Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangOleh: Suzianah Mohd Samin
“Menghitung hari, detik demi detik,”
Bait lirik itu spontan keluar dari mulutku, memandangkan dua hari lagi aku akan mengembara solo ke Seoul, Korea sambil tanganku membelek-belek risalah kecil yang mengandungi banyak maklumat tentang negara yang popular dengan artis kegilaan remaja pada masa kini.
“Jadi kau memang nekad mengembara solo di sana?” tanya Farah, rakan baik yang setia dengan aku sejak bangku sekolah rendah lagi. Kali ini Farah seperti ragu-ragu dengan perancangan aku untuk mengembara secara solo buat kali pertama di Seoul, Korea.
“Aku sudah beli tiket penerbangan dan segala keperluan penginapan, pengangkutan dan aktiviti semasa berada di sana, aku sudah beli awal secara atas talian,” balasku sambil menunjukkan skrin telefon bimbit yang tertera bukti resit pembayaran tiket semasa berada lima hari empat malam di sana.
“Sekarang ini aku nak tahu, apa yang membuatkan kau mengambil keputusan ingin mengembara secara solo di Korea?” tanya Farah lagi dan kali ini dia menatap tepat wajahku yang sedang teruja meneliti risalah kecil dan beberapa barangan percuma yang diperoleh daripada Organisasi Pelancongan Korea di Malaysia.
“Sebab tambang murah, lagipun sesuai dengan bajet aku dan hasil bacaan dan penelitian aku, Seoul, Korea Selatan antara 10 negara selamat untuk dikunjungi tahun ini,” sambung aku dengan nada yakin dan kali ini meneliti beberapa barangan yang aku baru beli tadi untuk dibawa semasa mengembara di Korea Selatan itu nanti.
“Apa-apa pun sebagai sahabat aku doakan semoga segala urusan di sana dipermudahkan. Amin!” kata Amy sambil menadah tangan mendoakan kata-kata baik buat aku yang akan berangkat lusa.
Teringat pesan ibu sebelum berangkat ke Negara Korea Selatan itu, jangan sombong dan belajar menyesuaikan diri dalam pergaulan ibarat ke tengah pun boleh, ke tepi pun boleh dan jaga pertuturan serta adab kita, sebab “Budi Bahasa Budaya Kita” dan ini akan menjadi bekalan untuk aku mengembara nanti.
Hari yang dinantikan telah pun tiba, pengembaraan secara solo aku bermula dan setibanya di Lapangan terbang Incheon dengan tempoh penerbangan hampir tujuh jam tiga puluh minit, cabaran pertama bermula iaitu melalui kaunter imigresen untuk semakan pasport. Ini merupakan perkara yang paling digeruni oleh pelancong yang datang ke Korea. Hasil bacaan aku, ramai pelancong Malaysia yang terkandas semasa semakan pasport di imigresen lapangan terbang dan dihantar pulang ke Malaysia tetapi tidak pasti apakah punca kejadian tersebut? Waktu ini, perasaanku bercampur baur – risau, cemas, tangan berpeluh-peluh serta rasa hendak terkucil pun ada.
Sebelum datang ke Korea, memang berbulan-bulan aku membuat penelitian dan membaca maklumat melalui media sosial seperti cara pengisian borang memasuki Korea dengan betul supaya tidak menjadi antara mangsa yang dihantar pulang semula ke Malaysia. Akhirnya, syukur alhamdulillah dipermudahkan dan telah berjaya melalui kaunter imigresen yang menjadi igauan ngeri setiap pelancong dan sekarang aku faham, mungkin satu daripada sebab aku tidak ditahan atau disoal siasat kerana maklumat yang aku sertakan terutamanya tarikh pergi dan balik serta alamat penginapan dan butiran diri adalah lengkap dan jelas. ‘Fuh! Nasib lepas,’ keluhku lega.
Semasa keluar dari pintu ketibaan ruang bagasi, perkara pertama yang aku kena ingat adalah nombor pintu ke stesen kereta api laju ke tempat penginapan aku iaitu Daerah Myeongdong seperti dalam tutorial video. Bagi aku sebagai pengembara solo adalah lebih mudah dan menjimatkan kos dengan menaiki kereta api laju berbanding pengangkutan awam lain tetapi itu pilihan masing-masing, “tepuk dada tanya selera”.
Akhirnya, hampir sejam perjalanan dari Lapangan Terbang Incheon ke stesen Seoul untuk pertukaran kereta api, aku tiba di stesen Myeongdong. Semasa keluar dari pintu enam menuju ke tempat penginapan, masa inilah aku sangat teruja apabila kepulan asap keluar dari mulut. Rasa berkobar-kobar untuk mengharungi hari-hari berikutnya semasa mengembara di bumi Korea pun bermula.
