Diterbitkan pada 24 Ogos 2025, 14:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Empat pengarang, iaitu Fadli al-Akiti, S.M. Zakir, Ariff Mohamad dan Saat Omar berkongsi pengalaman pembacaan mereka ketika zaman kanak-kanak dalam Festival Mini Sastera OPERA anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Organisasi Alumni Program Penulisan MASTERA Malaysia yang berlangsung semalam.

“Saya sedang membaca buku-buku lama dan sebenarnya sudah sampai ke ‘stamina pak cik-pak cik’. Sekarang saya sedang membaca buku terjemahan bertajuk Kepulangan karya Jiro Osaragi terbitan DBP, buku travelog oleh Kadir Ahmad dan novel lama Ibrahim Omar”, kata S.M. Zakir ketika memulakan sesi tersebut dengan menyatakan buku-buku yang dibacanya sekarang.

Menceritakan tentang zaman kecilnya, beliau menyatakan bahawa rumahnya pada masa itu memang mempunyai banyak buku. Terangnya,

Buku di rumah masa itu memang banyak. Saya tiada pilihan dan terpaksa memegang buku. Nak keluar bermain kena tunggu habis asar. Saya bermula dengan membaca buku-buku yang agak serius tapi sebenarnya orang tua saya juga ada beli buku yang ringan untuk saya baca seperti buku Enid Blyton dan Alfred Hitchcock.

S.M. Zakir.

Selain itu, beliau juga menceritakan kesukaannya terhadap perpustakaan. Semasa beliau berada di sekolah rendah, beliau selalu mendapat hadiah sebagai seorang yang banyak meminjam buku. Katanya lagi,

Semasa kecil saya suka baca buku cerita, buku pelik-pelik tetapi tak suka sangat baca buku pelajaran. Masa itu saya baca A. Samad Said, Shahnon, Abdullah Hussain dan Arena Wati pada peringkat usia yang muda. Kemudian saya baca buku hikayat seperti Hikayat Dewa Muda, Hikayat Anggun Cik Tunggal, Hikayat Hang Tuah dan Hikayat Raja Pasai. Kesemuanya bercampur-aduk.

Beliau turut menyatakan bahawa kesemua bahan bacaannya ketika zaman kecil membuatkannya memiliki perbendaharaan kata yang banyak dan hal itu secara tidak langsung membantunya dalam kerja kepengarangannya dewasa kelak.

Ariff Mohamad juga berkongsi sentimen yang sama, iaitu semasa kecilnya beliau amat menyukai perpustakaan:

Semasa saya kecil saya membaca banyak buku cerita. Dari membaca buku cerita beralih kepada membaca surat khabar dan majalah. Ketika sekolah menengah, saya sangat berharap untuk menjadi pengawas perpustakaan. Buku yang baru sampai perpustakaan saya akan tengok dan baca dahulu. Saya bawa balik senyap-senyap, baca dan selepas itu saya pulangkan balik.

Ariff Mohamad.

Selain itu, beliau juga sekarang banyak membeli buku yang mengingatkannya kepada buku yang dibacanya ketika kecil antaranya termasuklah buku Bumi Merdeka karya Talib Samat dan Salina.

Buku-buku yang terlepas untuk saya beli dahulu dan sekarang saya cari semula dan beli.

Saat Omar pula menjelaskan bahawa keluarganya tidaklah benar-benar mempunyai budaya membaca, tetapi ibu dan ayahnya pada ketika itu sangat memberi sokongan terhadap pembacaannya.

Saya suka baca komik. Antara bacaan terawal saya ialah majalah Gila-Gila dan Variasari. Menariknya, dalam majalah Variasari itulah ada kisah bercakap dengan jin dengan dilengkapi ilustasinya yang ‘horror’ dan cantik. Selain itu, kakak saya juga memberi pengaruh pembacaan secara tidak langsung. Dekat almari rumah masa itu yang saya ingat ada Keluarga Gerilya, koleksi antologi cerpen bertajuk Di Bawah Bayang Kemboja, buku-buku novelis Nora (Haji Ali Haji Ahmad), Misteri Surat Dendam dan sebagainya. Kakak saya yang pandai bercerita yang membuatkan saya hendak menghabiskan bacaan saya.

Saat Omar.

Beliau turut menyatakan bahawa kemudiannya baharulah beliau membaca “karya sastera” seperti novel Shahnon.

Pada masa itu baru saya rasa bahawa karya itu karya sastera dan yang lain merupakan karya pop. Antara karya sastera yang terawal saya beli pada ketika itu ialah Tunggul-Tunggul Gerigis.

Fadli al-Akiti, editor Dewan Sastera dalam sesi tersebut juga berkesempatan berkongsi bahan bacaannya sekarang dan pengalaman pembacaannya ketika zaman kanak-kanak. Menurutnya, sekarang beliau sedang membaca karya penulis yang bercerita tentang pengalaman diri seperti genre autobiografi.

Saya sedang membaca Dari Salina ke Langit Petang karya A. Samad Said dan novel The Last Word karya Hanif Kureishi.

Fadli al-Akiti.

Mengulas pembacaannya ketika zaman kecil, beliau menyatakan bahawa beliau tidak membesar dengan karya sastera. Ketika berumur dalam lingkungan 20-an, baharulah beliau berminat dengan buku sastera berbahasa Melayu. Terangnya,

Semasa saya kecil, saya banyak membaca buku kanak-kanak berbahasa Inggeris seperti siri Ladybird dan buku oleh Dr. Seuss. Ketika itu juga saya terpengaruh dengan bahan bacaan kawan-kawan saya. Pada masa yang sama, saya juga banyak membaca buku movie tie-in dan ketika itu jugalah saya mengenali buku Roald Dahl dan Stephen King. Masa itu, seolah-olah semua orang kena baca Stephen King.

 

 

 

 

 

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi