Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangHipnie Sharbini menelusuri perjalanan penulis muda Sarawak, Joe Julaihi yang meneroka dunia gelap, absurd dan realisme magis melalui karya eksperimentalnya.

Dia melihat cicak di siling rumahnya, dan pergerakan haiwan kecil itu memberi inspirasi untuk mencipta simbol watak-watak gelap dan absurd.
Dalam landskap sastera Malaysia yang kian berkembang, munculnya penulis muda yang berani meneroka wilayah naratif yang eksperimental yang memberikan nafas baharu kepada pembaca. Seorang daripada mereka ialah Joe Julaihi, atau nama sebenarnya Awang Johari Julaihi.
Karya terbaharunya, iaitu Ragam dalam Perut Cicak, menyingkap dunia gelap, absurd dan penuh alegori dengan gaya yang unik dan menggugat konvensi.
Daripada Cerpen Pertama Hingga Penerbitan Solo
Joe mula menulis secara serius pada tahun 2021, selepas dorongan penulis senior Hasreeyati Ramli yang mempercayai bakatnya dan mempelawanya menyumbang cerpen dalam buku antologi. Cerpen pertamanya bertajuk “Sampul Merah” diterbitkan dalam buku antologi Secawan Kopi, Secangkir Teh Limau yang dikelolakan oleh Hasreeyati.
Dari September hingga Disember 2021, Joe menulis beberapa cerpen, yang kemudian membawa kepada penyertaan dalam akhbar perdana, Suara Sarawak pada tahun 2023. Karya puisi pertamanya yang diterbitkan pula ialah “Inilah Bidadariku”, muncul di ruangan Tinta Bestari.
Joe menjelaskan bahawa peralihan daripada penulisan berbentuk “kanak-kanak” (dimensi fantasia) kepada karya untuk pembaca dewasa membolehkannya menyalurkan imaginasi dan kosa kata yang lebih kompleks dan bebas dari batasan bahasa kanak-kanak. Laras dewasa, menurutnya, membolehkan penekanan pada simbolisme, metafora dan nuansa gelap.
Kalau hendak tulis buku kanak-kanak, kita tidak dapat guna simbol. Kita kena ‘straight to the point’. Tapi untuk dewasa, pemikiran saya sangat bebas.
Pengaruh Bacaan dan Dunia Gelap
Walaupun minat membaca Joe banyak berpusat pada genre jenayah dan mistik, namun pengaruhnya tidak terhad kepada bacaan tempatan. Antara penulis tempatan yang mempengaruhinya termasuklah Ramli Awang Mursyid, sementara penulis antarabangsa ialah Chris Carter, seorang kriminologis yang menggabungkan psikologi dan jenayah dalam penulisannya. Karya Chris Carter, khususnya siri One by One dan Genesis, menginspirasi Joe untuk membina watak dengan kedalaman psikologi yang realistik.

Selain itu, latar pendidikan psikologi Joe sendiri memberikan “akar” untuk penulisan sisi gelap, abnormal, dan motivasi watak. Buku-buku psikologi dan pengalaman kerja dalam patologi tumbuhan memberi pencerahan tentang sifat gelap manusia, meski secara literal dia tidak menulis tentang tumbuhan.
Bidang saya ialah psikologi dan patologi tumbuhan, tapi cerita saya lebih kepada perut haiwan. Saya berasa haiwan lebih unik daripada tumbuhan.
Ragam dalam Perut Cicak: Konsep dan Struktur
Satu daripada pertanyaan yang paling sering diajukan mengenai Ragam dalam Perut Cicak adalah tentang pilihan tajuknya. Joe menceritakan bahawa idea itu muncul secara spontan daripada pengamatan harian. Suatu ketika, ketika sedang menulis, dia melihat cicak di siling rumahnya, dan pergerakan haiwan kecil itu memberi inspirasi untuk mencipta simbol watak-watak gelap dan absurd dalam cerpennya.
Cicak ini kecil. Kadang-kadang menyelinap, kadang-kadang menakutkan. Cicak seperti watak dalam cerita saya, kecil tapi membawa kesan yang besar.
Selain itu, dia menambah bahawa cicak juga memiliki nilai simbolik dalam konteks budaya dan sejarah. Dalam cerita tradisional, cicak sering dikaitkan dengan ketakutan, keberanian tersembunyi atau ‘kejahatan kecil’ yang mengganggu ketenteraman.
Pemilihan “perut” pula bukan kebetulan kerana melambangkan pusat masalah dan konflik serta tempat segala sesuatu bermula termasuklah rahsia, penyakit dan ketamakan.
Dalam anatomi manusia, perut ialah tempat segala-galanya masuk. Dalam pepatah, daripada perutlah segala penyakit berlaku. Jadi, saya gunakan perut sebagai latar.
Dengan gabungan spontan, pengamatan harian dan simbolisme budaya, tajuk Ragam dalam Perut Cicak bukan sahaja menarik, tetapi juga mencerminkan tema gelap, absurd dan kompleks dalam setiap cerpen.
Buku ini menyatukan 10 cerpen. Terdapat cerpen yang lama dan baharu serta disusun secara strategik. Pada bahagian awal, cerpen lebih bersifat humor dan satira, kemudian memasuki bahagian yang lebih gelap dan serius, sebelum diakhiri dengan cerpen ringan sebagai penutup.
Pemilihan urutan ini menekankan keseimbangan naratif, tanpa memaksa pembaca mengalami kesan psikologi yang terlalu berat secara berterusan.
Proses menulis cerpen juga berbeza. Misalnya, cerpen “Bau Neraka” ditulis dalam masa tiga jam sementara cerpen lainnya, seperti cerpen jenayah yang melibatkan pembunuhan, memerlukan rangka cerita dan perancangan yang teliti.
Joe secara konsisten menggunakan pendekatan gabungan spontan dan berstruktur, bergantung kepada cerpen dan ilham yang muncul.
Bahasa dan Gaya yang Bersifat Tempatan dan Eksperimental
Satu daripada kekuatan Ragam dalam Perut Cicak ialah bahasa yang ganjil dan tempatan, khususnya penggunaan bahasa Melayu Sarawak dan inversi naratif yang menyerupai percakapan seharian. Joe sengaja memasukkan unsur ini untuk mengekalkan keaslian suara penulis, tanpa diedit meskipun editor menyemak manuskrip.
Keunikan ini diterima baik oleh pembaca dari Semenanjung, membuktikan bahawa bahasa tempatan bukan penghalang, malah memperkayakan pengalaman membaca.
Editor saya tidak mengedit gaya penyampaian, sebab itulah unik. Pembaca di Semenanjung juga boleh menerimanya.
Posisi Buku dalam Landskap Sastera Malaysia
Joe melihat karya ini sebagai eksperimen peribadi, bukannya sebagai usaha memasukkan unsur kearifan tempatan atau mengikut tradisi sastera konvensional. Joe tidaklah menolak cerita cinta bahagia yang mendominasi pasaran, sebaliknya menyorot realiti gelap, konflik psikologi dan absurdisme.
Dalam konteks sastera Malaysia, karya seperti ini membuka ruang bagi penulis muda untuk berani menulis di luar konvensi.
Karya eksperimental menjadi kegemaran penulis muda sekarang. Mereka tidak menolak konvensional, tetapi mereka juga ingin mengeksplorasi ruang baru.
Joe percaya bahawa cerita gelap dan eksperimental bukan sahaja relevan, malah mampu bersaing dengan karya komersial berbentuk romantik yang sering menjadi buku laris (bestseller).
Pesanan kepada Penulis Pemula
Bagi mereka yang ingin menulis cerpen absurd atau eksperimental, Joe menasihati bahawa
Sila cabar diri anda. Tidak salah menulis realisme, tetapi cubalah keluar daripada konvensional. Baca banyak, tulis banyak, dan jangan takut dengan keanehan.
Tip lain termasuklah meneliti cerpen eksperimental di platform seperti Cukaria atau animasi absurd seperti AniMaters di ruangan Facebook yang menginspirasi imaginasi dan memberi contoh bahawa kreativiti boleh datang dari mana-mana sahaja, selagi penulis berani meneroka.
Penerimaan dan Penghargaan
Walaupun buku ini baharu diterbitkan, penerimaan terhadap Ragam dalam Perut Cicak sudah memberangsangkan. Ulasan positif bukan sahaja datang daripada rakan penulis baharu, tetapi juga penulis mapan seperti Regina Ibrahim yang memberikan komen yang positif melalui ulasan di Goodreads. Bagi Joe, komen seperti ini daripada penulis mapan ialah satu pencapaian besar.
Saya sangat terharu apabila penulis mapan memberi ulasan. Suatu pencapaian walaupun saya baru menulis beberapa tahun.
Eksperimen dan Masa Depan Sastera
Joe Julaihi mewakili gelombang penulis muda yang berani menolak “naratif linear” dan merayakan absurdisme, alegori dan realisme magis. Dengan latar psikologi, pengaruh bacaan global, dan penghayatan tempatan, karya seperti Ragam dalam Perut Cicak bukan sahaja unik, tetapi juga memberi peluang untuk pembaca dan penulis menilai, mentafsir, dan menghayati makna secara bebas.
Dalam dunia yang kadang-kadang terlalu sibuk mengejar kebahagiaan dalam novel cinta, Joe membuktikan bahawa sisi gelap, konflik moral, dan absurdisme juga mempunyai tempatnya.
Buku ini, pada akhirnya, ialah eksperimen peribadi yang menawarkan satu pengalaman membaca yang mencabar minda, emosi, dan imaginasi. Sebuah karya yang membuka pintu ke dunia sastera Malaysia yang lebih eksperimental dan berani.