18 April 2023, 08:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Suasana rewang di rumah agam Pak Habib meriah sungguh. Mak Milah isteri Pak Habib menyambut baik tetangganya yang sudi bertandang membantu kenduri sambut menantu. Anak lelakinya, Johan sudah bernikah seminggu yang lalu. Khabarnya menantu Pak Habib itu orang Johor. Cantik molek, tinggi lampai, putih kuning! Orang Jawa khabarnya. Minggu ini giliran kenduri sebelah keluarga pengantin lelaki pula.

Jiran tetangga sudah berkumpul usai subuh tadi. Pak Enal suami isteri datang dengan pisau yang silau. Sahlah memang niatnya hendak merewang. Mak Pah tidak pula datang berlenggang. Di kanan dan kiri tangannya dibimbit berkampit-kampit gula pasir. Sedekah untuk tuan rumah.

Sama juga dengan Mak Leha yang berbondong-bondong dengan tin susu. Begitulah adat berjiran. Sama senang sama susah. Tuan rumah tidak meminta tetapi amalan tersebut sudah sebati sejak sekian lama. Yang dekat datang membantu yang jauh tidak melulu.

Rumah agam Pak Habib paling mudah dikenali di kampung itu kerana bumbungnya mempunyai perabung panjang dan bersambung dengan empat perabung limas. Bentuknya menurun ke cucur atap yang berukir awan larat. Puncak bumbungnya dipasang kayu berbentuk tajam yang diperbuat daripada kayu cengal.

Kata Pak Habib, namanya tunjuk langit. Di ruang hadapan terdapat serambi, manakala di hujung serambi terdapat ruang anjung. Serambi dipisahkan oleh dinding yang bersebelahan dengan ibu rumah. Ruang dapur dipisahkan oleh ruang selasar. Di situlah berhimpunnya karyawan masak-memasak termasuklah Mak Leha, Mak Pah, Mak Milah, Senah, Melah dan Maisarah.

Para mak cik berlonggok mengupas bawang dan mengerjakan bahan kering untuk diserahkan kepada kaum lelaki di bangsal untuk kerja memasak nasi minyak dan lauk-pauk lain.

Maisarah dan beberapa orang anak gadis yang muda dan yang tidak berapa muda bersila di sudut dapur, menghiris daun pandan. Maisarah memang terkenal dengan sifat ringan tulangnya dan kepandaiannya membuat bunga rampai.

Senah teman baiknya sudah bersedia dengan pelbagai bunga untuk diadunkan bersama-sama daun pandan yang siap dihiris.

“Bunga apa yang kaubawa, Senah?” Maisarah menyapa Senah yang sibuk mengeluarkan bunga-bungaan terpilih. Nampak segar setelah diembunkan semalaman.

Ini saja yang ada. Melur, tanjung, kemboja, cempaka. Ros merah ada juga tapi tak banyak.

“Aku dah siapkan ramuan tambahannya, Sarah,” ujar Melah lalu menyerahkan sebungkus surat khabar yang berisi serai wangi, daun nilam dan daun purut.

Maisarah tersenyum menyambutnya. Bumbu itulah penambah haruman bunga rampai.

Beberapa orang pemuda kampung sibuk lalu-lalang di hadapan mereka. Ada yang sempat mengusik dan bergurau. Ijat sepupu Johan yang sudah lama menaruh hati dengan Maisarah sengaja ke hulu dan ke hilir di hadapan anak-anak dara itu.

“Semerbak baunya, Sarah!” tegur Mak Leha yang ligat mengupas bawang. Matanya terkedip-kedip menahan pedih.

“Belum sempurna lagi, Mak Leha. Nanti dah dibubuh bunga-bungaan barulah mewangi!” balas Maisarah.

Ijat yang kebetulan melintasi ruang dapur menyampuk,

Wangi-wangi si bunga rampai, wangi lagi si jantung hati!

“Lepas ni, giliran kamulah pula, Ijat oi!” balas Mak Leha disambut dengan hilai tawa mak cik yang lain. Merah padam wajah Maisarah. Dia bukan suka dengan Ijat. Kerja tidak tetap. Rupanya tidaklah kacak. Walaupun dia anak Pak Imam Kampung Ujung Pasir.

“Kamu jangan memilih sangat, Maisarah. Tak laku sampai tua nanti!” Suara Mak Leha menerjah ruang.

Tersentap Maisarah. Terbakar juga hatinya tetapi dia malas menjawab usikan Mak Leha yang bermulut celopar.

Suasana di dapur diam seketika tatkala hiruk-pikuk dan hilai tawa di bangsal yang dipenuhi dengan kaum lelaki disambar kecoh. Pak Habib dan Pak Enal turut serta dalam kalangan mereka.

Tok Siak yang berusia 88 tahun pun ada. Gagah perkasa lagaknya berjoget-joget melayan latah Che Merah. Di tangan Che Merah sebakul bunga rampai yang sudah disiapkan dari rumahnya.

Bunga rampai diracik-racik, makin pandang bertambah cantik, bunga rampai harum baunya, kalau dah jodoh bertemu jua … .

Che Merah menyanyi dan menari mengikut langkah zapin sama seperti Tok Siak. Hujung jarinya menabur-nabur bunga rampai dari bakul. Yang lain tergelak bertepuk tangan mengikut rentak lagu Bunga Rampai.

Ah, Tok Siak ni … . Merah baru sampai, belum surut lelah, sudah diajak berzapin!

Nafas Che Merah turun naik menahan lelah menari zapin kerana diusik oleh Tok Siak, Pak Habib dan lelaki separuh umur yang lain.

Che Merah janda berhias. Sungguhpun sudah mencecah usia 60 tahun tetapi masih kelihatan menawan dengan kebaya di susuk tubuhnya. Entah berapa banyak koleksi kebayanya pun tidak dapat dipastikan. Kebaya nyonya, kebaya Riau, kebaya Sunda dan kebaya Pahang. Padanannya sudah tentulah dengan kain batik lepas.

Che Merah mudah melatah setiap kali disergah atau diusik. Sakan dia akan melatah dan kadang-kadang menari-nari. Namun latahnya bukan biasa-biasa. Orang kampung suka mengusik dan menyakat Che Merah disebabkan mahu mendengar pantun latah dari mulut manis Che Merah.

Kata Pak Habib, latah itu sejenis tindak balas terkejut seseorang yang dibalas dengan kata-kata dan tingkah laku di luar batas kebiasaan. Dari segi perubatan, latah merupakan tindakan meniru secara automatik di luar kesedaran seseorang individu. Pak Habib pun suka mengusik Che Merah dengan latah pantunnya. Tidak berseri majlis tanpa kehadiran dan latah Che Merah.

Amboi, Che Merah! Matahari dah meninggi baru nampak muka kamu!

Pak Habib bersuara lantang menyindir Che Merah.

“Aku bangun awal pagi tadi, mengurut orang bersalin, Pak Habib,” jelas Che Merah bercekak pinggang. Bakul bunga rampai di tangannya diserahkan kepada Mak Milah yang lalu di situ.

“Siapa bersalin!” sergah Mak Milah menyucuk pinggang ramping Che Merah. Bahu Che Merah terjungkit lantaran terkejut.

Kupu-kupu terbang ke langit,

    Singgah di langit bersalin kain;

Bertangkup bumi dengan langit,

   Baru saya cari yang lain!

Eh!” Che Merah menyambut sergahan Mak Milah dengan pantun empat kerat.

Pak Habib dan Tok Siak ketawa berdekah-dekah dan disambut dengan tepukan anak-anak muda yang lain. Suka benar mereka dengan reaksi latah Che Merah.

Mak cik dan anak dara di ruang dapur menjengah ke luar. Masing-masing tergelak dengan latah Che Merah.

“Aku tanya, siapa yang bersalin? Bukan suruh kausinggah di langit bersalin kain!” balas Mak Milah ketawa kecil menampakkan gigi taring emasnya.

Che Merah tersipu-sipu. “Anak Bilal Mahat, si Ramlah!” jawab Che Merah ringkas.

“Oh, si Ramlah yang kahwin di sempadan Siam tu ya?” Mak Leha menyampuk dari ruang dapur dengan tangan kanan memegang pisau.

Che Merah menoleh.

Dengarnya jadi isteri kedua.

Becok mulutnya menambah rencah cerita tentang Ramlah yang bersalin tadi. Che Merah malas mengambil tahu. Kakinya melangkah meninggalkan bangsal dan meluru ke pintu dapur mendapatkan Maisarah dan anak-anak dara yang lain yang masih sibuk menghiris daun pandan.

Baru saja Che Merah mahu melabuhkan punggungnya, Ijat datang menyergah. “Dari mana Che Merah, oi!”

Dari mana punai melayang,

   Dari sawah ke batang padi;

dari mana datangnya sayang,

   dari mata sampai ke hati.

Che Merah berlagu pantun menggaru-garu kepalanya.

Ijat ketawa terbahak-bahak lebih daripada biasa sambil menjeling-jeling ke arah Maisarah. Maisarah buat-buat tidak nampak.

Kau ni, Ijat. Tak siap kerja aku dok melayankau!

“Che Merah kalau melatah, bertambah-tambah seri wajah!” Ijat duduk mencangkung di sebelah Che Merah membawa bunga manggar yang berwarna-warni.

“Ah, kau ni … ada-ada saja!” Malu-malu Che Merah dengan gurauan Ijat. Kata-kata Ijat itu ada benarnya. Sememangnya Che Merah itu awet muda orangnya.

Ijat menyerahkan bunga manggar yang berwarna-warni tadi kepada Maisarah dengan senyum simpulnya. Sengaja dia menyuruh Maisarah membantunya.

“Tolong cucukkan bunga manggar ni, Sarah. Mak Milah kata, boleh cucuk dengan nanas muda ni,” Ijat menghulurkan nanas muda yang sudah siap dibuang kulitnya kepada gadis lanjut usia itu.

Sungguh pun sudah menjangkau usia 35 tahun, Maisarah tidaklah kelihatan berumur. Kulitnya licin mulus dengan bibir yang sentiasa merah membasah. Walaupun tidak bersolek, wajahnya tetap cantik. Maisarah mengangguk sahaja tanpa berdecit suara.

“Kamu berdua ni sepadan secocok. Cepat-cepat masuk meminang, Ijat.” Suara Mak Leha mengusik lagi.

“Tak gitu, Che Merah!” sergah Mak Leha melintas di hadapan Che Merah yang sedang leka mengadun bunga rampai. Terjungkit lagi bahu Che Merah terkejut.

Buah beringin buah bidara,

   Dari Lukut ke Pulau Pinang;

Hati ingin kepada dara,

   Tapi takut hendak meminang.

Ijat menjeling Maisarah lalu ketawa terhibur. Senah dan Melah turut ketawa.

“Hebat pantunkau, Che Merah. Orang muda sekarang bukan reti berpantun. Kalau berpantun pun tak ada seninya.” Sindiran Mak Leha menyebabkan Maisarah dan kawan-kawannya berasa. Namun tiada seorang yang berani menjawab.

“Che Merah menang suka berpantun. Nenek moyang Che Merah asal keturunan dari kampung Tanjung Salang, Siam nun! Berhijrah disebabkan perkahwinan campur Cina dengan Melayu. Kami ni peranakan Baba Nyonya! Sejak kecil memang sudah terdedah dengan rangkap pantun,” panjang lebar Che Merah menceceh.

Anak-anak dara yang duduk di sekeliling Che Merah tekun mendengar.

“Yang peliknya, Merah … berpantun apabila melatah saja. Kalau kau tak melatah, tidak pula kaureti berpantun!” becok mulut Mak Leha membalas sambil tangannya menyiapkan bunga manggar lalu diserahkan kepada Melah untuk dipacak di halaman rumah.

“Kenapa melatah, Che Merah!” Ijat menyergah Che Merah.

Che Merah terkejut lagi. Seperti biasa, bahunya terjungkit.

Sungguh elok parang patah,

   Parang patah banyak pakunya;

Sungguh elok orang latah,

   Orang latah banyak lakunya!

Spontan Che Merah menjawab sergahan Ijat tadi. Mereka geli hati dengan telatah Che Merah. Memang benar, orang melatah beragam-ragam kelakunya.

“Tapi, Che Merah tak laku-laku!” Ijat menyakat Che Merah dengan baki setangkai bunga manggar dicuitkan ke hidung Che Merah.

Mak Leha dan yang lain-lain berderai tawanya. Kenduri sambut menantu di rumah agam Pak Habib dan Mak Milah meriah dengan latah Che Merah. Di mana-mana kenduri pun, kehadiran Che Merah sangat dinanti-nantikan oleh ahli rewang. Mereka gemar mendengar pantun Che Merah yang bersambung-sambung dan berkait-kait secara spontan.

Di luar rumah kedengaran paluan kompang mengiringi pasangan mempelai. Bunga rampai yang mewangi telah siap diisi di dalam cepu tembaga untuk diletakkan di pelamin.

Sebahagiannya disumbat rapi di dalam punjut kain kasa untuk diberikan kepada tetamu, manakala selebihnya dibiarkan di dalam dulang perak lalu diletakkan di dalam bilik pengantin.

Semerbak haruman bunga rampai yang bertebaran mewujudkan ketenangan jiwa buat seri pengantin baharu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.