Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangOleh: Nik Nur Syahira Hasbullah
Dalam kesibukan kota raya dihujani bunyi-bunyian enjin kenderaan ke hulu ke hilir demi pencarian rezeki walaupun sudah lewat malam, terdengar bunyi alunan gemeresik daripada penyanyi terkenal antarabangsa The weeknd melalui telefon bimbit seorang wanita berkulit kuning langsat lingkungan 20-an.
“Assalamualaikum Leena, mama ganggu ke? Eh kejap, kamu dekat mana bising-bising ni?” soal mama.
“Waalaikumussalam, mama. Kenapa ni? Leena ada dekat luar, tengah cari makan dengan kawan serumah ini. Kalau mama nak tanya pasal tiket ETS itu, Leena dah beli mama. Lagipun majlis akad nikah Abang Luthfi lambat lagi. Jangan risau, okey?”
“Eh, macam tahu-tahu pula mama nak tanya tentang itu. Iya kamu kata lambat tapi pejam celik, pejam celik, kejap saja bulan depan itu. Okey lah kalau macam itu. Nanti dua minggu lagi, mama telefon kamu. Assalamualaikum, jaga diri elok-elok.”
“Ya mama jangan risau, waalaikumussalam.”
Leena yang sudah lelah dengan berjuta soalan daripada mama tentang perkahwinan Abang Luthfi terduduk seketika sambil menunggu perut yang berkeroncong diisi dengan sesuatu. Bukannya tidak mahu pulang dengan kadar segera, tapi waktu sahaja yang tidak mengizinkan, ditambah lagi dia seorang penggiat aktif dalam persatuan mahasiswa di universiti tempatnya belajar. Lagipun akad nikah yang akan dijalankan bukannya esok hari tetapi jauh berminggu-minggu lagi, itu pun sudah menimbulkan kegusaran dalam hati mamanya.
Kepulangan Leena satu-satunya anak perempuan dalam empat beradik itu ditunggu-tunggu mamanya. Arwah babanya sudah lama pergi setelah kelahiran adik bongsunya. Mereka yang masih kecil seakan-akan memahami perasaan mama ketika itu, dan itulah yang menjadi sumber kekuatan untuk mama meneruskan hidup.
Selang beberapa hari kepulangan Leena di rumah, mereka sekeluarga membuat keputusan untuk berangkat ke tempat berlangsung majlis akad nikah Abang Lutfi. Perjalanan yang membawa mereka jauh dari rumah membuai Leena yang sudah kepenatan. Selama enam jam perjalanan, mereka akhirnya tiba di hadapan rumah teres milik Mak Lang yang disewakan kepada orang ramai. Samar-samar kelihatan sosok lelaki tinggi lampai dari luar cermin kereta melambai ke arah mereka sekeluarga, Abang Luthfi sudah menantikan ketibaan mereka di situ.
“Assalamualaikum, sampai juga semua di sini. Macam mana perjalanan dari rumah, okey ke?” tanya Abang Luthfi kepada mereka sekeluarga.
“Waalaikumussalam,” semua menjawab salam Abang Luthfi.
“Alhamdulillah, semuanya okey Luthfi. Lagipun ada Leena dengan Achik boleh gilir-gilir memandu dari rumah,” jelas mama kepada anak saudaranya itu.
“Eh lupa pula Luthfi nak sampaikan salam mak dekat semua. Hari ini mak tak dapat nak ikut Luthfi datang sini, dia ada hal sikit. Biasalah tak lama lagi nak dapat menantu.”
Sesi perbualan yang membawa seribu satu makna dalam hidup masing-masing kerana sudah lama tidak berjumpa mata berakhir di hadapan rumah sahaja. Mereka semua masuk ke dalam didahului oleh Abang Luthfi yang memegang kunci untuk membuka pintu rumah. Rumah teres yang sudah lama tidak didiami oleh penyewa masih lagi utuh sehingga kini.
Sebenarnya, kawasan rumah teres itu hanya beberapa kilometer sahaja daripada rumah yang didiami Abang Luthfi sekeluarga, jadi urusan mereka untuk ke majlis akad nikah nanti mesti lebih mudah. Mesti ada yang tertanya-tanya mengapa tidak rumah keluarga Abang Luthfi sahaja menjadi tempat tinggal sementara bagi keluarga Leena? Memang satu ruang pun tidak cukup buat mereka kerana bilangan ahli keluarga Abang Luthfi sendiri sudah mencecah puluhan orang.
Kerana itu, teres milik Mak Lang menjadi kediaman sementara mereka beberapa hari sebelum akad nikah Abang Luthfi dijalankan. Bilik kosong paling hujung di tingkat atas menjadi tempat tidur Leena buat sementara waktu, mamanya pula berada di bilik tidur utama manakala dua orang lagi adik lelakinya tidur bersama-sama di bilik paling bawah berdekatan dengan ruang makan. Kehairanan sejenak wanita muda berkulit kuning langsat itu apabila suasana bilik yang didiaminya seakan-akan suram seperti tidak dijaga, walaupun sudah diberitahu oleh Abang Luthfi bahawa rumah ini setiap bulan dibersihkan oleh Mak Lang.
Terdengar suara abang Luthfi memanggil nama Leena dari luar bilik menyebabkan dirinya bergegas ke luar. Belum sempat keluar, Abang Luthfi sudah tercegat di hadapan pintu bilik, memandang Leena sambil mengerut dahinya.
“Eh Leena, maaf Abang Luthfi tak perasan pula Leena masuk bilik ini. Kenapa tak sebilik saja dengan Mama Su dekat bilik utama, situ ada penghawa dingin lagi sejuk. Lagipun bilik ini Abang Luthfi tak sempat kemas sepenuhnya lagi, tapi kalau Leena nak duduk juga, kena kemas ya,” kata seorang sepupu yang penuh prihatin.
“Hmmm, tak apa lah abang Luthfi, Leena okey saja duduk bilik ini, nanti Leena kemas. Jangan risau ya.”
Abang Luthfi berlalu pergi setelah setuju dengan keputusan Leena untuk kekal berada di bilik tersebut. Leena pula berusaha sedaya upaya memastikan bilik itu dalam keadaan bersih dan teratur. Sudah menjadi sifatnya untuk mementingkan aspek kesempurnaan dalam segala macam perkara. Penat lelah membersihkan kawasan bilik membuatnya turun ke bawah mencari sesuatu untuk menghilangkan dahaga. Suasana sunyi di bawah, langsung tidak kedengaran suara adik-adiknya, tanpa menghiraukan semua itu, dia terus ke dapur.
Matanya tepat menghala ke singki dapur, terpampang sosok tubuh mamanya bertelekung menunggu azan asar berkumandang. Belum sempat Leena menyergah, Achik sudah memanggil. Apabila dia kembali, kelibat mamanya sudah hilang.
Usai menghabiskan waktu di bawah melayan kerenah Achik, Leena naik ke atas melalui bilik mama. Mama sedang duduk di atas sejadah kegemaran arwah baba yang dibeli di Mekah suatu ketika dahulu. Waktu malam menjelma, mereka berkumpul di ruang makan sambil menunggu makanan yang dipesan melalui penghantar makanan.
Masa yang sesuai untuk Leena bertanyakan soalan kegusarannya siang tadi kepada mama. Tapi yang pelik, mama menegaskan bahawa ini kali pertama dia turun ke bawah setelah masuk ke bilik utama buat kali terakhir setelah Abang Luthfi berangkat pulang ke rumah. Lagipun siang tadi mamanya lena dibuai mimpi sehingga azan asar berkumandang kerana kepenatan.
Pada masa yang sama terdengar deringan telefon mama yang berada di atas sofa menyebabkan Achik segera mendapatkannya. Kelihatan tertera nama “Alang” di skrin telefon, lalu mama menjawab. Seperti kebiasaan, seluruh isi rumah boleh mendengar kerana mama memasang pembesar suara di telefon, terdengar suara tangisan yang sangat mereka kenali iaitu suara Mak Lang.
“Kak Su, Luthfi, Kak Su. ” Kegusaran dalam hati Mak Lang dapat mereka rasai.
“Ya, Luthfi kenapa?”
“Luthfi Kak Su, Luthfi kemalangan. Lepas balik jumpa Kak Su sekeluarga, saya tunggu dia di rumah. Kemudian, ada orang telefon tadi, beritahu Luthfi ada di hospital. Kereta dia terbabas, dirempuh dengan lori.”
Tanpa menghiraukan abang penghantar makanan yang masih belum sampai di rumah, mereka tergesa-gesa ke hospital menjenguk keadaan Abang Luthfi. Walaupun Leena berbaju tidur tetapi itu bukanlah segala-galanya kerana bagi dia keadaan Abang Luthfi yang paling penting.
Sampai sahaja di sana, perut Leena rasa memulas mahu ke tandas. Dia mula mencari tandas berdekatan. Sebelum sempat tiba di tandas, dia ditahan oleh lelaki dalam lingkungan usia 30-an.
“Maaf, nak tanya. Cik ini dari ruang menunggu dekat sana kan? Saya nampak cik dekat sana tadi. Sebenarnya saya yang jumpa lelaki yang kemalangan tadi, lepas itu lupa pula saya nak beri kalung ini kepada anaknya.”
“Ya betul, lelaki tadi sepupu saya. Terima kasih sangat-sangat encik, sebab bawa dia datang ke hospital. Kalau tiada encik, saya tak tahu apa akan jadi pada dia.”
“Sama-sama cik,”
Sebaik sahaja kalung itu singgah di tapak tangannya, terpamer tulisan paling kecil di dengan perkataan “MARINA”. Secara tiba-tiba suasana hospital berubah menjadi rumah teres yang didiami, semua umat manusia lenyap dari situ. Yang tinggal hanyalah Leena di rumah teres yang suasananya lebih berbeza tidak seperti pertama kali dia melangkah di situ.
Terdengar jeritan wanita dari aras atas sedang bergaduh mulut antara satu sama lain, Leena bergegas melihat apa yang berlaku. Kelihatan dua orang wanita yang berlari berkejaran turun ke bawah, seorang sedang mengendong bayi, manakala seorang lagi seperti sedang dalam berpantang. Bait-bait pertengkaran mereka berdua jelas didengari oleh Leena.
“Akak, akak nak bawa anak saya ke mana? Tolong kak, jangan ambil anak saya. Itu satu-satunya zuriat yang saya ada dengan abang Lukman,” rayu wanita dalam pantang itu.
“Aku cakap, aku nak ambil budak ini. Kau tak faham bahasa ke? Aku tak tahu macam mana keadaan dia kalau tinggal dengan kau yang bela jin dekat rumah ini. Kau sedar tak, yang kau itu syaitan bertopengkan manusia? Cukup suami aku kau dah guna-guna. Aku tak nak budak ini bila besar, jadi hamba kau buat benda syirik.”
Pertengkaran antara mereka berdua menyedarkan Leena bahawa wanita yang menggendong bayi itu ialah Mak Lang pada zaman mudanya. Wanita dalam pantang itu pula menjadi persoalan bagi Leena. Leena sedar bahawa mereka berdua langsung tidak merasakan kehadiran dia di situ. Sesekali mencubit pipinya kerana khuatir bahawa semua itu adalah mimpi semata-mata, malangnya itulah realiti.
Tragedi Mak Lang dan wanita yang tidak dikenali itu diakhiri dengan cubaan melarikan bayi daripada ibu kandungnya. Tangan wanita itu ditepis Mak Lang, menyebabkan dirinya hilang imbangan lalu jatuh sewaktu menuruni anak tangga. Mak Lang segera berlari keluar menuju ke kereta tanpa menghiraukan wanita tersebut.
Tiba-tiba dirinya berada dalam bilik yang dia diami semasa sampai di rumah teres pada awalnya, kini wanita dalam pantang tadi cuba meragut nyawanya sendiri akibat perbuatan Mak Lang. Leena tidak mampu berbuat apa-apa kerana dirinya ketika itu seakan-akan roh yang bertebaran sahaja. Dalam tangisan sayu seorang ibu yang kehilangan anaknya, mata helang Leena tertumpu ke arah leher wanita tersebut yang memakai seuntai kalung bernama “MARINA”. Tiba-tiba dirinya disentak lagi dan lagi.
“Leena, lama betul kamu tidur. Kita dah nak sampai rumah teres Mak Lang,” jelas suara mama.
Leena masih lagi mamai tidak mengerti dengan apa yang telah berlaku. Mengapa dirinya masih di dalam kereta, sedangkan dari awal mereka sudah sampai di rumah teres itu? Abang Luthfi pula kemalangan dan kali terakhir dia sempat melihat cubaan wanita berpantang itu mahu menggantung diri. Kegusarannya dihentikan dengan panggilan telefon daripada Abang Luthfi yang memberitahu khabar buruk berkenaan emaknya. Katanya, Mak Lang secara tiba-tiba terkena serangan angin ahmar semasa sibuk menghias dulang perkahwinannya tidak lama lagi.
Leena tidak sempat merungkai segala misteri yang ada, sudah pun berada di hadapan ruang menunggu mendengar khabar berita berkenaan Mak Lang.
Mak Lang yang terkena strok separuh badan cuba untuk berkomunikasi dengan kami tetapi yang keluar hanyalah tangisan air mata sahaja kerana masing-masing tidak memahami apa yang ingin disampaikan.
Sosok tubuh lelaki yang sudah lama tidak muncul selama ini kembali. Bekas suami Mak Lang datang untuk melawatnya. Di sinilah segala rahsia keluarga Abang Luthfi terbongkar. Wanita dalam pantang itu sebenarnya ibu kandung Abang Luthfi. Mama Leena terkejut dengan sikap sebenar adik perempuannya itu.
Selama Pak Lang berkahwin dengan isteri keduanya, Marina, hati Mak Lang tidak pernah tenteram. Tuduhan belaan jin yang terkait dengan arwah ibu kandung Abang Luthfi selama ini rupanya salah. Mak Lang juga mengambil Luthfi daripada pangkuan arwah Marina kerana tuduhan dibuatnya berkenaan arwah yang cuba membunuh anak kandung sendiri sememangnya tidak betul.
Leena yang mendengar seakan-akan tidak dapat memproses kenyataan tersebut. Suasana bertukar haru biru sehingga ke saat akhir hayat hidup Mak Lang yang masih diselubungi dengan dosa lampau.
Semua yang turut ada pada hari kejadian tempoh hari masih tersentak dengan apa yang berlaku. Abang Luthfi sempat singgah di kubur milik arwah ibu kandungnya setelah pengebumian Mak Lang.
Kata-kata Abang Luthfi kepada arwah ibunya waktu itu sememangnya menjengah hati rapuh Leena sehingga air mata bercucuran membasahi pipinya. Dari jauh, mata batin Leena dibuka buat pertama kali, sosok wanita yang sudah dikenalinya tersenyum melihat mereka dari jauh. Itulah dia arwah ibu kandung Abang Luthfi bernama “MARINA” .