Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKenyataan Penafian: Tujuan Editor Tunas Cipta menyiarkan artikel ini hanyalah untuk meraikan pandangan berbeza daripada kalangan penulis muda. Secara amnya, apa-apa yang tertulis dalam artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendapat Tunas Cipta atau Dewan Bahasa dan Pustaka.
Apabila salah seorang juri Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) menyarankan agar penyair muda tampil dengan kejutan yang mampu menggetarkan masyarakat, maka kita menyangka akan muncul barisan pemenang yang benar-benar menghancurkan batasan bentuk, memecahkan dinding genre, menggugat wacana bahasa dan membina ulang makna puisi sebagai alat renungan zaman. Namun apa-apa yang kita saksikan adalah sebaliknya tatkala puisi-puisi yang dimenangkan dalam HSPM 2021/2022 ternyata langsung tidak menepati hasrat “revolusioner” itu. Sebaliknya, puisi yang dimenangkan adalah sajak-sajak yang selamat, lunak, sentimental dan paling parah, kebanyakannya cetek. Jika hal ini “kejutan” yang dimaksudkan, maka barangkali juri sebenarnya bercakap tentang kejutan elektrik kecil yang statik, bukan dentuman metafora yang meruntuhkan tembok pemikiran pembaca.
Selain puisi Zurinah yang telah dihujahkan punya kepincangan logik dan kecelaruan simbolik, jika dibelek-belek, pilihan-pilihan juri bagi puisi lain juga menimbulkan tanda tanya. Puisi “Gawat Musim Gelora” oleh Ramzah Dambul misalnya, bukan sahaja gagal menyampaikan sebarang ledakan makna, malah terperangkap dalam trope pelaut yang telah ratusan kali dikunyah dalam sastera Melayu, sejak zaman Syair Perahu Hamzah Fansuri sehinggalah metafora bahari generik dalam buku teks Tingkatan Lima.
Larik seperti “kerana seorang nakhoda tidak boleh menjinakkan gelora sebelum menjinakkan diri sendiri” kedengaran seperti larik motivasi kendiri, bukan puisi pemenang anugerah tertinggi negara. Dalam konteks puitika moden, puisi ini merupakan contoh klasik puisi yang gagal menjelmakan ketegangan antara bentuk dengan isi, sesuatu yang dianggap penting oleh A. Teeuw dalam menilai puisi Indonesia-Melayu pascamoden, iaitu bagaimana puisi bukan sekadar menyampaikan “apa” tetapi juga “bagaimana” menyampaikan.
Tambahan pula, ketika frasa “desir taufan” digunakan, ia membuka keaiban paling parah dalam puisi moden, iaitu kecuaian semantik. Mana mungkin desir, yang bererti hembusan halus, digandingkan dengan taufan, simbol bencana maha dahsyat? Di sinilah Roland Barthes memberi peringatan dalam The Responsibility of Forms bahawa kekuatan puisi bukan terletak pada bunyi kata, tetapi pada struktur makna yang dibentuk melalui jaringan semiotik. Jika frasa sebegini pun dilepaskan oleh juri tanpa soal, maka jelaslah bahawa selera juri telah menjadi ukuran, bukan kecerdasan kritikan.
Lebih mengejutkan ialah apabila puisi “Perahu Upaya” oleh Shapiai Muhammad Ramly, yang kelihatan seperti adik kembar kepada puisi Ramzah tadi, turut dimenangkan. Simbolisme perahu, layar, takdir dan gelora diulang dengan variasi yang tidak membawa pembaharuan. Frasa seperti “ikan kehidupan mengegelepar dalam jaring justifikasi yang masih samar” cuba bermain dengan lapis simbolik, tetapi akhirnya hanya mempamerkan kecelaruan metafora.
“Ikan kehidupan” ialah satu personifikasi longgar – ditangkap “dalam jaring justifikasi” yang tidak pun dinyatakan dalam kerangka wacana yang jelas. Dalam pendekatan semiotik Riffaterre, metafora sebegini tidak mengaktifkan “hipogram” yang membina makna kolektif dalam teks; sebaliknya hanya bergantung pada ilusi kedalaman. Puisi ini tidak membina dunia, tidak membelah kepercayaan, tidak menggugat status quo, tetapi hanya menyusun slogan puitis dalam irama lembut yang memujuk juri, bukan mencabar pembaca. Bukankah ini satu bentuk persekongkolan estetik, dengan meminjam istilah Bourdieu, bahawa penyair dan juri sama-sama bersetuju bahawa yang indah itulah yang layak, meski tidak berisi?
Kegagalan penjurian tidak terhenti di situ. “Lidah Yang Dirindui Ular” karya Norawi Hj. Kata memaparkan satu lagi bentuk kelemahan yang lebih serius: pencampuradukkan metafora yang tidak konsisten. Frasa seperti “kau ada lidah yang telah dijinakkan dengan ribuan ular” diikuti “mustahil kau tak dipinjamkan bisanya” ialah contoh kegagalan dalam mengurus simbol. Apabila lidah dijinakkan, maka logiknya ia hilang bisa bukan dipinjamkan bisa. Malah, “ular-ular yang merindui” juga tidak diberi kerangka mitologi atau psikologi yang jelas.
Dari sudut teori resepsi, hal ini ialah contoh kegagalan membina horizon harapan pembaca (Erwartungshorizont) seperti yang dihujahkan oleh Hans Robert Jauss, apabila metafora tidak menunaikan janji makna yang ingin dilancarkan, maka puisi hanya menjadi estetika yang tergantung tanpa denotasi ataupun resonansi. Kekuatan puisi bukan terletak pada bunyi eksotik kata-kata, tetapi pada jalinan makna yang menyedarkan. Dan inilah yang gagal diberikan oleh puisi ini, iaitu bukan menjelma sebagai lidah pujangga tetapi lidah yang terbelit oleh puisinya sendiri.
Sajak “Hikayat Esok” oleh Abizai pula ialah contoh bagaimana nostalgia dan romantisisme boleh membunuh puisi. Larik seperti “cerita dibancuh menjadi impian sedap dihirup marhaen sehingga terlelap” seakan-akan merendah-rendahkan fungsi puisi itu sendiri. Bukankah tugas penyair adalah membangunkan marhaen dari lena mitos, bukan membius mereka dengan hikayat palsu?
Dalam konteks ini, puisi ini gagal menepati gagasan Brechtian bahawa seni seharusnya menjauhkan penonton dari pemanjaan emosi agar dapat membuka ruang intelektual untuk kritikan sosial. “Hikayat Esok” sebaliknya ialah eskapisme yang menyamar sebagai kesedaran. Ini bukan hikayat yang menjulang harapan, bahkan ini hiburan literari yang memanjakan kemalasan makna. Apabila ditutup dengan larik “kerana memaniskan hayat tidak semudah menulis hikayat”, maka jelaslah bahawa penyair tidak membawa kita ke mana-mana. Ini bukan puisi, tetapi nota kaki kepada naratif yang lebih layak dibuang daripada disiarkan pun.
Seterusnya, “Penjual Doa” oleh Abdul Mubin Ismail, sejenis sajak yang terlalu sentimental hingga hilang cengkaman. Puisi ini ingin menjadi puisi sosial, tetapi berakhir sebagai iklan Ramadan. Baris “menyimpan labanya di celeng insaf” ialah larik yang menunjukkan keinginan untuk menjadi bijak, tetapi gagal membina dunia simboliknya. Apakah itu “celeng insaf”? Adakah literal? Simbolik? Imejnya kabur dan longgar. Secara strukturalis, semiotik seperti ini tidak membina sistem rujukan dalaman yang stabil malah mengaburkan connotation dan denotation seperti dihujahkan oleh Roland Barthes. Puisi ini bukan tidak baik langsung tetapi terlalu biasa, terlalu manis dan terlalu selamat. Puisi ini tidak menggigit sistem, tidak membingitkan jiwa dan sebenarnya tidak layak menang.
“Lelaki Yang Kehilangan Kunci” oleh Ratna Laila Shahidin pula hanya bermain di permukaan moral. Menyusun larik-larik penginsafan lelaki yang gagal, dengan simbol rumah, kunci dan masjid. Tuntasnya, satu naratif yang terlalu linear dan terlalu selamat. Puisi ini tidak mencabar kelelakian, tidak menyentuh trauma, tidak membongkar dualiti moral.
Jika benar ingin menunjukkan lelaki sebagai watak yang gagal dan insaf, maka seharusnya puisi ini merobek, bukan mengelus. Tapi memilih jalan lembut seperti kebanyakan puisi lain yang dimenangkan, akhirnya puisi itu ditutup dengan moral harapan pada baris “pulangkanlah dengan tertib untuk sebuah rumah hidup yang lebih baik”. Sebuah pernyataan yang lebih sesuai dihadirkan dalam khutbah Jumaat, bukan dalam puisi berwacana kontemporari. Dalam wacana pascakolonial, lelaki yang pulang tanpa luka ialah lelaki yang belum berhadapan dengan kuasa dan hal ini menunjukkan puisi ini gagal mengisi celah antara citra dengan realiti. Kita pastinya terkejut jika itulah sebab yang menyebabkan juri suka.
“Pencuri Pakaian” oleh Zamhari Bakti pula barangkali sajak paling manja yang pernah dimenangkan. Tajuknya seolah-olah mahu mencipta misteri, tetapi baitnya berakhir seperti skrip drama RTM bertajuk “Kenangan Tak Terlupakan”. Frasa “Namaku Kenangan. Kau selalu membuka jendela penyesalan hingga aku sering masuk tanpa kau sedar” ialah ungkapan pasrah tanpa ledakan makna.
Malah, keseluruhan puisi ini gagal menahan dirinya dari jatuh ke dalam lembah nostalgia murahan, penuh romantis separa matang yang hanya menjadikan kata sebagai hiasan, bukan perjuangan. Meminjam kata-kata Theodor Adorno, ini bukan puisi yang menentang dunia, tetapi puisi yang menyesuaikan diri dengan dunia; dan kerana itulah dimenangkan. Jika ini sebabnya, alangkah terkejutnya kita!
Paling mengecewakan bukan sekadar puisi-puisi yang dimenangkan ini lemah, tetapi paling malang, kebanyakan kelemahan ini telah pun dibangkitkan oleh pengkritik, khususnya dalam majalah Dewan Sastera menerusi ruangan ulasan masing-masing. Maka, kita tertanya-tanya, adakah juri turut membaca ulasan-ulasan ini? Jika mereka membacanya, adakah mereka benar-benar menanggapi kritikan sebagai bahan renungan atau hanya sebagai cermin kosmetik untuk menata wajah keputusan yang sudah pun dimeterai di kamar sunyi penjurian?
Atau mungkin juri hanya membaca kritikan puisi yang ditulis oleh mereka sendiri, seperti dalam Dewan Sastera edisi Oktober 2021, dalam esei bertajuk “Tangan Penyajak di Celah-Celah Tangan Birokrasi”. Penulis kritikan/juri begitu mengangkat puisi “Mot Juste” oleh Raihani Mohd. Saaid, tanpa menyedari bahawa puisi tersebut tidak lebih daripada gema-gema lama penyair itu yang kini berbunyi seperti leteran seorang perempuan yang letih dan tidak lagi berdaya mencipta larik dengan segar. Jika disemak melalui lensa intertekstualiti Julia Kristeva, “Mot Juste” bukan sahaja gemaan daripada puisi-puisi terdahulu Raihani, tetapi juga hanyut dalam cerminan suara lampau yang sudah tidak membawa perbezaan, justeru menjadikan puisi ini semata-mata reiteration tanpa transgresi, sebuah gema tanpa gerakan.
Benar, puisi itu menjerit, tetapi tidak menggegar dan berkabung atas nasib puisi, tetapi tanpa membawa renungan yang baharu terhadap puisi itu sendiri. Dalam pembacaan awal, puisi ini kelihatan seperti sebuah monolog reflektif, tetapi apabila dikupas lapis-lapisnya, yang tinggal hanyalah kitaran retorik yang berulang-ulang, seakan-akan auto-plagiarisme emosional. Larik seperti “aku juga menurap jalan ke neraka dengan puisi-puisi palsuku” kedengaran sebagai autokritik yang jujur, tetapi akhirnya kelihatan sebagai performative guilt, sejenis pengakuan estetika yang tidak mengarah kepada sebarang transformasi makna.
Malah, dengan naratif suara “aku” yang mempersenda, mengutuk, mencela, memuja, menyesal, dan menyerah dalam satu nafas panjang, ternyata puisi ini tidak menjelma sebagai polyphonic discourse seperti yang dimaksudkan oleh Bakhtin, sebaliknya menjadi cacophony of tone yang gagal membezakan sinisme dengan satira, dan keliru antara kejujuran dengan kebosanan. Puisi ini ingin menyerang konvensi puisi, namun tidak membina konvensi baharu. Seakan-akan ingin menjadi anti-establishment, tetapi bergantung pada gaya bahasa establishment. Hal ini menjadikan “Mot Juste” tidak lebih daripada sebuah simulacra, seperti yang dikemukakan oleh Baudrillard, yakni gambaran tentang kemarahan puitik yang telah hilang objek asalnya, kini tinggal sebagai tiruan kemarahan dalam ruang yang sudah tidak mempercayai makna.
Lebih parah, apabila puisi ini dinilai sendiri oleh juri yang menulis kritikan tentangnya dalam majalah yang sama, maka persoalan etika dan kredibiliti meletus seperti luka yang dibiarkan bernanah. Di sinilah, seperti yang dibangkitkan oleh Pierre Bourdieu, medan sastera tidak bebas daripada capital symbolique, iaitu bagaimana pengaruh, nama dan kedudukan seseorang dalam sistem kebudayaan membolehkan mereka meneguhkan nilai tanpa perlu mempertahankan mutu.
Jika pun kita mahu memberi sedikit ruang simpati kepada keputusan juri, maka satu-satunya puisi yang kelihatan masih boleh dimaafkan pemilihannya ialah “Dari Senja Hingga Senja Lagi” oleh Zaen Kasturi. Itu pun bukan kerana puisi itu antara puisi terbaik, khususnya daripada Zaen Kasturi, tetapi kerana yang lain terlalu lemah. Ironinya, walaupun puisi ini disambut dengan pujian dalam ruangan kritikan, kita perlu bersikap jujur; jika dihimpunkan semua karya Zaen Kasturi sejak dua dekad lalu, maka “Dari Senja Hingga Senja Lagi” pasti bukan termasuk dalam 50 puisi terbaik beliau pun.
Puisi itu hadir seperti sajak Zaen Kasturi yang mengangkat tema kehalusan deria, warna waktu dan nuansa kefanaan, tetapi tidak mendobrak apa-apa yang belum didobrak oleh beliau sebelum ini. Ini bukan sajak yang membuka langit baharu; ini hanya sajak yang berjalan di jalan yang sama, cuma dengan langkah yang lebih perlahan. Persoalan seperti “kautahu? nanti udara akan terlepas ke angkasa” atau “biarkan ia abadi dalam debar hingga senja lagi dan lagi” ialah gema khas Zaen Kasturi, namun gema itu kini tidak lagi menggetarkan, hanya berdenting lembut tanpa meninggalkan luka parah seperti selalunya.
Jika puisi ini dipilih kerana ingin meraikan “kesyahduan bahasa”, maka juri sebenarnya sedang mengangkat rasa, bukan keberanian. Jika selera menjadi ukuran utama, maka keadilan puitika akan musnah di altar sentimentaliti. Hal ini mengingatkan kita kepada teguran Adorno tentang kitsch ketika seni berhenti mencabar dan hanya menyajikan emosi ringan untuk dipuja. Kita tidak menolak keindahan larik Zaen, tetapi kita harus berlaku jujur, adakah ini karya terbaik Zaen? Jika bukan, mengapa tidak yang lebih kuat dipilih? Atau, adakah juri hanya ingin memetik sebutir bunga daripada taman puisi Zaen demi mengaburkan kebun reput yang telah mereka tabalkan lebih awal? Dalam banyak hal, keputusan ini kelihatan seperti langkah kosmetik, menampal satu puisi yang boleh dipuji supaya yang lain tidak terlalu kelihatan buruk.
Kita tidak membenci puisi-puisi ini. Kita hanya kecewa kerana puisi-puisi ini tidak cukup kuat untuk mewakili sebuah “anugerah utama negara”. Oleh itu, jika inilah wajah penuh pemenang puisi eceran HSPM 2021/2022, maka kita harus bersiap dengan satu hakikat yang pahit, betapa HSPM kini bukan lagi medan memilih puisi terbaik, tetapi medan meyakinkan khalayak bahawa yang dipilih adalah baik, walau hakikatnya tidak.
Dan itu bukan tugas juri; itu kerja pelobi. Maka, siapa sebenarnya yang menulis di celah-celah tangan birokrasi, seperti judul esei dalam Dewan Sastera Oktober 2021 itu?