Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTangkak – Perbadanan Perpustakaan Awam Johor Cawangan Tangkak (PPAJCT), Persatuan Komuniti Buku dan Pengkarya Tangkak Johor (KBKJ), Pejabat Pendidikan Daerah Tangkak (PPDT), Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Ledang (PKRPL), serta Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) sekali lagi menganjurkan Pertandingan Ulas Buku Ramadan 2.0 bagi sekolah di daerah Tangkak, serta pameran dan baca puisi Ramadan.
Pertandingan berkenaan diumumkan dalam sebuah majlis yang berlangsung di PPAJCT pada 14 Februari lepas. Majlis tersebut juga diadakan bersempena dengan menyambut kedatangan bulan Ramadan.
Turut hadir ialah Tuan Haji Mohd. Nor Yusof, Biro Hal Ehwal Agama Parlimen Ledang, Encik Ahmad Norman Mohamad, Timbalan Pegawai PDT (Pendidikan), Puan Norzuzilawati Sulaiman mewakili Pengarah DBPWS, Encik Mohd. Isnin Tawaf, pengasas KBKJ, Puan Marina Mansor mewakili PPAJCT, Encik Armin Azhari Saleh, mantan Pengarah DBPWU, para penulis terbabit dan serta para guru.
Siso Kopratasa yang juga ikon KBKJ, turut tampil menyerikan majlis dengan dendangan beberapa buah lagu puisi.
Sebenarnya, pertandingan ini telah bermula semasa wabak pandemik COVID-19 pada tahun 2021 dan 2022, dengan namanya, iaitu “Peraduan Duduk Membaca”, untuk orang awam yang turut disertai kalangan pendidik dan pelajar sekolah. Hadiah yang disediakan ialah buku, serta sijil kemenangan dan sijil penyertaan.
Oleh itu, merasakan pentingnya budaya membaca buku fizikal dalam kalangan pelajar, KBKJ terpanggil untuk merealisasikan usaha berkenaan dengan meneruskan program membaca dan mengulas buku.
Pada Ramadan 1446 Hijrah, pertandingan berkenaan dinamakan “Resensi Buku Ramadan”, yang menghadkan penyertaan kepada tiga buah sekolah rendah yang terlibat dalam projek Stesen Buku, iaitu Sekolah Kebangsaan Sengkang, Sekolah Kebangsaan Bukit Banjar, serta Sekolah Kebangsaan Paya Mas.
Hampir 50 orang pelajar mengirimkan ulasan masing-masing berdasarkan buku sumbangan yang terdapat di Stesen Buku, dengan hadiah wang tunai tempat pertama RM200, tempat kedua RM150, ketiga RM100, serta tiga hadiah sagu hati masing-masing RM50, hadiah iringan berupa buku serta sijil. Majlis penyampaian hadiah telah dilangsungkan pada majlis sambutan Hari Raya Sekolah Kebangsaan Bukit Banjar, Tangkak.
Walau bagaimanapun, bagi Ramadan kali ini, KBKJ menukar nama program “Resensi Buku” kepada nama yang lebih mudah disebut, iaitu “Ulas Buku Ramadan.”
Jika sebelum ini program tersebut hanya disertai oleh tiga buah sekolah rendah yang terlibat dengan projek Stesen Buku tajaan KBKJ, program kali ini melibatkan seluruh sekolah di daerah Tangkak dalam kategori sekolah rendah tahap dua, menengah rendah, dan menengah atas.
Pertandingan serta pameran akan berlangsung dari 1 hingga 30 Ramadan 1447 Hijrah. Borang penyertaan yang disediakan oleh penganjur hendaklah disahkan oleh guru penyelaras sekolah masing-masing. Buku yang ingin diulas, hendaklah buku yang terdapat di Pusat Sumber Sekolah.
Dalam ucapannya, Encik Ahmad Norman menyatakan PPDT menyambut baik pertandingan berkenaan, dan berharap agar program ini dapat mencungkil bakat penulis melalui pembacaan buku.
Pertandingan ini seiring dengan penegasan YAB Perdana Menteri bahawa subjek Bahasa Melayu dan Sejarah diwajibkan dipelajari di sekolah. Dalam satu daripada komponen Bahasa Melayu ada ulasan novel. Jadi, penyertaan para pelajar dapat membantu mereka memperoleh pendedahan awal.
Mengenai bengkel penulisan mengulas buku yang akan diadakan pada masa hadapan, beliau berharap mantan guru dan munsyi yang terlibat dapat membimbing guru dan pelajar.