Sebaik sahaja sampai dan selesai urusan penginapan yang terletak di tengah-tengah Myeongdong yang terkenal sebagai satu daripada pusat membeli-belah serta tumpuan pelancong ini, aku memulakan perjalanan bersiar-siar di sekitar Pasar Myeongdong dengan suasana hiruk-pikuk di sekitarnya. Seperti rusa masuk kampung, aku melihat orang sekeliling yang berduyun-duyun di kawasan ini membuatkan aku teringat-ingat suasana Gaya Street di Kota Kinabalu yang seakan sama dengan Pasar Myeongdong, bagi pendapat aku tempat ini sangat sesuai dengan pengembara solo seperti aku. Bermula pada hari ini dan beberapa hari yang mendatang aku akan menggunakan bantuan aplikasi penunjuk arah untuk ke destinasi pilihan seperti yang telah dirancang dalam jadual perjalanan.
Teringat situasi pagi tadi sewaktu perjalanan menaiki kereta api laju dari Lapangan Terbang Incheon dan setibanya di stesen Seoul untuk persinggahan ke kereta api Myeongdong, aku menyapa seorang remaja perempuan untuk mendapatkan arah destinasi dan dia pun tidak pasti tetapi dia masih tetap membantu aku mendapatkan jawapan. Dengan riak muka yang terkejut, remaja perempuan berkulit putih dan berambut lurus paras bahu itu kembali mendapatkan aku dan segera memberikan maklumat seperti yang aku cari dan dengan pantas aku tersenyum kegirangan dan mengucapkan terima kasih sebelum berlalu pergi. Bagi aku, berjumpa dengan orang yang baik-baik juga rezeki. Yang penting,
“Jangan berhenti untuk berbuat kebaikan dan permudahkan urusan orang lain insya-Allah akan dipermudahkan urusan kita.”
Kejadian yang menimpa ini mengingatkan aku pada bidalan, “segan bertanya sesat jalan.”
***
Hari Kedua di Myeongdong, cuaca sememangnya sejuk yang luar biasa. Kebiasaannya kalau di tempat sendiri apabila bangun pagi aku seperti mandi peluh mencari kipas tetapi di sini suasana luar biasa, memang tidak terasa berpeluh dan yang menariknya hotel tempat aku menginap ada menyediakan pemanas badan di bilik untuk keselesaan pelanggan. Pagi itu jari jemari aku terasa beku barangkali kerana salji akan turun.
Masa menunjukkan jam 7.21 pagi, aku sangat terkejut ada benda putih seperti kapas jatuh dengan lebatnya turun dari luar tingkap. Aku segera mengambil telefon bimbit dan mencari maklumat suhu pada pagi ini dan ternyata 0 darjah celcius.
“Wah, salji turun!” Cepat-cepat aku bersiap untuk turun ke bawah. Sebelum meneruskan langkah ke tempat yang dirancang. Seusai membeli payung aku sempat bermain dengan asap yang keluar dari mulut, tiba-tiba datang sekawan angin laju seperti kilat yang membuatkan kulitku cepat kering dengan gigi yang bergetar menggigil.
Sepatutnya pada hari ini, perancangan asal aku bersiar-siar di tempat terbuka seperti pusat peranginan yang popular di sini dan satu daripadanya adalah Pulau Nami tetapi disebabkan keadaan cuaca tidak mengizinkan aku sepantas kilat menukar perancangan kedua yang tidak dirancang iaitu mengunjungi tempat tertutup seperti tempat tarikan pelancong melalui drama Korea yang popular di kaca televisyen atau mana-mana tempat yang menarik di Seoul ini.
Pada hari ini aku hanya berkesempatan ke beberapa tempat sahaja dan segera kembali semula ke tempat penginapan setelah selesai melakukan aktiviti mengikut kemampuan disebabkan beberapa perkara yang menjadi penghalang antaranya adalah cuaca yang sejuk, jalan licin akibat salji dan kulit ibu jari kaki kananku melepuh akibat kasut yang pertama kali aku pakai semasa menjejakkan kaki di sini serta kuku kaki yang turut berdarah.
Apa yang menariknya aktiviti hari ini, aku teringat kisah sewaktu aku berada di studio pakaian tradisional Masyarakat Korea atau lebih dikenali sebagai Hanbok yang terletak di Namsan Tower. Memandangkan aku pengembara solo dengan bantuan tripod, aku menggunakan telefon bimbit untuk mengambil gambar sepanjang berada di studio itu dan amat mengejutkan apabila ada seorang budak perempuan comel yang tanpa segan silu turut sama bergambar.
Kisah kedua yang aku tidak dapat lupakan apabila aku membantu dua orang wanita Malaysia yang sesat semasa berlegar-legar di suatu kawasan berhampiran Restoran orang Malaysia yang aku kunjungi iaitu Kampung Ku. Aku masih ingat seorang daripada mereka memperkenalkan diri sebagai Rina yang berasal dari Selangor dan kedua-dua wanita yang berbadan gempal itu nampak kemas dan sopan bertudung.
Betul tekaan aku mereka memang sesat mencari lokasi hendak dituju dengan menunjukkan riak muka yang agak kebingungan seperti mencari-cari orang hendak dirujuk dan mujur aku kebetulan lalu di kawasan tersebut. Lebih mengejutkan kawasan yang mereka hendak tuju adalah lokasi penginapan aku iaitu Myeongdong. Secara kebetulan juga aku dalam perjalanan hendak balik ke hotel. Sebelum meninggalkan mereka, dengan sopan mereka berulang kali mengucapkan terima kasih dan aku hanya mampu berkata,
“Perkara kecil sahaja dan saya sangat berbesar hati membantu kamu berdua,”
Inilah pengalaman yang aku tidak dapat aku lupakan apabila pertama kali berada di negara orang dan diberikan peluang membantu orang yang dalam kesusahan iaitu sesat dan aku tidak sabar untuk menempuhi cabaran pada masa akan datang.
***
Hari ketiga, aku mengunjungi tempat untuk aku mengenali serba sedikit sejarah dan budaya negara Korea Selatan. Aku mengambil keputusan melawat muzium, rumah tradisional serta pasar tradisional seperti muzium (King Sejong & Admiral Yi Sun Shin Statue), istana lama (Gyeongbokgung palace), rumah tradisional moden (Bukchon Hanok Village), pasar tradisional yang terletak di Insa-dong, muzium moden (3D Alive Museum) serta ruang rekreasi awam iaitu sungai buatan manusia (Cheonggyecheon stream). Perjalanan hari ini aku memilih menaiki kereta api laju seperti hari semalam.
Hampir lima jam aku bersiar-siar sambil menikmati keindahan dan mengamati hasil seni yang menghiasi sepanjang jalan serta keunikan bangunan di kawasan ini. Aku melihat jam yang tersemat di pergelangan tangan kanan dan menunjukkan pukul 2.30 tepat. Aku mengambil keputusan untuk berjalan kaki dari lokasi terakhir aku iaitu Cheonggyecheon stream ke tempat penginapan. Aku mengedipkan mata dan mundar-mandir di kawasan tersebut ternyata telefon bimbit aku tidak berfungsi kerana bateri telah habis.
Kali ini aku agak panik dan bergegas ke pondok pelancongan untuk memohon bantuan tetapi berbekalkan peta bandar dan petunjuk arah oleh petugas perempuan di pondok itu aku rupanya sesat dan kali ini aku hanya tercegat sambil memerhatikan peta bandar yang diberikan. Dari kejauhan aku melihat sekumpulan remaja sedang asyik menemu bual orang ramai yang lalu lalang di kawasan tersebut dan aku segera ke arah tersebut dan memeriksa apa yang berlaku mungkin juga boleh mendapatkan bantuan daripada mereka.
Sebaik sahaja tiba, mereka menemu bual aku dan rupanya mereka merupakan sekumpulan pelajar Universiti di Seoul dan sedang menjalankan soal selidik mengenai kehadiran pelancong asing ke negara mereka. Aku hanya menuruti arahan mereka dan menjawab setiap soalan dengan teliti melalui paparan skrin tablet yang diberikan. Seusai menjawab, mereka menyerahkan bungkusan kecil saiz telefon bimbit yang dibalut rapi dan aku berehat sekejap di kawasan sekitar sambil memikirkan jalan pulang ke tempat penginapan. Dengan pantas aku membuka bungkusan itu dan sangat terkejut melihat hadiah pemberian mereka iaitu alat pengecas telefon bimbit berwarna putih. Tanpa aku sedari air mata mengalir tanda kegembiraan.
Bayangkan dari pukul 9.00 pagi hingga 4.00 petang aku hanya berjalan kaki dari tempat dilawati sehingga ke tempat penginapan dan pengalaman ini sangat menyeronokkan. Waktu itu, aku percaya ketika kita dalam kesusahan atau kesedihan yakin dengan diri sendiri dan pada masa yang sama berdoa kepada Allah agar diberi petunjuk dan dipermudahkan kerana semua yang berlaku ini dengan bantuan dan izin-NYA.
***
Hari keempat di Korea Selatan, aku meneruskan langkah melawat bangunan yang mempunyai reka bentuk moden dan merasai sendiri keindahan futuristik Dongdaemun Design Plaza di Daerah Dongdaemun dengan keunikan struktur bangunan seperti kapal angkasa. Aku juga sempat ke pasar popular yang terkenal dengan pelbagai barang menarik serta cenderahati iaitu Namdaemun Market sebelum pulang ke Sabah pada keesokan harinya.
Bagi aku, setiap hari aku akan melalui pengalaman yang baharu dan pengalaman pada kali ini agak sedikit berbeza daripada hari-hari sebelum ini. Semuanya berlaku di stesen kereta api laju bawah tanah. Ia bermula apabila tiba-tiba kad tambah nilai stesen bermasalah dan dihalang melalui pagar stesen. Waktu itu, orang ramai di sekitar stesen sibuk ke hulu hilir mengejar masa menaiki kereta api dan aku berusaha sedaya upaya mencari jalan untuk keluar daripada masalah itu dengan cuba mengimbas kad tambah nilai berulang kali. Hampir tiga minit berlalu usaha itu gagal dan kad masih disekat.
Ketika itu, rasa panik seketika tetapi tiba-tiba seorang lelaki berbadan sasa, putih dengan ketinggian melebihi aku menghampiri dan membantu sehingga dapat melepasi pagar stesen itu. Aku hanya terpaku dan tidak sempat mengucapkan terima kasih kepada lelaki itu kerana kejadian itu berlalu dengan pantas dan dia sempat menoleh dengan senyuman, manakala aku masih tersengih-sengih memandang lelaki yang aku kira berumur 30-an.
Semasa tiba di stesen kereta api laju bawah tanah menuju ke tempat penginapan perkara sama berlaku, kejadian tadi berulang lagi. Pada kali ini aku dihampiri oleh seorang wanita yang aku anggarkan berumur 50-an dan dia segera membantu aku mendapatkan bantuan. Waktu itu, aku rasa seperti berada di negara sendiri kerana ditemani oleh orang yang baik hati, prihatin dan rasa selamat. Bayangkan selama lima minit dia setia bersama-sama aku di tepi pagar stesen dan kami hanya diam disebabkan dia hanya fasih berbahasa korea. Apabila aku cuba berkomunikasi, dia hanya tersenyum dan kami hanya menggunakan bahasa isyarat asalkan masing-masing faham. Selepas bantuan tiba, aku hanya tunduk tanda mengucapkan terima kasih dalam bahasa Korea dan dia berlalu pergi dengan senyuman.
***
Hari ini merupakan hari terakhir aku berada di Seoul, Korea dan sudah tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggal kepada masyarakat di Seoul, khususnya Myeongdong. Walaupun ada beberapa tempat yang aku tidak sempat pergi kerana faktor cuaca dan kekangan masa tetapi pengalaman semasa berada di sini tidak boleh dilupakan.
Mengenali Masyarakat Korea yang sangat baik, berbudi bahasa dan sedia membantu membuatkan aku nekad untuk datang semula ke Korea selatan. Insya-Allah aku akan datang lagi dan banyak pengalaman yang tidak dapat dilupakan sampai bila-bila.
Betul lah pengembaraan itu adalah pengalaman yang sangat berharga dalam hidup, bukan sebab keinginan membeli tetapi aku belajar membuka mata melihat sendiri serta mempelajari budaya dan gaya hidup masyarakat luar dan yang penting melihat sendiri pembangunan negara luar selain daripada negara sendiri. Pengembaraan kali ini juga, menjadikan aku seorang yang berdikari, bertanggungjawab, mampu menyesuaikan diri, berani dengan cabaran dan berani mengambil risiko serta bertahan dan berjuang di negara orang.
Walau bagaimanapun, bagi aku di mana kita berada dan apa-apa yang kita lakukan mencerminkan negara kita kerana kita sebenarnya membawa identiti dan budaya negara kita. Bayangkan apabila kita melakukan sesuatu yang tidak baik di negara orang lain akan memberi kesan terhadap negara kita dan akan dipandang serong kerana penilaian negara luar bukan melihat siapa kita tetapi dinilai melalui negara asal kita dan jangan kerana “nila setitik, rosak susu sebelanga”.
Kebiasaannya, apabila kita berada di negara lain kita akan mula membuat perbandingan dengan negara sendiri tetapi bagi aku di mana kita berada, “hujan emas di negeri orang, hujan batu” di negeri sendiri dan negara sendiri adalah yang terbaik.