Oleh Izzat Isa
Diterbitkan pada 29 Disember 2025, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Langkawi – Pementasan teater Mahsuri dalam bentuk pantomim yang diolah berdasarkan pengisahan lisan masyarakat setempat telah berlangsung pada 20 dan 21 Disember lepas. Kisah kecantikan Mahsuri dan penganiayaannya merupakan satu daripada kisah legenda yang telah berakar umbi di Langkawi.

Pengisahan lisan ini telah dikembangkan dalam bentuk pementasan teater bagi memberi gambaran visual dan mempelbagaikan medium penyampaian. Pementasan tersebut dimulakan dengan persembahan muzik tradisional gabungan muzik asli dan gamelan.

Pentas dibuka dengan babak keramaian antara penduduk kampung meraikan pesta mengetam padi yang mendorong Penghulu Langkawi, Datuk Pekerma Jaya tertarik hati dengan kecantikan Mahsuri, anak pasangan Pak Ndak Mayah Alang. Datuk Penghulu berhasrat untuk menyatukan adik beliau, Wan Darus dengan Mahsuri. Proses memperjodohkan pasangan itu diterjemahkan menerusi keindahan budaya Melayu berdasarkan penggunaan bahasa dan kiasan yang lembut serta berseni.

Kekuatan teater ini diakui terletak pada penggunaan dialog yang sarat dengan pantun, peribahasa dan syair yang memberikan estetika dan nilai kesusasteraan klasik yang tinggi.

Pelakon teater Mahsuri.

Konflik dan dramatik hukuman kepada Mahsuri merupakan kemuncak kepada kisah legenda ini, iaitu peristiwa perihal darah putih dan sumpah terhadap tujuh keturunan yang dilontarkan oleh Mahsuri. Elemen ini menjadikan legenda pendosa ini terus dikenang dan menjadi didaktik terbaik kepada masyarakat.

Melalui pementasan ini, generasi muda terutamanya dari Langkawi turut berpeluang mengetahui kisah Mahsuri yang menjadi pasak kepada keunggulan legenda Langkawi, selain legenda lain seperti buaya putih, ular mona sakti, Merong Mahawangsa serta pertarungan Mat Raya dan Mat Cincang yang melengkapkan Langkawi sebagai “Pulau Legenda”.

Selain itu, pihak penganjur juga telah menyediakan teks ringkas setiap babak dalam bahasa Inggeris yang dipaparkan pada skrin elektronik bagi memberi kemudahan dan kefahaman asas kepada pelancong asing.

Teater yang dipentaskan di Panggung Seni Kota Mahsuri ini merupakan kemuncak kepada sambutan Hari Mahsuri 2025 yang dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Kerajaan Negeri Kedah dengan kerjasama kumpulan Keluarga Angkatan Budi Seni Kota Mahsuri (KABUS) daripada Sri Kenayan Sdn. Bhd.

Untuk edisi kali ini, sambutan Hari Mahsuri 2025 telah disatukan dengan Karnival Sepakat Anak Pulau. Pelbagai aktiviti diadakan bagi menarik kehadiran ramai antaranya termasuklah persembahan kebudayaan, jualan makanan tradisional, program santai anak pulau dan permainan tradisional.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi