Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMalam sedang jauh, bulan begitu kecil semakin iras seketul kipferl mini, tergantung, mengekori kami sejak dari tadi. Lorong-lorong sedang basah bertompok-tompok menguning dan merah-merah, lampu jalan tumpah, sesekali lampu punggung kereta meleleh juga. Angin malam tengkujuh aslinya memang adil, tak langsung memilih leher, lengan atau betis siapa dipeluk-peluk. Begitu Sulaiman dipeluk, lena benar dia. Saya seorang juga, ketika Chrisye melagu Sendiri Lagi, mencelah antara nafas malam, dingin jadi tambah galak berbisik-bisik antara kami berdua.
Kami padahal tak ada ke mana-mana. Saya sendiri beria mahu mengambil angin, meminjam hujung minggu Sulaiman, seorang pegawai bank di tengah-tengah sibuk kota, sebentar cuma sebagai penunjuk jalan, menunjukkan apa-apa juga yang ketara berubah semenjak tak ada saya di sini. Melihat Sulaiman menggosok-gosok mata, akhirnya saya menawarkan diri memandu ke rumah.
Semasa disentuh pula halus suara Bunda Hetty, saya langsung ingat kepada Nyonya Kasma, punat kelantangan radio saya geser sedikit ke kanan. “Oh,” tiba-tiba Sulaiman terjaga, katanya,
“Entah apalah khabar Nyonya Kasma.”
Saya sekilas pandang kepadanya, terdiam, menyusun persoalan-persoalan kecil yang serba datang.
“Kau belum juga tahu ke mana dia?” tanya saya ringkas.
Sulaiman menggeliat keras, membetul tali pinggang keledar yang terbelit-belit, sebelum mengangkat bahu sambil menggeleng-gelengkan kepalanya tanda tak langsung tahu.
Nyonya Kasma segak, air mukanya seakan Hetty Koes Endang di awal usia kerjayanya, amat banyak mulut tapi baik pula hatinya. Lewat e-mel terakhir beberapa minggu sebelum saya kembali, Sulaiman memang ada beritahu perihal Nyonya Kasma. Saya maklum, dia tak lagi mengusahakan kedai makan lot sudut di lorong depan rumah sewa Sulaiman, berpindah, entah ke mana belum ada yang tahu, apalagi dia telah menukar nombor telefonnya.
Begitu hairan saya kerana kedai makan Kasmasak, tumpuan orang kebanyakan di kota ini, bertahun-tahun lagi sebelum saya berkeputusan untuk terbang meninjau hujan di negeri orang. Malah saya sendiri, semasa cuti-cuti antara semester, sempat beberapa kali bekerja sambilan di situ, mencuci piring pada sebelah siangnya, kemudian saya cukup bertuah, kerana pada malam, saya ditawarkan peluang membimbing satu-satunya anak Nyonya Kasma menyiapkan kerja-kerja sekolah.
Kami sampai ke rumah Sulaiman, begitu melayan kantuk, dia rebah, tertidur terus di sofa. Sayangnya Sulaiman tak banyak tahu atau mungkin sebenarnya dia malas ikut tahu punca Nyonya Kasma tak betah lagi di sini, dibanding saya yang sampai subuh belum dapat lena tidur, berfikir-fikir khabar Nyonya Kasma. Ketika saya gesa Sulaiman bercerita apa-apa juga dia dengar sendiri atau terdengar-dengar daripada orang kebanyakan, Sulaiman cuma mampu berkata,
“Hai, mana ada yang aku selindung! Dia menjual kedainya, buru-buru bawa barang sekadarnya dengan trak pikap, berpindah entah ke mana, malah menukar nombor telefon. Terakhir aku dengar, trak pikap itu juga telah dijualnya.”
Suatu siang, saya padahal telah agak lupa perihal Nyonya Kasma, tetapi tidak sewaktu makan Sulaiman berkata,
“Kau tahu,” Sulaiman memula cerita,
“seorang pelajar praktikal di pejabat kebetulan bercerita tentang Nyonya Kasma tadi. Macam kau juga lama dulu, dia dan rakan kuliahnya bekerja sambilan di Kasmasak sewaktu cuti semester, sesama pekerja timbul khabar yang mengatakan Nyonya Kasma bercerai dengan lakinya, Haji Jailani, seorang warak, kemudian mendaftarkan anaknya masuk ke sebuah sekolah agama berasrama di utara semenanjung.” Sulaiman mengakhirkan cerita dengan berkata,
“memang tak banyak juga dia tahu tapi aku rasa cukup jadi ubat perasaan ingin tahu kau itu.”
Sulaiman silap besar menjangka sebegitu, saya akhirnya ke utara semenanjung, menaiki tren, berbekalkan nama sekolah anak Nyonya Kasma yang dikongsi menerusi rakan pelajar praktikal di pejabat Sulaiman. Mengapa hati saya seakan ditarik untuk lebih tahu tentang Nyonya Kasma, saya sendiri tidak tahu, tetapi di sinilah saya pagi Sabtu itu, menunggu waktu melawat pelajar. Apabila tepat tengah hari, bunyi pintu pagar besi bergeser menyalakan senyum pada wajah ibu bapa dan penjaga, bergilir-gilir mengisi buku rekod di pondok pengawal keselamatan. Mujur juga saya belum lupa nama satu-satunya anak Nyonya Kasma.
“Baguskah Mosko? Kerapkah kau ke Lapangan Merah? Sebagus apa Katedral Saint Basil, mirip benarkah dengan poskad pertama kau kirim kepadaku dulu? Oh, sedang kembangkah tulip-tulip di Taman Gorky? Ah, benar-benar ingin aku ke sana!” Saya mengangguk-angguk.
Susana, berbaki tiga bulan sebelum tamat sekolah menengah, masih sama seperti terakhir saya bertemunya, anak gadis jiwanya besar, bertingkah dan banyak mulut seperti ibunya, hanya air mukanya, saya percaya lebih mirip kepada Haji Jailani.
Sebentar Susana tunduk, mencabut dua tiga kemuncup di kaki seluar, menggeliat kecil, membetul duduk, sebelum bersuara lagi,
“Kalau kau datang untuk bertanya khabarku, kau yang kedua. Kalau kau ingin bertanya khabar ibuku, kaulah yang satunya.” Tenang nadanya juga lagaknya, berpusing-pusing di jemari kanannya, pen biru Kilometrico yang saya sedar memang dari tadi sudah ada. Saya diam sebentar.
Fikir-fikir saya, Susana matang akalnya, cepat pula menghidu maksud tertentu, habis bahasa saya jadinya.
“Siapalah agaknya yang satu selainku itu?” dalih saya lurus.
“Bapaku.” Susana polos, tak ada selindung.
“Dan tiada dia tanya tentang Nyonya Kasma?” Saya semakin lurus.
Kerana Susana menggeleng, saya menokok tanya lagi,
“Lalu tiada kau cerita tentangnya?” jawabnya ringkas,
“belum.” Saya kurang mengerti sampailah anak gadis ini berkata,
“Jika orang belum sanggup bertanya, tidakkah percuma kita bercerita?”
Beberapa kejap mata saya kelu, menarik nafas, membalas,
“Jadi kau sanggup bercerita kalau aku bertanya?” Susana angguk kecil, tersenyum nipis, mengisyaratkan supaya saya menghulur tangan kepadanya, kemudian menulis sesuatu pada tapak tangan kiri saya. Giliran saya melihatnya, ada sembilan angka dituliskan.
“Nombor telefon majikan ibu,” jawab Susana, tak sempat saya bertanya. Setelahnya, tak menunggu lama, dia meminta diri, mengakhirkan perbualan kami di kerusi batu kantin sekolah itu. Ketika menurunkan tanda tangan di lajur akhir, pengawal bertugas menegur,
“Melawat Susana, cikgu?” saya senyum mengangguk, mengagak dia membaca tulisan saya dari buku rekod ini. Dia menokok lagi dengan,
“itu satu anak yang baik, selalu juga wak disapanya.”
Saya mengatakan,
“Susana aslinya memang begitu, sungguh-sungguh mencontohi peribadi orang tuanya.” Tepat ketika ayat itu meluncur, saya secara tak sengaja menangkap nama seseorang, tertulis langkau tiga nama setelah saya.
“Jailani Deramang?” Saya meninjau kalau-kalau bapanya Susana masih dalam jangkauan, tidak ada.
“Ah, lebai itu,” kata wak.
“Begitu kau ada, dia mengintip tidak lama.” Wak laju menyambung cerita. Katanya,
“Bapaknya Susana itu fikirku lelaki yang aneh, lima tahun juga dia hanya ‘mengintip’ Susana dari sini saja, bercakap-cakap mereka lewatku juga, mengirimkan amplop, isinya surat-surat, uang sakunya. Barangkali Susana belum tahu bapaknya di sini setiap Sabtu ketiga.”
Tapi kemudian, apabila ditanya perihal ibunya Susana, wak hanya menggeleng sahaja. Katanya, lebih payah melihat ibunya datang.
Hampir habis syiling saya, panggilan belum juga bersambut. Mahu sahaja mengalah, sampailah ketiga kalinya, disahut suara lelaki. Demikian saya perkenalkan diri dan pinta untuk bercakap dengan Nyonya Kasma, gagang telefonnya cepat sahaja bertukar tangan dan saya terus disapa ibunya Susana.
“Hai, anak bertuah, kukira kau tak lagi tahu jalan pulang! Sebegitu baguskah masakan nyonya-nyonya di Mosko sampai kau lupa air tanganku?”
Tujuh tahun tidak jumpa, ternyata Nyonya Kasma tetap Nyonya Kasma. Kami tak berbual lebar juga, saling bertukar khabar, kemudian terakhir saya menyebut mahu ke sana, saya berfikir dia sudah menamatkan panggilan, sebegitu lama dia diam, tak berbalas sampailah dia berkata ringkas,
“Tentu!” lalu memberitahu alamat pondok dia bekerja selaku pembantu tukang masak di dewan makannya.
Esoknya semasa di sana, Nyonya Kasma sudah tak ada. Majikannya sampai bertanya niat saya, pembantunya yang hampir belum pernah minta cuti, malah buru-buru ingin berpergian. Terakhir kalinya Nyonya Kasma minta cuti adalah semasa tak ada sengajanya Haji Jailani datang ke pondok selaku jemputan suatu acara keramaian, tak lama dahulu. Majikan Nyonya Kasma ini, ternyata saudara jauhnya, bahkan ada menyebut maksud:
Nyonya Kasma orangnya tak bermacam ragam, kata saudara-saudara, keputusan berpisah dengan Haji Jailani menjadikan dirinya pendiam. Sebegitu diam, dan kerana itulah jarak mereka berdua kadangkala sehingga terdengar-dengar betapa hingar rindu dendam.
“Dan demi itu jugalah aku tambah keliru melihat dia ‘pulih’ semasa bercakap-cakap dengan kau semalam.”
Dengan penuh keterpaksaan, saya pulang juga ke kota. Tiga belas hari berlalu setelah pulang dari sana, saya dapat melupakan Susana, Haji Jailani dan Nyonya Kasma sendiri, tetapi pada suatu tengah hari, tanpa sengaja, saya bertembung dengan Haji Jailani ketika menunggu tren ke rumah Sulaiman. Saya renung matanya begitu lama sampai dia langsung berkata,
“Hai, anak muda memang begitu, jenuh mahunya, penuh ingin tahu,” menggeleng-geleng kecil kemudian ujarnya,
“Puaskan mahumu, tanyalah aku ini semahumu.”
Entah bagaimana, sayang benar saya tak dapat bertanya banyak pula, kelu, semakin kelu apabila pertemuan singkat itu diakhirkan dengan Haji Jailani lolos di antara manusia-manusia dalam gerabak, sekejap mata berlalu deras, tinggal saya dengan tangan kanan yang dari tadi teraba-raba beg komputer riba, mencari-cari kertas kecil, padanya saya pindahkan nombor telefon dan alamat majikan Nyonya Kasma kononnya ingin diberikan kepada Haji Jailani tadi.
Demikianlah saya menaiki gerabak tren berikutnya, lebih lengang berbanding tadi, memilih tempat duduk, tertidur cukup panjang sampailah saya dikejutkan seorang lelaki India, mencuit bahu, mengisyaratkan agar tempat duduk saya diganti, perempuannya yang sarat sempat tersenyum setelah saya berdiri. Tepat ketika itu jugalah saya teringat Nyonya Kasma.
Apabila ditanya mengapa belum juga berhasil mencari (bekas) bininya yang satu itu, langsung sahaja Haji Jailani tayang gigi putih bersih, tertawa sinis.
“Cari? Bagaimana mungkin?” ujarnya,
“yang menghilang belum juga sanggup ditemukan.”
Sebentar saya yakin, kemudian ragu-ragu juga,
“Ah, mengapa dua orang dewasa tak boleh saling lurus berbicara, menghapus jarak sehasta?”
Minggu-minggu ke depannya, saya langsung lupa kepada perasaan ingin tahu saya tentang mengapa Nyonya Kasma menjual kedai makan dan trak pikapnya, menukar nombor telefon, berpindah ke utara semenanjung dan hal-hal yang lainnya. Saya sebenarnya masih sedang menunggu surat tawaran mula bekerja daripada sebuah syarikat di tengah kota tetapi suatu petang, satu-satunya surat dalam peti surat rumah Sulaiman adalah sepucuk surat tanpa alamat pengirimnya. Sudahlah tak kenal punca, hanya nama saya tertulis pada belakang sampul dan isinya pula sekadar dua patah perkataan:
“Terima kasih.”
Tulisannya pendek, tetapi cukup membuatkan saya berfikir panjang. Buntu memikirkan mana pucuk mana pangkalnya.
Kira-kira lima tahun kemudian – di balai ketibaan, saya sedang menunggu pesawat dinaiki Sulaiman tiba. Tak disangka-sangkanya, siku kanan saya disentuh jari-jari kecil, saya kira ia milik seorang anak kecil.
Saya pandang ke bawah, seorang anak lelaki menayang gigi lompong tiga, tersenyum besar. Di kanannya merupakan seorang perempuan muda belia, bertudung litup, hampir saya tidak mengecam wajah manis dan lugu itu, tetapi ketika dia ucap salam dan berkata,
“Apa khabar, cikgu?” saya langsung ingat kepadanya.
Susana! Terus sahaja dia perkenalkan anak kecil itu sebagai Rahmat, lalu sempat ketawa manis sebelum menafikan pandangan saya, mudah benar dia cerna maksudnya.
“Ah, Rahmat ini adikku,” katanya.
Tak sempat juga saya bertanya, Susana cepat menjawab,
“Ya, anak kepada Nyonya Kasma dan Haji Jailani.” Barulah dapat saya amati polos air muka Rahmat ada iras-iras rupa Nyonya Kasma. Tertegun-tegun saya, tak ubah orang baru mendapat akal.
Kami tak sempat berbual begitu lebar juga, tetapi cukup untuk saya maklum bahawa ibu dan bapa Susana dan Rahmat itu, baru sahaja mereka hantar menaiki pesawat awal pagi tadi ke Jeddah. Fahamlah saya akan hal sekarang ini. Diburu waktu, Susana pun meminta diri. Baru sedepa kami berjarak, Susana berhenti sekejap, berpaling kepada saya, kemudian berkata,
“Jika orang tak ada bertanya, belum tentu mereka tak ingin tahu, kan?”
Saya cepat mengangguk-angguk bersetuju. Susana pegang kemas tangan adiknya, tersenyum nipis, berjalan pergi lalu mereka hilang dalam selaut manusia, dan akhirnya, terpaksalah saya mengaku, tak ada perlunya lagi saya menggali tahu, dalam-dalam mengenai cerita sebenarnya mengapa Nyonya Kasma dan Haji Jailani berjarak diri lima tahun sebelum Rahmat tiba.