Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuching — Gelombang baharu penulis muda Sarawak semakin menyerlah apabila mereka mendominasi kedudukan utama dalam kesemua kategori penyampaian dalam Anugerah Tinta Kenyalang 2025, yang berlangsung di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, semalam.
Anugerah berprestij yang menghimpunkan empat kategori penyampaian, iaitu Anugerah Citra Majalah Sekolah Menengah Sarawak, Sayembara Penulisan Esei Kritikan Karya Penulis Sarawak Peringkat Kebangsaan, Hadiah Sastera Sarawak dan Hadiah Sastera Tunas Sarawak menyaksikan barisan penulis muda menonjol di tangga teratas, sekali gus memperlihatkan potensi generasi baharu penulis Sarawak dalam dunia penulisan tempatan.

Fenomena ini menggambarkan keberhasilan usaha berterusan pelbagai pihak, khususnya DBP Cawangan Sarawak dalam usaha melahirkan penulis muda yang berdaya saing dan berwawasan.



Walaupun nama-nama penulis muda menyerlah pada tahun ini, pengiktirafan tersebut dilihat bukan sebagai perbandingan, sebaliknya sebagai tanda kematangan landskap sastera Sarawak yang terus hidup dan berkembang melalui kesinambungan antara penulis mapan dengan pelapis muda, yang saling melengkapi dalam memperkaya khazanah penulisan negeri ini.



Majlis Anugerah Tinta Kenyalang turut diserikan dengan pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2025 peringkat Sarawak, yang dirasmikan oleh YBrs. Puan Sharifah Fareah Syed Mohamad, mewakili Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YBrs. Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, mewakili Ketua Pengarah DBP; YBhg. Dato Dr. Jeniri Amir, Ahli Lembaga Pengelola DBP; YBrs. Dr. Azizul Haji Ismail, Pengarah DBP Cawangan Sarawak; YBrs. Dr. Robert Menua, Pengarah Bahagian Pensejarahan Yayasan Tun Jugah; dan YBrs. Dr. Noratikah Mohamad Ashaari, Timbalan Dekan Hubungan Industri dan Masyarakat, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).