Diterbitkan pada 25 Jun 2025, 23:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tuaran – Negeri Sabah menjadi negeri pilihan bagi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun ini untuk menyambut “hari lahirnya”. Program Eksplorasi Bahasa Digital MADANI dan Sahabat Kata merupakan program sulung yang membuka tirai Sambutan Ulang Tahun DBP pada kali ke-69. Program ini berlangsung di Institut Perguruan Guru (IPG) Kampus Kent pada pagi tadi.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari dalam ucapannya menyatakan bahawa program kerjasama yang hebat ini menunjukkan penerimaan masyarakat khususnya para pelajar IPG dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan tonggak peradaban negara. Jelasnya lagi,

Penubuhan DBP atas semangat dan dorongan serta kesedaran para pejuang bahasa yang pada ketika itu merasakan bahawa kemerdekaan bukan sahaja bebas daripada penjajahan tetapi yang lebih penting ialah kebebasan untuk mempunyai bahasa sendiri iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari ketika menyampaikan ucapan.

Sementara itu, YBrs. Dr. Norafidah Noralidin, Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Kent Tuaran pula menjelaskan bahawa hubungan yang terjalin antara DBP dengan IPG mampu melahirkan bakal cikgu yang mampu berbahasa Melayu dengan baik dan betul. Terangnya lagi,

DBP merupakan gedung ilmu terbaik yang mampu mendidik masyarakat dalam memartabatkan bahasa Melayu.

YBrs. Dr. Norafidah Noralidin, Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Kent Tuaran ketika menyampaikan ucapan.

Program Eksplorasi Bahasa Digital MADANI melibatkan penyertaan para pelajar IPG sebanyak 120 peserta. Aktiviti yang dijalankan dalam program tersebut meliputi perkara yang berkaitan dengan kebahasaan dan kesusasteraan termasuklah pantun teka-teki, soalan berkaitan Sasterawan Negara, deklamasi sajak, peribahasa dan lakon peribahasa.

“Dalam kesungguhan setiap pasukan untuk bergelar juara, maka para peserta telah menyerlahkan bakat dan kemampuan diri masing-masing dalam perkara yang berkaitan dengan bahasa dan sastera”, ujar Puan Aninah Janang, Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum DBP.

Puan Aninah Janang, Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum DBP ketika beramah mesra dengan para peserta.
Sebahagian daripada aksi peserta ketika menyelesaikan satu daripada tugasan program eksplorasi.
Satu daripada peserta eksplorasi ketika melakukan tugasan mendeklamasikan puisi Sasterawan Negara.

Selain daripada program eksplorasi, para pensyarah dan penuntut IPG turut terlibat dengan program Sahabat Kata. Program ini diadakan bertujuan untuk menerangkan kepada khalayak tentang peri pentingnya kamus dan penggunaannya serta hal-hal yang berkaitan dengan pembentukan istilah bahasa Melayu.

Encik Yasir, staf Bahagian Perkamusan DBP ketika menerangkan tentang penggunaan kamus yang betul.

Para pemenang sagu hati program eksplorasi menerima hadiah wang tunai sebanyak RM 200 berserta buku terbitan DBP, pemenang tempat ketiga pula menerima hadiah wang tunai sebanyak RM500 berserta buku terbitan DBP manakala pemenang tempat kedua pula menerima hadiah wang tunai sebanyak RM600 berserta buku terbitan DBP. Pemenang tempat pertama pula membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM700 dan buku terbitan DBP.

Turut hadir memeriahkan program ini ialah Puan Jennitah Noordin, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah, Tuan Haji Harun, Timbalan Pengarah IPG Kampus Kent dan para pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran.

 

 

 

 

Kredit Foto: Mohd Adib Zulkifli dan Shafiq
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi