Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangNordiana Hamzah melihat subjek Kesusasteraan Melayu Komunikatif (KMK) sebagai sebuah mata pelajaran yang bukan hanya memperkenalkan “apa itu sastera”, tetapi mempunyai potensi yang tersendiri seiring dengan perkembangan zaman.
Melalui pembelajaran KMK juga, murid berpeluang menghasilkan karya kreatif ciptaan sendiri, seperti menulis puisi atau esei berdasarkan tema yang dipelajari. Aktiviti ini membina kreativiti dan melatih murid untuk menzahirkan idea mereka dalam bentuk penulisan
Pengenalan
Belajar sastera mengenal bangsa,
_____Bahasa indah santun terpelihara;
Ilmu dicambah menjadi berkuasa,
_____Melahirkan insan berbudi bicara.
Kesusasteraan Melayu Komunikatif (KMK) memainkan peranan penting dalam pendidikan masa kini kerana mata pelajaran ini menghubungkan generasi muda dengan warisan budaya dan bahasa. Melalui KMK, murid diajar untuk menguasai bahasa Melayu dengan baik sambil memupuk nilai murni seperti hormat, kasih sayang dan semangat perpaduan.
Sastera juga memperkaya daya fikir kritis dan kreatif melalui analisis tema, watak dan isu yang relevan dalam karya sastera. Dalam era globalisasi, KMK menjadi medium untuk mengekalkan identiti budaya bangsa, sekali gus mengukuhkan jati diri murid.
KMK juga menyumbang kepada peningkatan kemahiran komunikasi serta membolehkan pelajar menyampaikan idea dengan lebih berkesan. Oleh itu, KMK bukan sahaja alat pembelajaran bahasa tetapi juga wahana pembentukan sahsiah dan pemikiran generasi muda, menjadikannya relevan dan signifikan dalam pendidikan moden.
Kepentingan KMK dalam Pendidikan Masa Kini
Dalam sistem pendidikan sekarang, KMK merupakan mata pelajaran elektif dalam sistem pendidikan Malaysia. Murid akan memilih mata pelajaran ini semasa mereka berada di tingkatan empat. KMK berada dalam pakej keempat, iaitu Pakej Mata Pelajaran Kemanusiaan dan Sastera Ikhtisas@SASTERA.
Mata pelajaran ini bukan sahaja menggalakkan murid untuk memahami karya sastera bahkan memupuk nilai murni dan kemahiran insaniah yang kritikal dalam membina generasi yang mempunyai jati diri.
Berdasarkan kepentingan KMK, penulisan ini membincangkan empat kepentingan utama, iaitu pengukuhan jati diri dan identiti bangsa, kemahiran berfikir kritis, pemupukan nilai empati dan penguasaan bahasa.
KMK memainkan peranan penting dalam mengukuhkan jati diri dan identiti bangsa. Aspek ini dapat diperoleh daripada karya sastera yang kaya dengan elemen budaya dan nilai tradisional.
Sebagai contoh, novel Ranjau Sepanjang Jalan karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad memaparkan cabaran kehidupan dalam kalangan petani, yang menggambarkan kegigihan dan ketabahan masyarakat.
Selain itu, cerpen seperti Gulai Sembilang untuk Abah (Fauziah Mohd Ismail) juga mengangkat nilai kekeluargaan dan tradisi yang mendalam. Murid bukan sahaja belajar tentang nilai warisan tetapi juga memahami cara nilai ini diterapkan dalam kehidupan seharian.
Jelasnya, karya kesusasteraan seperti ini membantu murid untuk menghayati budaya tempatan yang kian terhakis akibat pengaruh budaya luar.
Antara kelebihan utama KMK ialah kemampuan untuk meningkatkan kemahiran berfikir kritis dan kreatif. Karya sastera sering kali mengandungi elemen simbolik dan mesej tersirat yang memerlukan analisis mendalam.
Sebagai contoh, cerpen Lambaian Malar Hijau oleh Saroja Theavy a/p Balakrishnan membawa isu pemeliharaan alam sekitar yang memerlukan murid untuk menghubungkan tema tersebut dengan konteks semasa.
Sajak Mencintai Tanah Ini oleh Lim Swee Tin juga memberi peluang kepada murid untuk berfikir secara kreatif tentang tanggungjawab mereka terhadap negara. Analisis karya sastera membantu meningkatkan kemahiran penyelesaian masalah dan kemampuan murid untuk mengasah pemikiran daripada pelbagai perspektif.
Melalui pembelajaran KMK juga, murid berpeluang menghasilkan karya kreatif ciptaan sendiri, seperti menulis puisi atau esei berdasarkan tema yang dipelajari. Aktiviti ini membina kreativiti dan melatih murid untuk menzahirkan idea mereka dalam bentuk penulisan.
KMK merupakan medium yang efektif untuk memupuk nilai murni dan empati dalam diri. Karya sastera sering kali membawa mesej kemanusiaan yang mendalam.
Contohnya, cerpen Rindu Seorang Rafik karya Nisah Haron memaparkan tema persahabatan dan pengorbanan serta mengajar murid tentang pentingnya memahami perasaan orang lain. Mereka yang terdedah kepada naratif seperti ini lebih cenderung menunjukkan tingkah laku empatik dan saling menghormati.
KMK juga membantu murid mengaitkan nilai murni yang dipelajari dengan kehidupan sebenar. Sebagai contoh, perbincangan tentang konflik dalam Res Judicata memberi peluang kepada mereka untuk mendalami isu moral dan etika dalam masyarakat.
Melalui pembelajaran teks kesusasteraan, para pelajar akan didedahkan kepada pelbagai gaya bahasa, struktur ayat dan kosa kata yang luas. Misalnya, sajak Di Sebalik Sirat Makna memperkenalkan murid kepada penggunaan metafora dan simbolisme serta memperkaya pengetahuan mereka tentang bahasa.
Cerpen seperti Air Mata Dalang pula membantu murid memahami variasi bahasa dalam pelbagai konteks budaya dan sosial. Selain itu, KMK juga turut menyediakan peluang kepada murid untuk memperbaiki kemahiran menulis serta meningkatkan keyakinan diri dalam menggunakan bahasa Melayu berdasarkan aktiviti lakonan.
Aktiviti ini dapat meningkatkan kemahiran komunikasi murid, terutamanya dalam penggunaan bahasa yang lebih ekspresif dan berkesan.
Rajah 1: Aktiviti lakonan seperti Teater Bayang dapat meningkatkan kemahiran komunikasi murid, terutamanya dalam penggunaan bahasa yang lebih ekspresif dan berkesan. (Program Kelestarian Tradisi Melalui Penginspirasian Komuniti, 26,27 dan 29 November di SMK. Khir Johari, Tanjong Malim Perak )
KMK Berperanan dalam Melahirkan Penulis Baharu
KMK bukan sahaja memperkenalkan kepada murid tentang karya sastera yang berkualiti tetapi juga memberi peluang untuk memahami teknik penulisan, memperoleh inspirasi dan mengembangkan kreativiti.
KMK memberi murid akses kepada pelbagai gaya dan teknik penulisan yang terdapat dalam karya sastera. Hal ini termasuklah tentang teknik penyusunan plot, penciptaan watak dan penggunaan gaya bahasa.
Sebagai contoh, novel Interlok oleh Sasterawan Negara Abdullah Hussain memberikan murid peluang untuk mempelajari cara mengatur plot cerita yang berkesan. Karya ini mengajar murid tentang cara perkembangan cerita yang boleh disusun dengan harmoni untuk memastikan pembaca terus terlibat dengan karya itu.
Selain itu, cerpen Rindu Seorang Rafik pula memperlihatkan teknik penggunaan dialog yang memperkaya emosi dan mesej cerita. Teknik ini boleh diaplikasikan oleh murid dalam menghasilkan cerpen atau skrip drama sendiri.
Analisis terhadap gaya penulisan dalam teks kesusasteraan membantu murid memahami kaedah terbaik untuk menyampaikan idea dengan jelas dan berkesan.
Murid juga diperkenalkan kepada teknik bahasa kiasan melalui puisi seperti karya Di Sebalik Sirat Makna. Teknik penggunaan metafora, simile dan simbolisme diperkenalkan untuk menyampaikan mesej yang mendalam melalui karya.
Dengan memahami teknik ini, murid berpotensi menghasilkan karya kreatif yang mampu menarik perhatian pembaca.
KMK berfungsi sebagai sumber inspirasi yang mendorong murid untuk menulis. Karya yang dipelajari dalam KMK menyentuh isu penting seperti persahabatan, perjuangan dan kemanusiaan.
Sebagai contoh, cerpen Gulai Sembilang untuk Abah mengangkat tema kasih sayang keluarga yang boleh memberi cetusan idea kepada murid untuk menulis tentang pengalaman mereka sendiri.
Sajak Mencintai Tanah Ini pula memberikan inspirasi kepada murid untuk menulis tentang tanggungjawab terhadap negara. Mereka yang terinspirasi dengan mesej patriotisme dalam sajak sering kali menghasilkan karya yang menyerlahkan semangat cinta akan tanah air.
Inspirasi juga boleh diperoleh daripada isu semasa yang disentuh dalam karya sastera. Sebagai contoh, cerpen Air Mata Dalang memberikan ruang kepada murid untuk memikirkan tema perjuangan hidup dan menulis tentang cabaran sosial di sekeliling mereka. Dengan membaca karya yang relevan dengan realiti semasa, murid akan berasa lebih dekat dengan dunia penulisan dan terdorong untuk mencuba menulis.
KMK juga menyediakan platform untuk para murid mempamerkan bakat dalam bidang penulisan. Pertandingan menulis cerpen atau puisi berdasarkan pelbagai tema yang dipelajari dalam kelas memberi peluang kepada mereka untuk terlibat dalam proses kreatif.
Selain itu, para murid juga boleh menghasilkan skrip drama yang berasaskan teks sastera seperti adaptasi cerpen Lambaian Malar Hijau. Aktiviti ini bukan sahaja memberi pengalaman tentang proses dan kaedah sesebuah karya diterjemahkan ke dalam bentuk yang berbeza tetapi juga membuka peluang untuk mereka berkolaborasi dengan rakan sebaya.
Platform digital seperti penerbitan dalam talian atau blog kelas juga memberi ruang kepada murid untuk berkongsi karya mereka dengan khalayak yang lebih luas. Aktiviti ini membolehkan keterlibatan mereka dengan penulis profesional menerusi program seperti bengkel penulisan dan sesi dialog. Aktiviti seperti ini memberi inspirasi dan pendedahan kepada murid tentang dunia penulisan kreatif.
KMK bukan sahaja memperkaya minda murid tentang hal-hal kesusasteraan tetapi juga membuka jalan untuk menjadi penulis baharu. Usaha untuk mengintegrasikan KMK dalam sistem pendidikan harus terus digiatkan agar potensi besar mata pelajaran ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya.