3 Julai 2023, 16:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sembari menghentakkan kaki, Empot melangkah menuju ke ruang tamu; menghempaskan punggungnya di atas kusyen.

“Benci, benci, benci, benci, benci!” Empot merungut. Muncung sahaja mulutnya.

Nandong memandangnya. “Kenapa engkau, Empot?”

“Ibu itulah, Nandong. Benci aku. Aku nak keluar sekejap pun tidak dibenarkan. Aku hanya ingin berjalan-jalan di luar sana, melepaskan stres.”

“Eleh, melepaskan stres konon. Engkau tu bukannya mahu keluar bersiar-siar, sebenarnya engkau nak bertentang mata dengan pujaan hati si Gondol tu, bukan?” Nandong tersenyum sinis.

Empot menjeling ke arah Nandong. Hatinya berbisik, ‘Ini mesti si Potang yang bercerita. Dasar mulut tempayan!’

Nandong mencebik lalu menyambung membaca Buku Kumpulan Puisi Payung yang Membunuh Hujan, tulisan Ibnu Din Assingkiri. Malas dia mahu melayan karenah adiknya itu. Lebih baik dia baca puisi.

“Taklah! Mana ada! Aku dengan Gondol tu, kawan sahajalah. Memang betul pun aku mahu keluar berjalan-jalan. Tak baik buat fitnah, Nandong. Berdosa,” sangkal Empot.

“Iyalah tu. Macamlah menipu tu tak berdosa. Menipu ibu sendiri pula tu. Lagilah berdosa,” sindir Nandong.

Terkunci bibir Empot mendengar sindiran Nandong.

“Empot! Datang sini sekejap,” jerit Puan Daki.

Empot mendengus. Muncungnya memanjang satu inci. Dia masih duduk di atas kusyen. Tidak mengendahkan panggilan Puan Daki.

Nandong memandang Empot lalu menggelengkan kepala. Kadang-kadang bengkak perutnya tatkala melihat gerak laku adiknya itu.

“Tak baik macam tu, Empot. Adakah engkau fikir engkau seekor kerbau? Mendengus-dengus begitu sehingga terjulur bulu-bulu hidung engkau tu. Engkau mahu aku cerita perihal ini kepada Gondol? Biar jatuh saham engkau pada mata si Gondol tu nanti.”

Empot menjeling ke arah Nandong. Hatinya sakit apabila mendengar kata-kata kakaknya itu.

“Apa hal, ibu?” soal Empot lalu bingkas dari kerusi; bergerak ke arah bilik. Dia melihat ibunya sedang berdandan.

“Empot, tolong ibu jaga rumah dan tolong kemaskan rumah ni. Ibu dan Nandong nak keluar sekejap, melawat jiran kita yang sakit di kampung sebelah.”

“Nak ikut!” ujar Empot.

“Tak boleh, Empot. Duduk sahaja di rumah. Bahaya di luar tu.”

Empot kembali memuncungkan bibir. Merajuk kerana tidak dibawa oleh ibunya. Sudahlah dia dilarang ibunya untuk keluar berjalan-jalan. Sekarang dia dilarang untuk ikut serta melawat jirannya pula.

“Engkau fikir engkau itik, muncung-muncung mulut begitu?” tegur Nandong sambil menampar lembut bibir adiknya itu.

“Kakak ni. Suka tegur-tegur orang!” kata Empot lalu berlalu pergi. Nandong pula ketawa ketika melihat adiknya berlalu pergi.

Empot duduk berteleku di jendela; melihat sekawan burung pipit yang gembira melukis pada kanvas udara.

“Wahai Sang Pipit, marilah kita bertukar tempat. Aku cemburu melihat engkau yang bebas di langit,” ujar Empot.

“Empot. Ibu dan Nandong nak keluar ni. Ingat pesan ibu. Duduk di rumah. Jangan merayap.”

Empot tidak berkutik. Matanya masih melekat pada pipit yang berterbangan.

“Empot, dengar tak?”

“Dengar ibu,” sahut Empot dengan suara yang lemah. “Ibu, boleh belikan orang keropok ikan kelak?”

“Bukankah kita masih ada keropok di rumah ni? Makan itu sahajalah, Empot. Janganlah membazir. Ekonomi sekarang tak berapa baik, nak,” pujuk Puan Daki.

Empot kecewa.

Kemudian, Puan Daki dan Nandong melangkah keluar. Pandangan Empot memanah pada pergerakan mereka. Empot memuntahkan keluhan kembali.

“Alangkah seronoknya kalau wujud pari-pari yang boleh menunaikan hajat. Teringin pula aku nak makan keropok ikan, tetapi ibu tak nak beli,” ucap Empot lalu kembali bermenung.

“Engkau pasti bosan, bukan?” Satu suara meranapkan permenungan Empot. Tersentak bahunya lalu segera dia menoleh ke belakang. Empot menjerit tatkala retinanya memandang makhluk berperut buncit, terapung-apung, sedang mengorek hidung (sambil memandang Empot) dengan khusyuk. Makhluk itu bersaiz sebiji bola sepak.

“Siapa engkau?” tanya Empot.

Makhluk itu menjentik tahi hidungnya lalu terjatuh tepat pada hidung Empot. Terkinja-kinja seumpama katak puru menari salsa tingkah laku Empot ketika itu membuatkan makhluk itu ketawa berdekah-dekah.

“Pengotornya engkau!” Empot menggosok hidungnya mengharapkan tahi hidung itu terpelanting ke lantai.

“Siapa engkau ni?” Empot menyoal kembali.

“Aku … aku ialah Topenipu. Pari-pari,” balas susuk itu. “Aku boleh menunaikan hajat engkau.”

Terkerut dahi Empot saat mendengar kata-kata Topenipu. “Pari-pari?”

“Ya, kenapa? Tak percaya?”

“Apa buktinya engkau boleh menunaikan hajat?”

Topenipu mendengus, “Mahu bukti pula engkau ni. Nah!”

Empot terkejut serta kagum apabila terjadinya hujan keropok di dalam rumahnya.

“Wah, hebatlah engkau!” kata Empot lalu terkinja-kinja kegembiraan. Dia mengambil satu daripada keropok di lantai; memasukkan keropok itu ke dalam mulutnya.

“Wah, sedapnya keropok ikan ni!” puji Empot.

“Hah, sekarang engkau percaya?” soal Topenipu.

“Ya, ya!”

“Apakah hajat engkau?”

“Aku mahu bebas. Aku mahu buat perkara yang aku suka tanpa ditegur. Aku tak mahu dikongkong. Aku bosan!”

“Mengapakah engkau mahu hajat sedemikian? Adakah engkau pasti itu yang engkau mahu?”

“Ya, aku mahu hajat itu!”

Topenipu memandangnya. “Empot, hajat yang ditunaikan kelak, tidak dapat dibalikkan semula. Tindakan tanpa berfikir dengan penuh berhati-hati, ibarat kata pepatah; ikan belum dapat, air sudah keruh, jala sudah koyak. Adakah engkau pasti itu yang engkau mahukan?”

Empot memandang Topenipu. “Ya! Aku pasti”

“Baiklah.” Topenipu mengambil tongkat sakti yang terselit di pinggang lalu mengeluarkan cahaya terang nan menyilaukan mata. Empot menutup mata. Beberapa detik. Dia membuka matanya semula.

Empot melihat di sekeliling. Anak-anak padi yang masih hijau, meliuk-liuk ditiup bayu menjamah saraf optiknya. Kupu-kupu berterbangan di sekeliling membuatkan dia terlompat-lompat ingin menyambutnya. Kegembiraan mematuk perasaannya. Kini dia bebas. Kini dia boleh melakukan apa-apa yang dia suka. Suara ketawanya berkumandang.

“La … la … la … la … la … la … la … .” Empot bernyanyi-nyanyi sembari terlompat-lompat keriangan.

Kemudian, di kejauhan Empot melihat Gondol dan beberapa rakannya yang lain; menggamit dirinya. Dia berlari-lari mendekati mereka.

Sepanjang hari itu, dia bermain-main bersama-sama mereka sehingga siang menyarungkan pakaian senja.

“Anak-anak, cukup-cukuplah bermain-main tu. Jom, balik,” kata Puan Daki dengan penuh kelembutan. Di situ juga terdapat beberapa ibu dan bapa yang turut menjemput anak-anak mereka.

Gondol dan Empot sambil berpegangan tangan mendekati Puan Daki.

“Ibu … ibu!” kata Empot lalu memegang tangan Puan Daki. Puan Daki menarik tangannya daripada dipegang oleh Empot.

“Siapa kamu ni?” soal Puan Daki. Kehairanan menyimbah wajahnya.

“Ibu?” soal Empot. Dia turut bermandikan hairan.

“Dia ni, Empot, ibu. Budak yatim piatu yang Gondol ceritakan dengan ibu hari tu,” beritahu Gondol.

“Apa?” Empot tercengang-cengang kala mendengar kata-kata itu.

Puan Daki menatap Empot dengan pandangan simpati lalu membelai kepala Empot, seketika. Gondol memegang tangan Puan Daki lalu mereka berdua membuai langkah, meninggalkan Empot yang termangu-mangu, tercacak seperti lembing tergadai. Gondol melambai-lambai.

‘Apakah yang sedang berlaku?’ bisik hati Empot.

Malam itu, Empot berkeliaran. Bayu malam yang dingin mengunyah kulit pada tubuhnya. Dia tidak tahu apa-apa yang patut dibuat olehnya ketika itu. Entah mengapa, kakinya berhenti di hadapan sebuah rumah. Pandangannya terarah pada sebuah keluarga di hadapannya. Puan Daki dan kakaknya, Nandong sedang ketawa riang di ruang tamu. Bercanda, mengusik Gondol. Gondol, penggantinya kini.

“Ibu … Nandong,” sebak menyerang bertalu-talu menyebabkan air mata mengalir di pipi Empot. Dia rindu. Bukan ini yang dia mahukan.

“Segala hajat tidak dapat diubah,” suara Topenipu berlingkar-lingkar dalam gegendang.

Tanpa mengendahkan kerugian, Empot membazirkan air matanya. Emosinya direnyukkan kesedihan.  “Ibu … Ibu … .”

Tiba-tiba kepalanya diserkup dengan sesuatu. Tubuhnya dipeluk oleh seseorang. Dia menjerit ketika tubuhnya diangkat, dibawa pergi. Dia meronta-ronta ingin melepaskan diri. Namun, sia-sia. Kemudian, tubuhnya terhempas di atas sesuatu.

Tangannya dipulas ke belakang lalu kesakitan menggigit pada pergelangan tangannya. Dia menjerit. Dia tidak dapat melihat siapa gerangan yang melakukan ini terhadapnya. Namun, dia mendengar perbualan mereka.

“Rezeki kita malam ni. Kita ambil semua organ yang berguna dan jual di pasar. Dagingnya pula, kita salai. Untung banyak kita!” Mereka merakah.

Empot kaget. Empot takut. Empot menyesal. Dia menangis. Menangis dan menangis. Tiba-tiba … .

“Aduh, sakitnya!” Empot perlahan-lahan membuka mata apabila kepalanya diketuk kuat oleh seseorang. Rupa-rupanya dia tertidur di jendela.

“Engkau dah kenapa, Empot? Tiba-tiba sahaja menangis.” Nandong memandangnya. Puan Daki turut memandangnya. Kerisauan terpamer pada roman.

“Ibu … ibu.” Empot lantas memeluk tubuh ibunya. Erat. Air matanya mengalir semula.

Nandong dan Puan Daki saling bertatapan. Puan Daki membelai kepala Empot.

“Sudah, jangan menangis. Ibu dan Kak Nandong, ada sesuatu untuk Empot.”

Empot mendongak.

“Selamat hari jadi, Empot. Semoga mendapat kegembiraan dan segala hajat ditunaikan oleh Pencipta,” kata Nandong.

“Selamat hari jadi, anak ibu. Ini hadiahnya.”

Keropok … Keropok perisa ikan di hadapan Empot. Empot terharu lalu memeluk Puan Daki dan Nandong.

“Apakah hajat anak ibu ni?”

Hajat Empot … tiada. Empot tidak ingin dia salah minta lagi.

“Emak, tengok mereka bertiga tu! Amboi, manja betul si Empot dengan Daki!” kata Jojo tatkala melihat kemesraan kucing-kucingnya itu.

“Engkau tengok, kucing pun sayang dengan anaknya.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.