Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Perlis — Pertandingan Pembaca Bestari peringkat Zon Selatan 1 yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Perlis menyaksikan penyertaan sebanyak tujuh buah sekolah menengah dari sekitar zon berkenaan.
Pertandingan ini bertujuan menggalakkan budaya membaca serta memupuk kemahiran ulasan kritis dan kreatif dalam kalangan pelajar. Pertandingan ini juga diadakan untuk mengangkat budaya membaca sebagai amalam unggul dalam kalangan murid.
Sepanjang pertandingan, peserta perlu membentangkan ulasan mendalam, kupasan tema serta analisis watak daripada novel yang telah dipilih. Pertandingan berlangsung dengan penuh semangat, disertai sokongan padu para guru pengiring.
Pemenang pertandingan, Nur Sakinah Nadhirah tampil cemerlang dengan membicarakan novel berjudul Anak Seorang Drebar karya Tan Sri Shamsudin Abdul Kadir. Pembentangan tersebut berjaya memikat para hakim melalui pengolahan ulasan yang matang, tersusun serta gaya penyampaian yang yakin.
Pengerusi Zon Selatan 1, dalam ucapannya berkata bahawa program sebegini bukan sahaja mengasah bakat pelajar, malah memberi pendedahan kepada dunia kesusasteraan tanah air. Beliau turut berharap pertandingan ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai usaha berterusan memperkukuhkan budaya ilmu.
Beliau juga menekankan pertandingan ini bukan tentang jumlah bahan bacaan sahaja, tetapi juga kualiti pemahaman, gaya penyampaian serta kemampuan peserta mengaitkan buku dengan kehidupan seharian.