Diterbitkan pada 19 Disember 2024, 17:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kajang – “Pendokumentasian merupakan masalah utama yang perlu ditangani untuk mencipta sebuah ekosistem sastera yang ‘mendunia’,” ujar Fadli al-Akiti, editor majalah Dewan Sastera (DS) dalam Sesi Dialog “Mencipta Jagatraya Karya: Manipulasi dalam Era Digital” sempena Sidang Kemuncak Penulis Malaysia kali ke-3, di Universiti Tenaga Nasional baru-baru ini.

Membuka perbincangan, beliau menyebutkan bahawa jagatraya karya tidak terhad kepada karya tekstual semata-mata, sebaliknya turut merangkumi hasil alih wahana dan adaptasi.

Beliau membawakan contoh karya besar Barat, iaitu Alice in Wonderland tulisan Lewis Carroll yang telah berjaya dipindahkan ke dalam pelbagai bentuk transmedia dalam domain awam.

Dalam sesi tersebut juga, beliau turut menyuarakan bahawa perlunya pangkalan data raya sastera yang bersepadu, sistematik dan setempat dibuat sebagai sumber rujukan, penyelidikan, penarafan dan penyusunan perkembangan sastera. Lanjutnya,

Malaysia belum mempunyai sebuah badan atau suatu gerakan inisiatif yang melaksanakan proses mencari, meneliti, mendokumentasikan dan menyiarkan data karya terbitan tempatan seperti buku, filem, lagu, foto dan lukisan secara holistik dan sistematik. Perkara ini perlu diusahakan.

Sesi dialog selama dua jam itu turut menampilkan penulis, editor dan penterjemah, iaitu Azzah Abdul Rahman.

Menyentuh soal manipulasi era digital, beliau menyatakan tentang beberapa medium karya digital yang wujud seperti Wattpad, Novel Plus dan Cereka. Walaupun platform seperti Wattpad memiliki kekurangan daripada segi tapisan kandungan cerita, namun peranannya sebagai medium penyiaran karya digital dengan akses yang tinggi kepada pembaca global tidak harus diketepikan.

Beliau yang juga merupakan Pengurus R&D Grup Buku Karangkraf turut menyebut beberapa langkah yang telah diambil oleh Karangkraf sendiri dalam usaha menambah baik kandungan Wattpad. Antara langkah yang diambil termasuklah melakukan kaji selidik kehendak semasa pembaca Wattpad dan memasukkan previu buku terbitan Karangkraf.

Sesi dialog yang dipengerusikan oleh Hafiz Latiff itu turut mengarah kepada perbincangan tentang revolusi medium oleh kecerdasan buatan (AI). Berkenaan perkara ini, Azzah berpendapat bahawa penulis perlu berani untuk terus bereksperimen dengan teknologi baharu, termasuklah AI sambil membina komuniti pembaca melalui platform digital.

Sidang Kemuncak Penulis Malaysia Kali ke-3 dan Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2024 merupakan program anjuran bersama antara Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Dewan Bahasa dan Pustaka, Perbadanan Kota Buku, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia dan Institut Terjemahan Buku Malaysia.

Program tersebut berlangsung selama tiga hari bermula pada 18 hingga 20 Disember 2024 .

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi