Diterbitkan pada 26 Mac 2026, 16:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Nurafrina Abdul Aziz melihat keunikan plot novel Ranggau yang mampu mencengkam emosi pembaca dari awal hingga akhir.

Penceritaan dalam genre seram ngeri yang digarap melalui plot yang kompleks serta konflik yang meningkat daripada satu peristiwa ke peristiwa yang lain menjadikan pembaca sentiasa berada dalam keadaan ingin mengetahui perkembangan seterusnya dalam cerita.

Novel Ranggau merupakan karya Ramlee Awang Murshid yang diterbitkan pada tahun 1999 dan tergolong dalam genre seram ngeri (thriller). Novel ini diterbitkan selepas kejayaan novel beliau yang terkenal, iaitu Tombiruo. Beliau merupakan seorang pengarang yang mempunyai pengaruh besar dalam perkembangan novel popular di Malaysia, khususnya dalam penghasilan karya yang bertemakan seram ngeri.

Beliau berjaya menarik minat pembaca dengan penceritaan yang sarat dengan unsur misteri, ketegangan serta kejutan yang tidak dijangka.

Genre seram ngeri merujuk karya yang menimbulkan perasaan cemas, tegang dan penuh saspens kepada pembaca atau penonton. Penghasilan karya seram ngeri memerlukan kemahiran pengarang untuk menyusun peristiwa secara terancang agar unsur ketegangan dapat dikekalkan sepanjang penceritaan.

Beliau dilihat berjaya menguasai teknik penceritaan tersebut. Melalui karya-karyanya, beliau sering memperdaya jangkaan pembaca dengan membina jalan cerita yang sukar dijangka. Teknik ini menjadikan karya-karya beliau sentiasa menarik untuk diikuti kerana pembaca tidak dapat meneka dengan tepatnya arah perkembangan cerita.

Ranggau memfokuskan watak utama bernama Rusdi yang bekerja sebagai seorang penulis sambilan. Kehidupannya berubah apabila dia diupah menjadi detektif peribadi oleh seorang jutawan dari Sabah, Tuan Gimbang. Tuan Gimbang telah kehilangan anak kesayangannya, Janet, dan berharap Rusdi dapat membantu mencari anaknya.

Rusdi berasa ragu-ragu dan berat hati untuk menerima tawaran tersebut kerana dia bukanlah seorang detektif profesional. Setelah dipujuk oleh rakannya, dia akhirnya bersetuju untuk membantu.

Keputusan tersebut membawanya ke dalam satu perjalanan yang penuh dengan misteri, konflik dan kejadian tragis. Dia berhadapan dengan pelbagai peristiwa yang mencurigakan termasuk beberapa kematian yang berlaku secara misteri. Melalui usaha dan keberaniannya, Rusdi berjaya merungkai satu demi satu misteri yang berlaku sehingga menemui jawapan tentang kehilangan Janet.

Sebahagian besar plot penceritaan dalam karya ini sememangnya tertumpu pada unsur misteri dan penyiasatan yang menimbulkan perasaan saspens kepada pembaca. Walaupun terdapat sedikit unsur percintaan antara Ursula dengan Doktor Zahid, unsur tersebut hanya berperanan sebagai pelengkap kepada jalan cerita utama.

Plot merupakan rangkaian peristiwa yang berlaku dalam sesebuah penceritaan yang saling berkait antara satu sama lain melalui hubungan sebab dan akibat. Dalam karya ini, pengarang menyusun peristiwa-peristiwa dalam cerita secara sistematik bagi memastikan penceritaan dapat berkembang dengan baiknya.

Plot dalam novel ini dapat dibahagikan kepada lima bahagian utama, iaitu permulaan, perkembangan, perumitan, klimaks dan peleraian.

