Diterbitkan pada 17 Disember 2025, 15:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Malam itu, angin sejuk dari luar tingkap hospital Wales menembusi kulit. Langit kelam dan jam berdetik perlahan. Di sisi katil yang dipenuhi wayar dan alat bantuan pernafasan, Amirul terbaring lemah. Nafasnya pendek-pendek. Dadanya turun naik seperti sedang berjuang dalam diam.

“Ayah…, umi…, ada tak bawa pisang?” soalnya perlahan, hampir tidak terdengar.

Aku mengangguk perlahan. “Ada, abang. Tapi doktor tak izinkan. Katanya abang tak boleh makan makanan padat.”

Dia hanya tersenyum, walaupun jelas wajahnya menahan kecewa. Matanya tidak lagi memandang aku. Sebaliknya, siling putih itu menjadi tempatnya menumpahkan renungan terakhirnya. Seolah-olah sedang mencari jawapan antara bintik-bintik lampu hospital yang suram.

Lewat malam, ketika semua tertidur termasuk umi dan adik, aku terjaga oleh bunyi geseran lembut. Di situ, dalam sinar lampu malap, aku lihat tangan Amirul lemah memegang pen dan kertas. Sebelah matanya tertutup rapat, tetapi tangannya tetap mencoretkan sesuatu. Di wajahnya ada cahaya yang aneh — bukan cahaya fizikal, tetapi cahaya ketenangan yang sukar digambarkan.

Aku tidak berani bertanya. Aku hanya duduk dan merenung. Dalam hati, aku tahu, masa itu sudah hampir tiba. Keesokan paginya, seperti yang aku duga, Amirul tidak lagi bernafas.

Tangisan pecah di ruang itu. Doktor menggeleng perlahan. Umi rebah dalam dakapan abah. Dan aku? Aku hanya berdiri kaku, tubuh menggigil. Dunia seperti membeku.

***

Hari-hari selepas itu berlalu dalam kabus. Kami menguruskan jenazah Amirul pulang ke Malaysia. Prosesnya panjang tetapi umi tidak pernah merungut. Dia tabah, seperti selalu. Sewaktu mengemas barang peribadi abang di asrama hospital, aku menemui satu helaian kertas terlipat kemas di antara lukisan-lukisannya. Tulisannya cantik. Tegas tetapi tenang.

“Jika satu hari nanti aku pergi, jangan bersedih terlalu lama. Dunia ini bukan tempat tinggal, hanya tempat ujian. Jagalah umi dan abah. Bangkit dan jadi insan berguna. Allah tidak pernah zalim. Jangan lupa doa, usaha dan tawakal.”

Aku menggenggam surat itu erat. Dada aku terasa sesak. Air mata menitis, tetapi kali ini bukan kerana kehilangan tetapi kerana kesedaran. Kesedaran yang datang daripada insan yang sedang menanti ajal, namun masih sempat memberi harapan untuk orang lain.

Keadaan di sekolah selepas pemergian Amirul tidak mudah. Aku dibuli, diejek dan dipinggirkan. Kata mereka aku pelik dan aku pendiam. Tetapi, aku sudah letih menjelaskan diri kepada mereka. Namun begitu, apabila aku lihat umi bangun setiap pagi, masih memasak dan masih mendoakan kami, maka aku tahu bahawa aku tidak boleh kalah. Aku mula belajar semula. Fokus. Bangkit. Sedikit demi sedikit, aku mengumpul semangat. Bukan mudah, tetapi aku pegang kata-kata dalam surat itu — “doa, usaha dan tawakal”.

***

Kini, aku berdiri di hadapan pagar sekolah lama, tempat yang pernah menjadi medan luka. Tetapi, hari ini, aku kembali bukan sebagai pelajar yang ketakutan. Aku kembali sebagai guru ganti yang sedang memulakan perjalanan baharu.

Aku merenung bangunan sekolah itu. Senyuman muncul di bibir. Inilah tempat aku pernah jatuh, dan kini di sinilah aku memilih untuk bangkit.

Setiap anak murid yang lalu di hadapan aku hari ini, mengingatkan aku kepada masa silam. Namun, aku tidak lagi gentar. Aku tahu, setiap manusia ada bahagiannya. Ujian ialah tarbiah dari Tuhan, bukan hukuman.

Aku bersyukur kerana di sebalik kehilangan, aku menemui kekuatan. Kerana surat tanpa nama itu, aku belajar tentang erti reda. Tentang sabar. Dan tentang bagaimana perubahan bukan berlaku dalam sehari — tetapi bermula dengan kesedaran.

“Terima kasih, abang Amirul.”

Aku berbisik dalam hati, ‘aku akan jaga mereka. Dan aku akan berjaya, seperti yang kau harapkan.”

Kerana aku kini percaya, setiap ujian ada ganjarannya — jika kita bersabar.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi