Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSaya ingin menjelaskan mengapa ungkapan “desir taufan” dalam puisi Ramzah Dambul berjudul “Gawat Musim Gelora” itu bermasalah. Untuk rekod, hal ini bukan baharu, bahkan lama dikritik secara terbuka, termasuk oleh pengkritik Salman Sulaiman dalam Dewan Sastera edisi Ogos 2021, empat tahun sebelum puisi eceran ini diangkat sebagai penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2021/2022. Bagi berlaku adil, petikan penuh tulisan Salman yang berkaitan adalah seperti yang berikut:
Sajak Ramzah Dambul ini disusun dengan binaan yang agak rapi dan teratur jika diteliti dari kaca mata A. Teeuw tadi. Tidak bercelaru dan berterabur bentuknya, walaupun isi dan frasa binaannya masih boleh dimantapkan lagi. Penyair mengibaratkan seorang pejuang itu sebagai nakhoda yang mengetuai sebuah pelayaran yang perlu mengharungi pelbagai rintangan di lautan. Antara halangan yang perlu ditempuh ialah ombak dan taufan. Frasa ‘desir taufan’ yang digunakan juga tidak begitu tepat untuk menggambarkan sifat sebenar taufan. Kekuatan tiupan taufan bukan seperti angin biasa yang pernah kita rasai tatkala berada di tepi pantai. Taufan selalunya angin kuat yang menakutkan dan memusnahkan. Maka penggunaan kata desir untuk taufan tentu sahaja kurang tepat.
Oleh hal yang demikian, ini bukan isu baharu, bukan pandangan peribadi saya semata-mata, tetapi sesuatu yang telah pun dinilai oleh pembaca puitik yang teliti, antaranya seperti Salman.
Bagi sesetengah pembaca yang tergesa-gesa menyamakan ungkapan “desir taufan” dengan oksimoron puitik seperti “deafening silence” atau “cruel kindness”, eloklah kita kembali menelusuri definisi formal kedua-dua gaya bahasa ini, agar kita tidak menyamakan semua bentuk pertentangan sebagai keindahan puitik semata-mata.
Northrop Frye, dalam karya monumental Anatomy of Criticism (Princeton University Press, 1957:331), menjelaskan bahawa oksimoron ialah gabungan dua unsur yang bertentangan, tetapi masih dalam domain makna yang sama, dan berfungsi mencetuskan ketegangan makna secara retorik. Brian Vickers, dalam Classical Rhetoric in English Poetry (Macmillan, 1970), pula memperincikan lagi bahawa oksimoron seyogianya menjana makna baharu hasil ketegangan antara dua gagasan yang secara inheren mampu wujud bersama dalam satu medan semantik.
Oleh itu, ungkapan “deafening silence” itu ialah oksimoron kerana memiliki ironi pertentangan dalam domain bunyi iaitu maksud “senyap” dan “memekakkan” masih dalam spektrum akustik yang sama. Ungkapan “cruel kindness” juga oksimoron kerana wujudnya ironi pertentangan dalam domain etika di mana maksud “kejam” dan “baik hati” ialah dua sisi tindakan moral dalam spektrum etika yang serupa.
Oleh itu, mengapakah ungkapan “desir taufan” bukan oksimoron? Untuk menilai status “desir taufan”, kita perlu terlebih dahulu meninjau makna harfiahnya. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, desir bermaksud bunyi seperti daun ditiup angin, difahami sebagai hembusan halus, satu citra yang lemah lembut, mendamaikan dan perlahan. Demikian, desir tergolong dalam domain pergerakan kecil dan lembut.
Sebaliknya, taufan ialah bencana angin ribut yang kencang seraya membawa konotasi angin kencang yang ganas dan memusnahkan, satu fenomena geofizik yang ekstrem. Demikian, taufan tergolong dalam domain bencana besar dan kekacauan semula jadi.
Di sinilah letaknya masalah ungkapan ini. Kata desir dan taufan tidak berada dalam domain simbolik yang sama; satu merujuk pada kehalusan pergerakan, manakala satu lagi pada keganasan geobencana.
Pertentangan ini bukanlah ketegangan bermakna dalam medan semantik yang seragam (“tension within a frame”) seperti dalam oksimoron-oksimoron yang dinyatakan sebagai contoh tadi, tetapi lebih kepada “perlanggaran konsep yang tidak mempunyai titik temu semantik” (“collision of irreconcilable categories”), ibarat cuba menyatukan air dengan api dalam satu cawan tanpa pengikat makna.
Oleh itu, “desir taufan” bukanlah oksimoron, kerana tidak mencipta makna baharu melalui ketegangan dalam satu domain makna. Sebaliknya, ungkapan ini mencetus anomali semantik, iaitu perlanggaran dua citra yang tidak boleh berpadu secara logik mahupun simbolik. Demikian, ungkapan “desir taufan” bukan keindahan dalam bentuk oksimoron, bahkan kecuaian retorik.
Ada pula yang cuba membela ungkapan “desir taufan” sebagai paradoks puitik. Namun, seperti yang dijelaskan oleh ramai sarjana termasuklah Paul Ricoeur dalam The Rule of Metaphor (1975), paradoks bukan sekadar gabungan dua unsur yang bertentangan, tetapi juga sebagai alat penggugah akal dan kegelisahan falsafah yang mendorong pembaca meninjau makna yang lebih dalam di sebalik permukaannya yang literal.
Mari kita tinjau contoh daripada penyair Barat John Donne melalui ungkapan terkenalnya, “Death, thou shalt die,” dalam “Holy Sonnets X”. Di sini, paradoksnya wujud dalam wacana metafizik kerana ungkapan itu mencabar konsep kematian sebagai pengakhiran segala. Baris itu membawa pembaca kepada refleksi spiritual, bukan sekadar kekaburan bunyi atau paduan imej yang bertentangan semata-mata.
Sebaliknya, “desir taufan” hanya mempertemukan dua imej fizikal yang saling bertentangan secara literal, tanpa sebarang lapisan falsafah, ironi intelektual, mahupun makna simbolik yang menjana renungan. Ungkapan itu gagal berfungsi sebagai paradoks kerana tidak membangkitkan disonans kognitif yang produktif atau keretakan epistemik yang lazim dalam puisi falsafah.
Ketimbang baris John Donne tadi misalnya, pembaca mengalami disonans apabila mempersoalkan bagaimana sesuatu yang pasti seperti kematian boleh pula “mati”? Ketegangan ini tidak melemahkan puisi, malah memperkayakannya dengan lapisan tafsir spiritual dan teologi yang mencabar akal.
Bahkan, baris “Death, thou shalt die”, juga mewujudkan satu keretakan epistemik yang menggoncang faham lazim tentang kematian sebagai kuasa mutlak. Pembaca dipaksa menyemak semula anggapan metafizik mereka, adakah kematian benar-benar berkuasa mutlak, atau hanya satu fasa sementara dalam takdir rohani manusia? Jika kematian boleh mati, maka konsep realiti, akhir dan kehidupan itu sendiri perlu difikirkan semula daripada akarnya. Kini, soalan dipulangkan, adakah ungkapan “desir taufan” yang dikatakan sebagai paradoks itu mempunyai kesan pembacaan sepertimana yang dihuraikan?
Dalam The Responsibility of Forms (Hill and Wang, 1985) yang saya sebut dalam esei sebelum ini, Roland Barthes menegaskan bahawa kekuatan puisi bukan pada bunyi kata semata-mata, tetapi pada struktur makna yang terbentuk melalui hubungan semiotik antara tanda. Jika makna gagal dibentuk dan struktur semantik terputus, maka puisi itu tidak dapat menampung dirinya sendiri, biar seindah apa-apa pun bunyinya.
Saya juga tidak teragak-agak untuk menyatakan bahawa dari segi empirik, frasa ini turut gagal. Memanglah saya bukan klimatologis, tetapi perlukah semua pembaca puisi Ramzah wajib menjadi pakar cuaca hanya sekadar untuk memahami perbezaan antara desir dengan taufan? Jika ilmu klimatologi itu prasyarat untuk pembaca memahami fungsi bahkan keindahan ungkapan “desir taufan”, dengan demikian puisi “Gawat Musim Gelora” membina Tembok Besar China antara penyairnya dengan majoriti pembaca marhaen sastera.
Sungguhpun begitu, dalam skala Beaufort, sistem klasifikasi antarabangsa bagi kekuatan angin, angin semisal desir boleh dikatakan tergolong dalam kategori 1 hingga 2 apabila kelajuannya adalah antara 1–11 km/j, manakala taufan pula berada pada tahap 11 hingga 12, yakni kelajuannya lebih 103 km/j–118km/j. Oleh itu, baik dari sudut takrif saintifik mahupun linguistik, penggabungan dua kata dalam ungkapan “desir taufan” ini menunjukkan ketidaksesuaian makna yang jelas. Ini bukan sekadar masalah gaya, tetapi masalah ketepatan dan kredibiliti penggunaan metafora.
Saya akui bahawa puisi punya “lesen puitika”. Namun sebagaimana yang ditekankan oleh Paul Valéry dalam The Art of Poetry (1945), “The greatest liberty is born of the greatest rigor.” Kebebasan puisi bukan kebebasan liar, tetapi kebebasan yang tunduk pada ketepatan dan disiplin. Malah, Ezra Pound menulis dalam Gaudier-Brzeska: A Memoir (1916), “The image must be luminous, not blurred”, imej mesti bercahaya, bukan kabur. “Desir taufan” tidak bercahaya. Ia kabur, hampa dan goyah, seperti bayang-bayang tanpa tubuh. Ia tidak membuka ruang tafsiran, sebaliknya menyeret pembaca ke dalam kekeliruan bunyi yang terputus daripada struktur semantik yang sah.
Contoh-contoh puitik yang dibangkitkan sebagai pembelaan juga tidak padan. “Ombak bersiul sunyi” oleh Kemala, misalnya, merupakan personifikasi yang berfungsi kerana “ombak” dan “siul” berada dalam domain bunyi dan pergerakan, sementara “sunyi” mencipta kontras dalam satu medan dengan mewujudkan ironi produktif.
“Belaian api” juga berfungsi kerana api sebagai lambang cinta membakar, manakala belaian sebagai lambang kelembutan cinta di mana dua unsur berlawanan dalam satu domain afektif. Tetapi “desir taufan”? Bunyinya mungkin memikat, tetapi struktur maknanya lumpuh dan tidak menegangkan makna, malah membatalkannya.
Malah Jacques Derrida, dalam Of Grammatology (Johns Hopkins University Press, 1976:14), menyebut bahawa bahasa puitik mungkin menghancurkan struktur stabil bahasa, tetapi tidak mematikan makna. Bahasa yang menghancur tetapi tidak menzahirkan makna ialah bahasa yang gagal. “Desir taufan” bukan letupan makna tetapi kecelakaan semantik, satu bentuk keruntuhan makna yang disolek dengan bunyi yang kedengaran sedap. Aliterasi “de–de” antara “debur ombak” dengan “desir taufan” dalam baris sama dalam puisi itu mungkin mengalun halus di telinga, tetapi tidak menanggung apa-apa selain gema hampa yang berpusing dalam ruang kosong.
Lebih memelikkan jika kita teliti konteks penggunaan ungkapan ini dalam perenggan puisi yang dimaksudkan itu:
……….Memilih menjadi pejuang
……….bererti kau seorang nakhoda
……….yang mahu melawan samudera
……….ketika gawat musim gelora.
……….Pertama, kaukenal kapalmu
……….kayu apa membina lambung
……….serat apa menganyam layar.
……….Supaya kaudapat mengukur
……….debur ombak dan desir taufan
……….yang mampu ditanggung
……….geladak kapalmu.
Persoalannya, kapal direka untuk menempuh badai, bukan sekadar desir. Maka, meletakkan desir sebagai ukuran beban yang mampu ditanggung oleh geladak kapal, sepertinya merendah-rendahkan logik imej itu sendiri. Mengukur “desir taufan” ibarat menimbang angin sepoi-sepoi pada bahu kargo kontena. Jika puisi ini mahu mencetus kekuatan, mengapakah menduga beban yang terlalu kecil (baca: diminutive) yang tidak menguji apa-apa? Atau adakah “taufan” yang disebut hanyalah topeng untuk desir yang sebenarnya lembut lagi lemah longlai pada zahir, tetapi takut lagi pengecut pada batinnya? Jika demikian, mesej moral puisi ini berisiko memiliki masalah yang lain pula.
Jika ada yang beranggapan bahawa tulisan ini cuba membesar-besarkan kecuaian yang kecil hanya kerana memerihalkan satu ungkapan “desir taufan” itu sahaja, jelaslah wujud salah faham pada kehendak, struktur dan ruang penghujahan dalam tulisan wacana polemik. Dalam wacana polemik yang baik, para penulis terlibat sewajarnya peka pada subjek wacana, iaitu karya, dalam konteks ini, karya-karya yang dimenangi dalam HSPM 2021/2022, khususnya pada pusingan kali ini berkaitan dengan puisi-puisi eceran yang dimenangkan daripada ribuan puisi.
Dengan memahami itu, kita akan lebih fokus dan memahami had penghujahan, justeru hal-hal tiada kena-mengena seperti sejarah panjang penulis, emosi sebelum, semasa dan selepas kritikan atau gosip adakah Irfan Fikri ini orang atau hantu bayang-bayang, namanya betul atau samaran, kesemua ini adalah hal enteng yang hanya memesongkan tujuan kita berwacana. Daripada berbincang tentang perdebatan idea, khalayak terheret dalam ranah perbalahan personaliti yang sia-sia.
Tanpa gejala-gejala tidak produktif seperti ini, maka pastinya penghujahan akan lebih memfokuskan mengapa karya itu elok atau buruk. Hujah-hujah itu pula boleh diluaskan dengan memperbanyak hujah atau memperdalam hujah sekalipun tunggal dengan memperincikan lagi alir fikirnya, seperti yang cuba dicontohkan dalam tulisan ini. Hal ini merupakan asas, melainkan niat penulisan kita dari asal sudah terbabas, apatah lagi jika menulis sekadar untuk membiarkan curahan hati kecil kita dilempias.
Dengan demikian kesimpulannya, ungkapan “desir taufan” bukan oksimoron kerana domain maknanya tidak sepadan, bukan paradoks kerana tiada pemikiran mendalam yang tercetus, bukan ironi kerana tiada pertentangan makna yang disengajakan, dan bukan metafora puitik sah, kerana melanggar logik semiotik yang asas.
Ungkapan ini hanyalah contoh cacat puitika yang memperlihatkan kelemahan pemahaman terhadap seni puitik yang sebenar. Saya memahami fungsi bahasa ironi dalam puisi, juga menghormati ruang yang ditawarkan oleh lesen puitika; tetapi dalam konteks puisi Ramzah ini, adakah terlalu sukar untuk kita akui bahawa penyairnya telah melaksanakan sejenis kepengarangan yang kurang cermat?
Jika tetap dipertahankan atas nama “lesen puitika”, maka apa-apa yang kita saksikan bukanlah keberanian estetika, tetapi keselesaan dalam kemiskinan kritik, sejenis keredaan yang merayakan bunyi sebagai ganti kepada makna. Mungkin atas sebab itulah, muzik tulisan yang mempertahankan desir taufan itu berbunyi semacam meracau.