Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangNik Mohd Hafiz, penulis muda yang berbakat, memberikan tanggapannya tentang kritikan Salman Sulaiman.
Pada pendapat saya, kritikan beliau tidak mengecewakan. Tajam dan bernas, seperti selalunya Salman Sulaiman
Saya memang menunggu-nunggu tulisan Salman Sulaiman dalam apa-apa sahaja ruangan kritikan sastera. Banyak perkara yang boleh dipelajari daripada kritikan beliau yang tajam dan bernas. Jika Irfan Fikri menekankan kepada teori sastera yang kompleks dan petikan kata-kata pemuka sastera yang sudah tiada, Salman pula lebih menjurus kepada pendekatan pragmatik. Kritikan beliau lancar bersinambung dan tidak terganggu dengan terlalu banyak teori. Apabila beliau mengkritik, beliau suka mengemukakan hujah menggunakan karya yang sedang dikritik itu sendiri. Saya merasakan gaya mengkritik sebegini lebih kolokial dan mesra pembaca.
Bagaimanapun, ketika diberikan tugas untuk mengisi ruangan kritikan puisi Dewan Sastera keluaran Oktober tahun 2025 (saya sudah diberitahu lebih awal), jantung saya berdebar-debar. “Tiada hati di dada”, bak kata satu perumpamaan Kelantan, sebagai menggambarkan betapa gentar perasaan saya menantikan kritikan beliau. Hal ini disebabkan, satu daripada puisi dalam keluaran tersebut yang akan dikritiknya merupakan puisi oleh Rosli K. Matari.
Saya tertanya-tanya, “Bagaimanakah Salman akan merungkai puisi Rosli K. Matari itu?”.
Untuk pengetahuan pembaca budiman, Salman Sulaiman, saya dan beberapa rakan penulis lain merupakan pengunjung tetap kedai makan yang dikunjungi oleh Rosli K. Matari (tempat beliau menulis). Susuk penulis terkenal Kelantan itu boleh ditemui di beberapa kedai makan sekitar Kubang Kerian. Beliau sering kali menulis sehingga lewat malam di kedai-kedai tersebut. Maka, jika ada penulis yang ingin belajar dengan beliau, atau sekadar bertemu mesra, kami tahu di mana untuk mencarinya. Lama-kelamaan, kedai-kedai makan itu diberi nama masing-masing supaya senang berjanji temu; “port pine”, “port pink”, “port kepala lori”, “port sate” dan beberapa kedai lagi.
Hubungan kami menjadi sangat rapat. Rosli K. Matari selalu bertindak sebagai kakanda paling tua, memberi nasihat dengan lembut dan kadang-kadang ada juga sedikit tegas (pernah disuruhnya tukang kedai mengambil batang penyapu untuk membedal saya kerana berulang kali membuat silap dalam menulis). Setelah beberapa tahun, kami sudah cukup masak dengan cara beliau menulis. Rahsia beliau menulis puisi, walau tidak semua, sudah kami ketahui secara mendalam. Boleh dikatakan secara tuntas, kamilah murid puisi Rosli K. Matari.
Hakikatnya, hubungan sebegitu erat, boleh menjadi serampang dua mata. Kraf puisi Rosli K. Matari, yang sudah begitu sebati dalam diri kami menjadikan kami calon yang sesuai untuk membedah puisi-puisi beliau. Siapa lagi kalau bukan anak didiknya sendiri? Sudah sampai waktunya gagasan puisi Rosli K. Matari dibawa ke ranah sastera tempatan. Nama beliau sudah terlalu besar.
Masalahnya, jika segalanya baik dan sempurna sahaja, maka khalayak puisi pasti akan memandang serong kepada kami. Mana mungkin adanya puisi yang tiada kelemahan? Hal ini sudah diperdebatkan sesama kami sejak sekian lama. Tiada siapa yang berani memangkah guru sendiri.
Hadirlah Salman Sulaiman. Anak jati Kelantan. Jati kerana beliau sendiri berasal dari Kelantan, juga jiwa beliau punya kekentalan orang Kelantan. Di saat tiada murid Rosli K. Matari sanggup dan mampu untuk mengkritik puisi gurunya sendiri, maka beliau tampil gedebe menyahut cabaran tersebut.
Dan pada pendapat saya, kritikan beliau tidak mengecewakan. Tajam dan bernas, seperti selalunya Salman Sulaiman. Malah segala ilmu yang ditimba daripada Rosli K. Matari, dicurahkan kembali dalam kritikan tersebut. Tambahan pula, dalam hal berlaku adil dalam memberi kritikan, beliau membuktikan mampu mengatasi ujian tersebut. Tidak mungkin dituduh berat sebelah jika guru sendiri pun dikritik.
Dengan segala kejituan kritikannya, Rosli K. Matari boleh berbangga kerana gagasan puisinya berada di tangan betul. Apatah lagi beberapa bulan kebelakangan, lebih tepat pada 29 Mei 2025, Salman Sulaiman juga diberi tanggungjawab menyampaikan dapatan beliau dalam “Kajian Pemikiran Penerima S.E.A. Write Award (Rosli K. Matari)”. Tiada yang lebih layak menyampaikan gagasan puisi Rosli K. Matari selain Salman Sulaiman.
Bagi seorang sasterawan, lebih penting berbanding kualiti karya ialah keutuhan gagasan. Setiap sasterawan perlu bertanggungjawab kepada gagasan yang dipeloporinya. Hal ini diakui oleh Mana Sikana dalam sesi syarahan beliau ketika “Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Rahman Shaari”. Beliau menyebut tentang kepentingan seseorang sasterawan mempunyai aliran atau gagasan, iaitu sebuah teori yang mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Kewujudan aliran boleh menyerlahkan ketokohan seorang sasterawan.
Daripada hal tersebut, saya berpandangan bahawa gagasan umpama kota manakala karya seperti askar-askar yang mempertahankan kota tersebut. Kota yang kukuh dan utuh, menghasilkan askar yang gagah untuk mempertahankan kota. Manakala askar-askar gagah itu pula menjadikan kota semakin maju dan makmur. Hubungan simbiosis ini terdalil melalui barisan Sasterawan Negara dengan gagasan dan karya yang kekal dibicarakan berdekad lama.
Andai gagasan itu kota dan karya ialah askarnya, maka pengikut aliran tersebut boleh saya umpamakan sebagai kota kecil yang berpayung di bawah kemegahan kota besar. Seyogia, Salman Sulaiman bagai kota kecil yang berdiri sendiri dengan gah tanpa terlalu bergantung kepada kota utama. Beliau tidak perlu merintih dan merendah diri untuk mencari validasi. Percayalah, ranah sastera menawarkan kejayaan kepada pejuang sastera yang ikhlas menabur budi.
Sebagai penutup, satu lagi perbezaan antara Irfan Fikri dengan Salman Sulaiman (pembaca sudah tahu) ialah Irfan Fikri merupakan jasad maya dan jejaka enigma yang wujud secara hakiki namun bersembunyi di sebalik identiti. Salman Sulaiman pula lelaki nyata, tubuh beliau boleh disentuh (atau mungkin diganyang jika berani), setiap ucapan beliau dapat dilantun dalam ruang pemikiran, buku beliau juga boleh dibaca jika pandai mencari.
Pendek kata, Salman Sulaiman ialah Salman Sulaiman. Tiada selindung dan rahsia lagi. Saya akan sentiasa menantikan kritikan terbaharu daripadanya. Mungkinkah karya saya pula yang bakal dikritik?