Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMembakut – Pengalaman dan kepengarangan penulis mapan Sabah mencetuskan inspirasi dan semangat penulis pemula. Hal ini boleh dilihat menerusi pelibatan para pelajar dalam program Tuntunan Puisi MADANI yang berlangsung di Perpustakaan Awam Negeri Sabah Cawangan Membakut.
Program ini dianjurkan bersempena dengan sambutan Ulang Tahun DBP Ke-69 dan dikendalikan oleh Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum DBP.
Pengalaman kehidupan dan penulisan YBhg. Datuk Jasni Matlani dan Puan Rita Robert Rawantas membuatkan para penulis pemula ini berkobar-kobar ingin menghasilkan karya mereka sendiri pada suatu hari nanti. Abd. Karim Gullam selaku Naib Presiden Badan Bahasa dan Sastera (BAHASA) merupakan moderator bagi program tersebut.
Rita yang juga merupakan penulis Kumpulan Puisi Perempuan Pembunuh Sepi menceritakan tentang permulaan karier penulisannya. Keghairahan beliau dalam membaca sejak kecil lagi merupakan bibit-bibit kepada minat untuk menulis. Terangnya,
Karya sastera pertama yang saya baca ialah novel Seorang Tua di Kaki Gunung pada umur 1o tahun. Novel tersebut merupakan permulaan kepada saya untuk membaca karya sastera yang lainnya.

Selain itu, beliau juga menjelaskan bahawa faktor keadaan sekeliling juga mempengaruhi seseorang dalam menjadi penulis. Katanya,
Keadaan sekeliling juga membantu saya dalam hal ini. Ketika masih bersekolah, saya sering ke perpustakaan untuk meminjam dan membaca buku. Pada waktu itu juga saya sering hadir ke acara-acara sastera dan dapat bertemu dengan penulis idola saya. Merekalah juga yang sering memberikan arah untuk menerbitkan karya.
Seterusnya, beliau juga menyatakan bahawa keadaan sekarang lebih mudah dan senang buat para penulis pemula. Mereka boleh menulis dalam pelbagai medium yang akhirnya membolehkan karya dibaca dan diperluas.

Sementara itu, Datuk Jasni pula menceritakan kesusahan kehidupannya ketika kecil yang akhirnya menjadikan beliau sebagai penulis mapan pada hari ini.
Kehidupan saya sangat susah dan berliku. Ketika masih bersekolah, saya selalu tidak ada duit dan hidup susah. Ibu saya sendiri terpaksa meminjam duit pada orang kampung untuk membolehkan saya mengambil peperiksaan SPM. Kesusahan ketika kecil itu merupakan perjuangan kehidupan saya. Duka dalam perjuangan menempuh kemiskinan dan kesusahan hidup tersebut membuatkan saya terus semangat untuk mendapatkan ilmu dan belajar sastera.

Beliau juga turut menerangkan bahawa apabila beliau membaca puisi Latiff Mohidin dan Sasterawan Negara Usman Awang, maka beliau juga berazam bahawa pada suatu hari nanti karyanya juga akan dibaca oleh generasi muda seperti mana beliau membaca puisi dua orang penyair tersebut pada waktu kecil.

Kehidupan pada zaman moden sekarang menyukarkan penulis pemula untuk memberikan fokus terhadap bacaan dan penulisan. Rita turut mencadangkan penawar dan kaedah untuk mengatasi perkara itu. Terangnya,
Anda bacalah satu karya dalam masa seminggu. Peruntukkan dan fokuskan bacaan selama setengah jam tanpa melihat peranti elektronik. Masa setengah jam tersebut hanyalah untuk membaca. Percayalah, dengan cara tersebut anda akan lebih ghairah untuk membaca dan seterusnya menulis.
Untuk menjadi penulis yang hebat, Datuk Jasni pula menyatakan bahawa penulis pemula harus menulis dalam pelbagai genre. Beliau menjadikan seniman P. Ramlee sebagai contoh.
Anda lihat P. Ramlee. Mengapakah beliau hebat? Beliau boleh berkarya menerusi lakonan, pengarahan, mencipta lagu dan juga lirik. Anda juga harus begitu. Tulislah dalam pelbagai genre seperti novel, puisi, cerpen dan esei. Semua penulisan ini akan mengasah bakat anda. Kuasai pelbagai bidang dan anda akan menjadi seorang penulis yang versatil.
Program ini juga turut diselang-selikan dengan penerangan ringkas dan persembahan puisi tradisional etnik Sabah oleh Jasni Yaakob.