Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Hari Candawara GEMA 2025 yang berlangsung di Ruang Legar Kompleks Teruntum Kuantan dimeriahkan dengan penganjuran Pertandingan Deklamasi Sajak Sekolah Menengah Pahang. Sebanyak 23 peserta dari hampir 13 buah sekolah seluruh Pahang hadir mempamerkan bakat, kreativiti serta daya penghayatan dalam seni deklamasi.
Tumpuan khalayak tertumpu kepada persembahan Muhammad Aidil Firdaus, pelajar tingkatan 3 dari SMK Abdul Rahman Talib yang tampil luar biasa dengan penghayatan mendalam, vokal mantap serta teknik persembahan yang berkesan. Beliau yang mendeklamasikan sajak bertajuk “Kota Keamanan” bukan sahaja memukau penonton, malah memperlihatkan kematangan seorang deklamator muda yang berpotensi besar mengharumkan nama negeri pada pentas lebih tinggi. Selaku juara, beliau memperolehi hadiah wang tunai RM200 dan sijil.
Panel juri terdiri daripada tiga tokoh kesenian tersohor negeri Pahang diketuai oleh Johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) Peringkat Kebangsaan tahun 2003, Puan Amaruszati Noor Rahim, Encik Noor Azman Norawi atau dikenali sebagai Man Kayan dan Encik Syed Indra Syed Omar (Siso Kopratasa).
Masing-masing memberikan pujian terhadap disiplin, mutu vokal dan keberanian peserta menginterpretasikan teks sajak dengan gaya tersendiri. Mereka turut menegaskan bahawa pertandingan sebegini menjadi platform penting dalam memupuk kecintaan terhadap kesusasteraan Melayu dalam kalangan remaja.

Program anjuran GEMA Pahang tersebut merupakan pentas untuk memperkasakan bakat muda. Selain deklamasi, peserta juga diberi ruang seminit untuk mengupas tentang sajak yang dipilih. Aktiviti sampingan seperti sesi berinteraksi bersama-sama deklamator profesional, pendedahan teknik lontaran suara serta bengkel ringkas penghayatan turut menjadi tarikan dan nilai tambah kepada para peserta.

Ahmad Addam Syahmil, pelajar MRSM Kuantan pula muncul naib juara dengan sajak bertajuk “Thaurah Palestin” membawa pulang hadiah wang tunai RM150 dan sijil, manakala peserta dari SMK Bukit Goh Muhamad Afiq Haziq memilih sajak berjudul “Wujud yang Menipis” terpaksa berpuas hati dengan pencapaian tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM100 dan sijil. Tiga pemenang hadiah saguhati pula ialah Aimylea Salsabila Shizuka (SMK Jengka 18), Maria Assyifa (SMK Pandan) dan Nur Jazliyana (SMK Pendidikan Khas Vokasional).
Pengerusi GEMA Pahang, Amirull Afiqq, menyifatkan pencapaian para peserta sebagai bukti bahawa seni deklamasi masih mempunyai roh yang kuat dalam kalangan remaja. Katanya,
Generasi muda hari ini bukan sahaja berani berkarya, tetapi juga mampu membawa suara dan jiwa puisi dengan penuh penghayatan. Hal ini merupakan suatu perkembangan positif untuk masa depan dunia persuratan.
Beliau turut berharap program Hari Candawara GEMA terus menjadi acara tahunan yang memupuk bakat baharu serta mengangkat martabat kesusasteraan Melayu sebagai warisan yang terus hidup dalam jiwa generasi muda.
Beberapa deklamator profesional turut tampil mendeklamasikan sajak pilihan sebagai selingan seperti Siso Kopratasa, Azli Lee Abdullah, Zulaikha Adam, Man Kayan dan Faizal Kuantan Klasik.
Program yang julung kali diadakan ini dilaksanakan bersama-sama sokongan rakan strategik, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah, Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) Kawasan Kuantan, Karangkraf, Yayasan Pahang, serta pelbagai agensi swasta yang turut serta memacu agenda pemerkasaan seni dan budaya.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengarah DBP Wilayah Tengah, YBrs. Puan Nurul Julia Alani Henri dan barisan pegawai DBP Wilayah Tengah.