Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Hari Candawara GEMA 2025 mencapai kemuncaknya pada sebelah malam dengan penganjuran ”Malam GEMA Buat Gaza”, sebuah persembahan seni solidariti yang menghimpunkan para penggiat seni, pemuisi dan pemuzik dari sekitar Kuantan. Acara yang berlangsung di Ruang Legar Kompleks Teruntum tersebut menjadi wadah untuk menyuarakan mesej keamanan sejagat serta keprihatinan terhadap penderitaan rakyat Gaza yang masih berlarutan.
Program yang sarat dengan nilai kemanusiaan itu diadakan bagi menyampaikan seruan damai kepada masyarakat dunia, mengingatkan tentang pentingnya keprihatinan, pengorbanan dan iltizam bersama dalam mempertahankan maruah insan. Setiap persembahan yang dipentaskan menyulam mesej mendalam, bukan sahaja untuk Gaza, tetapi juga buat mana-mana negara yang sedang bergolak sebagai tanda solidariti bahawa seni mampu menjadi suara yang menyatukan hati.

Suasana malam tersebut digamatkan dengan pelbagai bentuk persembahan seni seperti lagu puisi, alunan muzik akustik dan deklamasi sajak. Antara barisan pemanggung seni yang mewarnai pentas ialah Siso Kopratasa, Kumpulan Anak Kayan, Kamal & Wan, Amaruszati Noor Rahim, A.K. Hidayat, Tn. Haji Mat Nordin Mat Salleh, Amirull Afiqq, Syamil Zahari, Aiman, Fayadh, Syaza Pakaruddin, Aidil Firdaus dan Cikgu Daia. Masing-masing tampil dengan penghayatan persembahan penuh makna, membawa mesej yang menyentuh jiwa dan membangkitkan kesedaran.

Selaku pengerusi GEMA Pahang, Mohammad Amirull Afiqq turut merakamkan penghargaan mendalam kepada semua pihak yang menjayakan program tersebut. Beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada barisan penganjur, sukarelawan, peserta dan penyumbang yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung. Katanya, ”saya amat terharu dengan sokongan semua pihak yang menjayakan Hari Candawara GEMA 2025. Malam GEMA Buat Gaza benar-benar bermakna sebagai manifestasi kesepaduan seni dan kemanusiaan”.
Malam GEMA Buat Gaza menjadi satu manifestasi empati dan azam bersama untuk terus bersuara demi keadilan dan keamanan sejagat. Acara ini sekaligus mengukuhkan peranan GEMA sebagai platform kesenian yang bukan sahaja meraikan budaya, tetapi juga menyampaikan suara kemanusiaan.
Program yang julung kali diadakan ini dilaksanakan bersama-sama dengan sokongan rakan strategik seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah, Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) Kawasan Kuantan, Karangkraf, Yayasan Pahang, serta pelbagai agensi swasta yang turut serta memacu agenda pemerkasaan seni dan budaya. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengarah DBP Wilayah Tengah; YBrs. Puan Nurul Julia Alani Henri dan barisan pegawai DBP Wilayah Tengah.