penting, istimewa, atau mapan. Sementara, dalam penulisan kreatif, imaginasinya akan bergerak lancar untuk mencari idea dan penstrukturannya. Penaakulannya sering kefanaan dan tenggelam dalam lautan neurosis dan psikosis.
Sekarang, apa ertinya menjadi Sasterawan Negara? Persuratan yang bagaimana mendorong ketinggian tamadun bangsa? Soalan itu muluk dan tinggi. Saya bukan orangnya yang berkelayakan untuk mentakrifkan definisi sedemikian. Sesiapa pun dipilih sebagai Sasterawan Negara, apa-apa pun bangsa, agama dan gender, menjadi tolok ukur kepada pencapaian cemerlang dalam bidang persuratan berbahasa Melayu. Menjadi wakil suara sasterawan Malaysia. Kemuncak dalam ranah kesusasteraan yang memperlihatkan ketersendirian, unik, luar biasa dan meninggalkan impak kepada generasi seterusnya sebagai rujukan. Malang, namun itulah yang berlaku, kalau karya-karya Sasterawan Negara hanya terletak indah di rak dan tidak mendapat sambutan daripada pembaca masa kini. Dibincangkan dalam dewan tertutup dan naratifnya tidak bersentuhan dengan selera pembaca baharu. Adakah sastera perlu tunduk kepada kehendak pasaran?
Bukan anugerah itu yang penting, tetapi fungsi dan tanggungjawab pengarang itu untuk mengangkat nilai kemanusiaan. Kajian akademik yang menyeluruh diperlukan untuk membuktikan betapa mustahaknya sastera kepada pencapaian ketamadunan sesebuah bangsa. Dan di luar sana, memang diterbitkan tulisan-tulisan secara ilmiah yang menyokong kewajarannya. Sudah tentu penilaian-penilaian semakin rigid, terkini dan berpaksikan kepada kualiti kepengarangan. Seorang pengarang yang terunggul dari setiap segi sumbangan penulisan dan gagasan pemikirannya. Bukan bersifat eksklusif dan terasing daripada realiti kehidupan dunia. Bukan menjadi perkakas kepada mana-mana pihak tertentu. Sebarang anasir yang tidak bersambungan dengan penahapan penulisan seseorang wajar dikesampingkan. Air tidak mungkin murni andai dicemari setitik nila. Jika sastera turut terpalit dengan gejala-gejala yang bertentangan dengan aspek kesusasteraan, maka hal itu musibah kepada ketamadunan sesebuah bangsa yang merdeka dan beretika.
Relevan atau tidak, sesebuah negara yang ingin dipandang tinggi oleh pihak luar, harus memiliki kehebatan spiritual dan kehebatan persuratan yang memancarkan kecanggihan akal pengkarya tempatannya. Bukan hanya mabuk mengubah baris-baris merdu dan mengarang cerita untuk sayembara. Tetapi sentiasa memberikan responsif tentang keadaan di persekitaran dengan kesedaran insaniah. Seniman, budayawan, artis (bukan semestinya selebriti di televisyen), intelektual dan perajin, memberikan roh kepada kewujudan sesebuah negara dan bangsa. Bayangkan sebuah kampung tanpa pujangga, tukang perahu dan ahli pantun.
Seorang pengarang yang mencapai tahap sebagai Sasterawan Negara sudah pun dikenal pasti. Hormatilah haknya seperti anda mahukan hak sendiri dihormati. Sementara sahaja hidup di dunia ini. Segala sumbangan transformasi, kedewasaan sikap, kehalusan akal, kedalaman wacana, keseriusan naskhah-naskhahnya diakui melepasi ukuran kelaziman dalam bidang yang ditekuni. Barisan panel telah melakukan yang terbaik untuk memilih pengarang terbaik, tepat pada waktunya, rezeki mengalir kepada pemilik, di mana-mana pun lokasinya berada.