Bahagian permulaan merupakan bahagian awal dalam penceritaan yang berfungsi untuk memperkenalkan watak utama, latar tempat serta latar masa yang berkaitan dengan cerita. Dalam karya ini, plot permulaan dapat dilihat melalui gambaran ingatan Rusdi tentang peristiwa masa lalu yang berlaku dalam kehidupannya. Misalnya seperti petikan yang berikut:

Aku menulis lagi. Kali ini lebih menjurus mengenai kewujudan Ranggau dalam hidup manusia. Kedua-duanya seakan bersatu jikalau manusia itu gagal mengawal fikirannya. Emm… tiba-tiba sahaja fikiranku mengimbau jauh. Jauh ke belakang menggapai kembali masa silam yang luluh dimamah waktu. Namun kenangan itu tetap subur di dalam ingatanku. Tahun 1974, satu peristiwa menyayat hati berlaku dalam sejarah hidup keluargaku.”

(Ranggau, 2018: 3–4)

Petikan tersebut menunjukkan pengarang memperkenalkan unsur misteri sejak awal penceritaan melalui kewujudan Ranggau yang dikaitkan dengan kehidupan manusia. Selain itu, penggunaan teknik imbas kembali turut memberikan gambaran awal tentang peristiwa masa lalu yang memberikan kesan mendalam kepada kehidupan watak utama.

Pengarang berjaya membina suasana penceritaan yang penuh dengan tanda tanya dan rasa ingin tahu sejak bahagian permulaan lagi.

Bahagian perkembangan merujuk tahap jalan cerita mula berkembang dengan lebih jelas dan konflik mula diperkenalkan kepada pembaca. Plot perkembangan dapat dilihat apabila Ursula dan Normila mengambil keputusan untuk pergi ke Kuala Lumpur bagi bertemu dengan Rusdi. Tujuan mereka adalah untuk memujuk Rusdi agar bersetuju membantu keluarga mereka mencari Janet yang hilang.

Okey, kalau macam tu buat tempahan tiket kapal terbang ke Kuala Lumpur untuk dua orang, dapatkan flight sebelum tengah hari. Sebelum tu, buat temu janji dengan Rusdi dulu.”

(Ranggau, 2018:101)

Peristiwa ini menunjukkan jalan cerita mula bergerak ke arah konflik utama. Kehadiran Ursula dan Normila dalam kehidupan Rusdi telah mengubah kehidupan watak tersebut kerana dia mula terlibat dalam satu penyiasatan yang penuh dengan misteri dan bahaya.

Pengarang memperlihatkan sebuah konflik utama mula terbentuk dan seterusnya berkembang menjadi penyiasatan yang penuh dengan cabaran serta risiko kepada watak utama. Hal ini menjadikan bahagian perkembangan sebagai titik penting yang menggerakkan keseluruhan jalan cerita ke arah peristiwa-peristiwa yang lebih dramatik dan menegangkan.

Bahagian perumitan pula merupakan tahap dalam penceritaan yang menunjukkan konflik yang berlaku semakin bertambah dan rumit. Dalam Ranggau, plot perumitan dapat dilihat melalui beberapa kejadian pembunuhan yang berlaku sepanjang penyiasatan oleh watak utama termasuklah kematian Kim dan Inspektor Solehin. Hal ini dapat dilihat melalui petikan ini:

Tidak ada lagi rontaan keras yang seakan merobohkan katil. Nadi Kim berhenti berdenyut. Tubuhnya kaku. Matanya terbeliak. Darah keluar dari rongga hidung. Mulutnya berbuih dan berbau hanyir. Kim telah menjadi mayat. Kim sudah mati. Kim sudah tidak bernyawa lagi.”

(Ranggau, 2018:368)

Peristiwa ini menambahkan unsur ketegangan dalam penceritaan serta menunjukkan bahawa penyiasatan yang dijalankan oleh Rusdi bukanlah sesuatu yang mudah. Setiap kematian yang berlaku menjadikan misteri kehilangan Janet semakin kompleks dan berbahaya.

Melalui perkembangan konflik yang semakin rumit ini, pengarang berjaya mengekalkan unsur saspens dalam penceritaan serta menimbulkan rasa ingin tahu dalam kalangan pembaca untuk mengetahui dalang di sebalik semua kejadian tersebut.

Bahagian kemuncak dalam sesebuah penceritaan dikenali sebagai klimaks. Pada bahagian ini, segala persoalan yang timbul dalam cerita mula menuju ke arah penyelesaian. Dalam karya ini, klimaks berlaku apabila Ursula yang telah diculik dan dikurung di dalam sebuah piramid berjaya diselamatkan oleh Rusdi dengan bantuan pihak polis. Pada masa yang sama, misteri kehilangan Janet akhirnya berjaya diselesaikan melalui bukti yang diperoleh oleh pihak forensik seperti petikan yang berikut:

Jadi… di antara mayat-mayat itu salah satu adalah mayat Janet?”
“Memang sah mayat Janet. Pakar forensik dah dapat menentukannya menerusi kaedah DNA.”

(Ranggau, 2018:499)

Peristiwa ini menjadi titik penting dalam penceritaan kerana misteri yang menjadi fokus utama cerita akhirnya berjaya dirungkai. Pengarang memperlihatkan usaha Rusdi dalam menjalankan penyiasatan akhirnya membuahkan hasil setelah melalui pelbagai cabaran dan bahaya. Walaupun bersifat tragis, kebenaran tersebut tetap menjadi titik penyelesaian kepada misteri kehilangan Janet yang menjadi teras kepada keseluruhan penceritaan.

Bahagian klimaks ini bukan sahaja memperlihatkan kemuncak konflik dalam cerita, malah menjadi titik perubahan yang membawa penceritaan ke arah penamatnya.

Peleraian merupakan bahagian akhir dalam sesebuah penceritaan yang menunjukkan penyelesaian kepada konflik yang telah berlaku. Dalam karya ini, peleraian yang dipaparkan bersifat menyedihkan kerana beberapa watak penting telah kehilangan nyawa. Ursula kehilangan ayah dan adiknya, manakala Rusdi masih dihantui oleh kematian rakan-rakan yang terlibat sepanjang penyiasatan tersebut. Kematian Doktor Zahid turut menambahkan unsur tragis dalam pengakhiran cerita seperti yang ditunjukkan dalam petikan ini:

Anak matanya terbeliak. Dari mulutnya keluar cecair putih berbuih. Dia seperti diserang sawan. Kedua-dua kakinya kejang. Pergerakan Doktor Zahid semakin lemah, dan lemah kemudian kaku. Matanya terbuka memandang ke atas. Riwayat Doktor Zahid telah ditamatkan. Benjamin terpaksa menyuntik racun dengan tujuan membunuh sahabatnya itu. Hanya mati penawar yang paling mujarab.”

(Ranggau, 2018:541)

Peleraian ini menunjukkan bahawa pengakhiran cerita tetap meninggalkan kesan yang mendalam kepada watak-watak yang terlibat walaupun misteri yang berlaku telah berjaya dirungkai. Melalui peleraian yang bersifat tragis ini, pengarang seolah-olah ingin menegaskan bahawa kejahatan, pengkhianatan dan ketamakan akhirnya akan membawa kepada kehancuran serta penderitaan kepada individu yang terlibat.

Secara keseluruhannya, Ranggau memperlihatkan keupayaan pengarang untuk menghasilkan sebuah karya seram ngeri yang menarik melalui penggunaan plot yang tersusun dan penuh dengan unsur ketegangan. Unsur misteri, pembunuhan, penyiasatan serta kejadian-kejadian yang tidak dijangka berjaya mengekalkan minat pembaca untuk terus mengikuti perkembangan cerita sehingga penghujungnya.

Pengarang turut berjaya menyampaikan beberapa mesej penting tentang kehidupan manusia termasuklah sikap tamak dan keinginan untuk memiliki sesuatu secara berlebihan akan membawa kepada kehancuran diri sendiri. Manusia juga tidak seharusnya terlalu mudah mempercayai orang lain tanpa berfikir secara rasional. Elemen pengajaran ini menjadikan Ranggau bukan sahaja sebuah karya hiburan yang menarik, malah turut mengandungi nilai pengajaran yang dapat dijadikan renungan oleh para pembaca.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi