Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangNaim al-Kalantani melihat fenomena “penulis puisi segera” yang semakin bercambah ditambah dengan kurangnya penulisan dan ketelitian dalam pembacaan serta penulisan prosa dalam kalangan generasi penulis baharu.
Tanpa itu, puisi hanya tinggal sebagai catatan perasaan yang tidak lebih bernilai daripada nota ringkas di telefon bimbit.
“Bulan di atas kuburan.”
– “Malam Lebaran” oleh Sitor Situmorang.
Dalam ranah sastera, puisi sentiasa dianggap sebagai mahkota tertinggi. Puisi (atau sajak) merupakan genre yang tidak hanya hadir dengan keindahan bahasa, tetapi juga dengan kepadatan makna, falsafah dan lapisan tafsiran yang kadangkala tidak habis dikupas walau oleh puluhan sarjana. Sebagai contoh, puisi “Malam Lebaran” oleh penyair Indonesia, Sitor Situmorang yang hanya terdiri daripada sebaris ayat itu, jika dianalisis oleh para sarjana, maka boleh dikatakan kupasannya tidak kunjung habis.
Selaku “peminat sastera yang kurang meminati genre puisi,” saya berasa berhak untuk mempersoalkan fenomena pelik yang semakin ketara, iaitu penulis baru begitu gemar memulakan langkah mereka dengan menulis puisi. Malah, ada yang terus mengangkat diri sebagai penyair selepas hanya beberapa helaian “catatan hati” yang disangka sebagai karya agung.
Saya berasa bahawa hal itu kelihatan janggal. Mengapa seseorang yang baru berjinak-jinak dengan dunia sastera memilih untuk menceburi genre yang paling sukar? Adakah mereka benar-benar memahami hakikat bahawa puisi menuntut bukan sahaja kecerdikan bahasa, tetapi juga ketajaman intelektual, disiplin estetik serta keupayaan membaca dan menafsir teks dengan mendalam?
Atau mungkinkah hal ini terjadi kerana bentuk puisi yang kelihatan pendek dan ringkas membuatkan mereka menyangka lebih “mudah” berbanding dengan esei, cerpen atau novel?
Yang paling logik dalam akal saya ialah kemungkinan para penulis ini mula membaca puisi kerana sifatnya yang “sekali imbas”, pendek dan padat. Kemudian mereka ini tertarik dengan gaya penulisan dan keindahan puisi yang dibaca. Langsung, mereka ingin menceburkan diri ke ranah puisi (dan lebih malang) lalu meninggalkan genre prosa dan esei untuk dicuba terlebih dahulu.
Jika logik inilah yang menjadi pegangan, maka puisi tidak lebih hanyalah “jalan pintas” bagi mereka yang malas menulis panjang, malas berfikir panjang, tetapi mahu bergelar penulis dengan segera.
Bukankah itu suatu ironi besar dalam dunia kesusasteraan?
Sejarah membuktikan puisi bukanlah medan picisan. Dari Homer di Yunani dengan Iliad dan Odyssey, Shakespeare dengan sonetanya sehingga ke Chairil Anwar yang melontarkan semangat “Aku”, puisi berdiri sebagai genre yang membentuk bangsa, mengangkat falsafah dan merakam semangat zaman. Di tanah air kita pula, kita mempunyai (sekadar menyebut beberapa nama) Usman Awang dan A. Samad Said — nama yang tidak lahir secara tiba-tiba, tetapi terhasil daripada tradisi membaca, menelaah dan mengasah pena dengan kesungguhan.
Namun hari ini, seakan-akan muncul satu generasi “penyair segera”. Mungkin juga saya yang (sekali lagi) kurang meminati genre puisi ini boleh menebak; puisi yang dihasilkan tidak lebih daripada cebisan perasaan cinta yang patah, duka yang remeh atau renungan malam yang klise. Puisi dijadikan diari terbuka yang hanya menukar “aku rindu” kepada “bulan” dan “bintang”, lalu disangka sebagai karya berseni.
Mungkin kerana puisi kelihatan bergaya, eksklusif dan memberi aura intelektual — dipilih sebagai medium untuk mencipta pengenalan diri, “Saya seorang penyair.”
Soalnya, tidakkah mereka sedar bahawa puisi ialah tingkat tertinggi, bukan tangga pertama? Mengapa tidak bermula dengan esei — genre yang lebih mendidik daya fikir, memaksa kita berhujah, menstruktur idea dan melatih kebolehan menulis dengan teratur? Atau cerpen, yang menuntut keupayaan membina plot, mengembangkan watak dan merancang naratif?
Saya berasakan bahawa tangga “terendah” dalam ranah sastera ialah penulisan esei. Esei yang paling mudah ditulis ialah mencoret pengalaman peribadi penulis. Pembaca puisi juga boleh menulis esei untuk mentafsir puisi yang ditelaahnya. Mungkin penulisan ini dianggap sebuah “ulasan”, tetapi barang diingatkan menulis esei yang kukuh memerlukan disiplin intelektual: membaca, menelaah, berhujah dan menimbang sudut pandang.
Adakah pengenalan diri “saya seorang penyair” tadi mungkin dianggap lebih Rangga berbanding “saya seorang eseis”? Mengapa begitu ramai penulis baharu enggan bermula dengan esei? Adakah mereka alergi dengan disiplin membaca dan berhujah? Adakah mereka takut akan keperluan menyusun pemikiran secara sistematik? Adakah kita sedang berada dalam zaman bahawa kependekan sesuatu karya dianggap lebih “mesra pengguna”, lebih “tular” dan lebih mudah mendapat perhatian di media sosial?
Jika benar, maka kita sedang menyaksikan tragedi sastera. Puisi yang sepatutnya berdiri sebagai puncak intelektual diturunkan martabatnya menjadi medium “jalan mudah” seperti seseorang yang enggan mendaki tangga tetapi mahu terus duduk di kerusi raja.
Lihatlah bagaimana para penulis besar membina reputasi mereka. Umar Junus dan Mana Sikana, misalnya, menghasilkan esei kritis yang mempengaruhi generasi penulis dan pembaca walaupun beliau tidak dikenali sebagai seorang penyair. A. Samad Said menulis novel seperti Salina yang penuh dengan kedalaman sosial sebelum puisinya disanjung sebagai karya kebangsaan.
Tidak ada jalan pintas. Tiada seorang pun yang berjaya hanya dengan “suka-suka” menulis dua atau tiga baris.
Hal inilah yang perlu direnungi oleh penulis baharu. Jangan hanya sibuk menulis, tetapi bacalah prosa dan esei. Karya seperti Hikayat Hang Tuah atau esei kritikan sastera bukan sahaja memperkayakan kosa kata, tetapi juga membuka horizon pemikiran. Membaca esei kritikan pula akan menajamkan daya analisis, memberi kita perspektif untuk melihat puisi bukan sekadar susunan kata, tetapi sebagai medan wacana yang menguji minda.
Kerana itu, jika benar mahu menjadi penyair, maka jalan paling selamat bukanlah menulis puisi terlebih dahulu, tetapi memperkukuh diri dengan bacaan dan penulisan prosa dan esei. Tanpa itu, puisi hanya tinggal sebagai catatan perasaan yang tidak lebih bernilai daripada nota ringkas di telefon bimbit.
Renunglah kembali. Adakah anda benar-benar mahu menjadi penyair atau sekadar mahu kelihatan bergaya dengan beberapa baris kata yang klise? Adakah anda memahami bahawa puisi ialah genre paling tinggi dalam kesusasteraan, atau anda hanya memilihnya kerana kelihatan pendek dan “mudah”?
Jika benar mahu memikul gelaran penyair, maka jalan anda panjang dan berliku. Bukan hanya soal rasa, tetapi soal ilmu, pembacaan dan kesungguhan mengasah minda. Mulakan dengan prosa, esei, cerpen dan tidak ketinggalan dengan drama pentas—biar akal anda diasah sebelum pena anda melakar puisi.
Kalau tidak, jangan salahkan sesiapa jika suatu hari nanti, sejarah hanya mengingati anda sebagai “penyair lima baris”—puisi ada, tetapi isinya tiada.