Diterbitkan pada 25 Ogos 2025, 15:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Saat cahaya ilham pertama kali menyusup dari celah jendela kepengarangan tiga penulis muda menjadi tajuk perbincangan dalam satu daripada sesi Festival Mini Sastera Opera. Perjalanan peribadi proses pengkaryaan dan dunia sastera idaman setiap panel turut diperkatakan.

“Menulis bukan sahaja proses pencarian bahasa, tetapi menulis ialah proses pencarian bentuk,” hal itu diakui oleh Wan Nor Azriq yang merupakan panelis. Katanya lagi,

Setiap kali menulis novel, saya melalui proses pencarian bentuk dan bahasa. Saya memang turut menulis cerpen, tapi akhirnya memilih dan menyukai novel.

Wan Nor Azriq.

Azriq juga mengatakan bahawa semua orang boleh menulis apabila rata-rata orang berupaya menulis surat, menulis mesej dan lain-lain tulisan harian serta penulisan umum yang biasa. Namun begitu, tahap penulisan yang lebih tinggi diperlukan untuk seseorang itu layak dipanggil pengarang, yang bermula awalnya daripada “individu” lama kelamaan barulah menjadi “seseorang”. Sesi ini turut disertai dua lagi panelis, iaitu Shafiq Said dan Shield Sahran.

Shafiq Said pula menjelaskan bahawa “kita sebagai manusia rasa” dan turut menyatakan masih belum habis mengembara dalam dunia penulisan puisi. Minat awalnya terhadap penulisan puisi bermula dengan pembacaan terhadap kumpulan puisi Opera, T. Alias Taib dan karya awalnya sendiri diakui banyak dipengaruhi oleh gaya penulisan penyair besar Terengganu itu.

Shafiq Said.

Beliau terus terang mengakui walaupun dirinya mempunyai pengalaman luas dalam dunia ketenteraan dan dunia perubatan sebagai doktor gigi di klinik dalam kem askar dan selama beberapa tahun belajar di Jordan, namun ketiga-tiga hal tersebut tiada disebutkan dalam karyanya kerana belum cukup bersedia untuk menulis tentang hal itu.

“Oleh kerana saya perempuan, yang mempunyai jumlah perkataan sekitar 20,000 hingga 25,000 untuk dihabiskan dalam masa sehari, maka jika menulis puisi, saya berasa tidak cukup dengan apa-apa yang hendak disampaikan,” jelas panel ketiga, iaitu Shield Sahran. Oleh sebab itu, maka beliau lebih suka menghasilkan cerpen dan novel untuk kepuasan berkarya.

Shield Sahran.

Berbeza dengan Shafiq, Shield pula lebih terpesona dengan karya Shahnon Ahmad, iaitu buku kumpulan cerpen Debu Merah yang banyak mempengaruhi penulisan awalnya.

Azriq, pengarang yang mula mencipta nama melalui novel D.U.B.L.I.N. ini turut berkongsi bahawa ilham penulisannya datang daripada pelbagai sumber antaranya termasuklah komik, buku fantasi dan filem. Malah rumah keluarga yang merupakan kediaman ketika kecil dan remaja menjadi sumber utama dalam menumbuhkan ilham pengkaryaan.

Novel Soneta Roda Basikal juga diakuinya sebagai novel yang paling banyak mengandungi sisi peribadi hidupnya yang diilhamkan daripada rumah tersebut. Azriq yang mengagumi puisi Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh memberikan penegasan penting, iaitu “hendak mencari diri dalam sejarah panjang dunia kesusasteraan”. Hal itulah merupakan cabaran paling besar bagi seorang pengarang.

Shafiq yang mengagumi Azriq sendiri, Mana Sikana dan Irfan Fikri juga sempat berkongsi dua buah puisi kegemarannya ketika mula-mula terlibat dalam dunia penulisan. Puisi pertama, iaitu Sesudah Hujan, Dahlia tulisan Faisal Tehrani yang memenangi Hadiah Utama, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 1999 dan kedua, puisi Ainunl Muaiyanah yang bertajuk Nyanyian Hujan. Sajak Faisal membuatnya sedih dan menangis, manakala sajak Ainunl menjadikannya tertanya-tanya siapakah penulisnya dan membuatnya bercita-cita ingin menulis seperti puisi itu.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi