Diterbitkan pada 26 Ogos 2025, 15:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kemunculan semula Muhammad Safwan dalam arena deklamasi sajak ternyata tidak menghampakan apabila beliau dinobatkan sebagai juara dalam Sayembara Puisi Kemerdekaan 2025, yang diadakan di Panggung Terbuka, Menara Kuala Lumpur pada 23 Ogos yang lalu.

Muhammad Safwan yang mendeklamasikan sajak nukilannya berjudul “Apalah Makna Pengorbanan” telah berjaya menawan hati para juri dan sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2,000.00 berserta dua keping tiket kombo Menara Kuala Lumpur.

Dengan menewaskan lebih 20 peserta dari seluruh negara, Muhammad Safwan menzahirkan kesyukuran atas kemenangan yang diperolehinya. Beliau turut berbangga apabila berpeluang berkongsi rasa cinta kepada tanah air melalui puisi menjelang Hari Kebangsaan di satu daripada menara ikonik di Malaysia. Katanya,

Saya bersyukur dapat menjejakkan kaki dan berkongsi semangat kemerdekaan melalui puisi di Menara Kuala Lumpur. Seronok dapat bertemu pengunjung dan rakan seperjuangan walaupun ada rasa gementar kerana sudah terlalu lama tidak menyertai sebarang pertandingan.

Muhammad Safwan ketika mendeklamasikan puisi.

Berdasarkan rekod, beliau yang menceburi bidang deklamasi puisi sejak di universiti pernah meraih kejayaan sebagai pemenang Sayembara Deklamasi Puisi Remaja Peringkat Kebangsaan anjuran DBP dan menjadi johan selama tiga tahun berturut-turut dalam Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) bagi kategori universiti awam, sekali gus melayakkannya untuk bertanding di peringkat kebangsaan bersama-sama wakil dari seluruh negeri di Malaysia.

Dengan semangat patriotisme yang membara dalam jiwanya, beliau turut menitipkan pesanan kepada generasi muda masa kini yang meningkat dewasa dalam mempertahankan kemerdekaan negara. Jelasnya,

Kita sudah merdeka tetapi tidak mustahil boleh dijajah kembali. Mungkin bukan dengan senjata, tetapi penjajahan pemikiran secara halus. Tugas kita adalah untuk mempertahankan kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan pejuang yang telah berkorban segala-galanya. Eratkan perpaduan kaum dengan rasa hormat sesama kita.

Sementara itu, naib juara dimenangi oleh Najmi Adli Mustaffa yang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000.00 berserta dua keping tiket kombo Menara Kuala Lumpur dan tempat ketiga disandang oleh Muhammad Zulfadli Redzwan Sabri yang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM500.00 berserta dua keping tiket kombo Menara Kuala Lumpur.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi