Oleh Mielan
27 Februari 2023, 10:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Tunggu!” langkah kaki Isabel terhenti mendengar laungan suara yang terasa menusuk ke hati. Suara itu sudah sekian lama dinantikan. Air mata yang menitis diseka pantas. Perasaannya diburu rasa. Sedih, gembira, kecewa, entah. Semuanya berbaur rasa. Hampir lima tahun dia menanti walau hanya sebutir kata-kata. Adakah ini yang dikatakan takdir? Isabel tidak tahu. Dia tidak pernah tahu.

Namaku Tuan John. Jangan pergi. Duduk seminit lagi.

Suara Isabel terasa bergema dalam hati. Tidak terluah dengan sebarang kata-kata. Hanya resah menyelubungi diri. Mengapakah dunia ini begitu kejam? Atau dia yang tidak pernah dewasa menghadapi hukum alam? Semuanya buntu tiada jawapan.

“Aku masih perlukan kau. Ceritaku masih panjang.” Kali ini Isabel tidak menolak. Dia sudah mengosongkan seluruh ruang hatinya agar dia dapat menyimpan kisah yang ingin diceritakan oleh Tuan John.

“Baik, aku sedia mendengarnya Tuan John. Teruskan.” Isabel duduk memandang seluruh wajah lelaki ini. Tatkala mendengar kata-kata Isabel, senyuman melebar di bibir lelaki ini. Bagaikan sang kekasih menerima sejambak bunga di waktu keresahan. Isabel tidak menolak perasaan yang sedang bertanya-tanya dengan dirinya waktu itu.

“Kau tahu, suatu masa aku pernah mencintai seorang gadis sepertimu. Sungguh kuakui dia cantik. Dialah bidadari yang dipinjamkan Tuhan kepadaku,” kata-kata Tuan John terhenti. Matanya tersorok kesedihan yang berpanjangan. Lama dia menjatuhkan pandangan pada air tasik yang sunyi dan sepi ini.

“Sungguh aku mencintai dia.” Tuan John menyandar tubuh ke kerusi. Isabel menghela nafas dan memegang dada. Terasa dadanya sesak seketika mendengar ungkapan tersebut.

“Dia sungguh cantik pada zamannya. Sampai aku gila bayang.” Tuan John tersenyum memandang Isabel.

“Apakah kau lakukan untuk menarik perhatiannya?” Isabel terus menyoal. Dia tidak mahu terus dikejar masa.

“Banyak. Banyak yang kulakukan. Sampai dia tidak sanggup menolak cintaku lagi.” Tuan John menundukkan wajah. Isabel berasa ada sesuatu yang terjadi. Hatinya juga diserbu rasa.

“Dan, dia akhirnya pergi … .” Tuan John memperlahankan kata-katanya, lalu dia mendiamkan diri. Tubuh lelaki di hadapannya ini kaku dan bibirnya membisu sedingin salju yang mula menimpa pipi. Isabel mengesat sisa air mata yang mengalir.

Jaket hitam di atas kerusi diambil lalu diletak lembut di atas bahu Tuan John.  Isabel menghantar pemergian Tuan John dengan pandangannya yang sayu. Kesakitan dan kepedihan itu silih berganti.

“Cik Isabel dah mahu pergi?” soal Jane. Jururawat yang berkulit sawo matang itu memandangnya.

Isabel tidak menjawab sebaliknya mengangguk penuh hormat. Bibirnya terkunci bagai menghalang butir-butir yang tersekat di kerongkong. Dia meneruskan langkah. Nasibnya untung sebaik sahaja dia sampai di muka pintu, ada sebuah teksi sudah menunggu.

“Casa Del Rio.” Isabel memandang pemandu teksi yang menunggu. Teksi terus bergerak menuju ke tempat yang dia pinta.

Farhan melirik dengan ekor mata. Gadis ini sungguh cantik. Namun, ada kesedihan yang disembunyikan melalui sepasang anak mata yang lembut berwarna biru. Berkali-kali dia mencuri memandang wajah gadis ini. Terasa meronta-ronta ingin mengetahui kisah gadis ini.

“Cik, dah sampai,” suara Farhan mengejutkan Isabel yang masih mengelamun.

“Oh, ya! Baik, Terima kasih.” Isabel menghulurkan wang mengikut jumlah yang tertera di meter teksi. Farhan memandang dan mengambilnya.

“Sama-sama cik.” Farhan mengukir senyum. Isabel mengangguk dan melangkah keluar. Farhan masih menghantar langkah kaki Isabel dengan pandangan matanya.

Isabel tersedar sesuatu. Langkahnya terhenti seketika dan dia menoleh. Teksi yang dinaikinya sebentar tadi masih berada di situ. Mungkin menunggu pelanggan, fikir Isabel.

Farhan yang masih memaku pandangan terpempan tatkala melihat gadis itu berpaling dan menuju ke arahnya.

“Boleh saya sewa teksi saudara?” Isabel bersuara sebelum sempat Farhan menyoal. Mata Farhan terbuntang. Jantungnya berdegup kencang.

“Boleh, untuk bidadari yang sangat cantik.” Wajah Farhan ceria. Kening Isabel berkerut mendengar jawapan Farhan.

“Maaf, maaf. Boleh sangat cik. Saya sedia memberikan khidmat yang terbaik untuk cik. Er … saya Farhan.” Farhan menundukkan sedikit kepalanya.

“Isabel.” Senyuman manis terukir di bibir Isabel melihat sikap lelaki yang bernama Farhan ini.

“Esok tunggu saya di sini pukul 8.00 pagi, boleh?” pinta Isabel memecah keheningan.

“Ya, ya boleh. Boleh. Pukul 7.00 pagi saya akan berada di sini.” Farhan berasa sangat gembira. “Maksudnya, saya akan bersedia lebih awal supaya tidak tersangkut dalam kesesakan jalan raya,” sambung Farhan apabila melihat wajah gadis yang bernama Isabel ini merenungnya. ‘Isabel … secantik empunya diri,’ bisik Farhan.

Isabel berhenti dan menoleh. Teksi Farhan sudah meninggalkan perkarangan hotel. Hanya kelihatan alam mulai bertukar suasana. Sudah kelihatan cahaya lampu neon menerangi di seluruh kawasan.

Usai sarapan, Isabel melangkah keluar dari lobi. Teksi Farhan sudah lama menunggu di situ. Sebaik sahaja melihat Isabel, Farhan terus meletakkan novel yang dibacanya di atas kusyen hadapan sebelah tempat duduk pemandu. Farhan tersenyum melihat Isabel yang memakai blaus berwarna kuning dan skirt putih labuh. Rambutnya disisir rapi. Beg tangannya dipegang erat.

“Silakan.” Farhan menundukkan kepala. Isabel tersenyum dan akhirnya tergelak kecil. Farhan terpaku melihat senyuman manis milik Isabel.

“Boleh kita bertolak sekarang?” Isabel mengejutkan Farhan yang masih berangan. Cepat-cepat Farhan masuk ke dalam teksi dan memakai tali pinggang keselamatan. Sesekali dia tersenyum sendiri.

“Tempat kelmarin ya.” Isabel memandang Farhan.

“Baik Cik Isabel.” Teksi mulai bergerak.

“Cik Isabel.” Farhan memulakan perbualan.

Air mata yang menitis di pipi Isabel diseka. Pandangan mata mereka bertemu. Cepat-cepat Isabel melarikan pandangannya dan menyeka titis jernih. Entah mengapa, saat ini dia terbayangkan wajah insan kesayangannya.

“Panggil saja Isabel. Saya juga akan panggil awak Farhan,” ujar Isabel.

“Baik Isabel. Maaf saya tidak berniat mencampuri urusan peribadi Isabel. Sejak kelmarin saya melihat ada sesuatu yang Isabel fikirkan. Kalau tidak keberatan, mungkin boleh berkongsi cerita? Saya sudi mendengarnya.  Dia benar-benar ikhlas mahu membantu Isabel.

Titis jernih yang ditahan, menitis lagi. Isabel tidak mampu menahannya. Jujur sungguh lelaki ini. Isabel tidak menjawab. Pandangannya dilontar jauh keluar memandang suasana jalan raya yang sibuk dengan rutin harian.

“Ambil saya pukul 6.00 petang nanti.” Isabel melangkah keluar dari teksi dan memandang Farhan.

“Baik, Isabel.” Farhan mengangguk dan melihat langkah Isabel yang terus menghilang di sebalik pagar hitam yang tinggi itu. Dia menghela nafas panjang.

Tuan John masih merenung awan. Isabel mengambil tempat bersebelahan dengannya. Lelaki itu begitu ralit melihat burung yang terbang tinggi. Sesekali bibirnya bergerak dan bergaris senyuman.

“Namaku Tuan John. Nak tahu sebuah kisah?” Tuan John menoleh. Isabel tersentak namun cepat-cepat dia mengangguk dan menumpukan perhatian kepadanya.

“Lihat, burung-burung itu terbang membawa seluruh cinta dunia ini kepada bidadariku,” ujar Tuan John. Isabel menoleh.

“Aku juga dah menyampaikan pesanku. Lihat ini, bidadariku tersenyum.” Sekeping foto lama dipegang erat. Isabel menoleh. Foto itu direnung lama.

“Boleh pinjamkan foto ini kepadaku?” pinta Isabel. Tuan John menoleh dan menggeleng.

“Seminit saja?” Tuan John bersuara.

“Ya, hanya seminit saja.” Lalu foto bertukar tangan.

Isabel merenung foto lama itu yang sudah kabur dan rosak.

“Sudah seminit. Berikan kepadaku. Aku tak boleh berpisah dengannya walau hanya seminit.” Tuan John mengambil foto itu dari tangan Isabel. Foto itu dicium dan meletakkan di dada. Isabel menyeka air mata yang mengalir.

“Usap air matamu. Adakah kau juga mencintai seseorang seperti aku mencintai dia, bidadariku?” Tuan John menghulurkan sapu tangannya. Isabel menahan sendu. Perlahan-lahan menyambut huluran sapu tangan tersebut dan menciumnya. Soalan lelaki itu dibiarkan tidak berjawab. Dia memerhati seluruh wajah lelaki ini.

“Pandang wajahku.” Isabel memegang muka Tuan John. Tersengguk-sengguk lelaki itu memandang wajah Isabel. Lama. Perlahan-lahan dia mengusap rambut dan pipi Isabel dan mengukir senyum.

“Aku sudah mempunyai bidadariku. Dia juga secantikmu.” Tuan John tersenyum.

“Pandang wajahku. Adakah aku langsung tiada dalam ingatanmu?” Isabel menyoal lembut. Tuan John menggeleng.

“Sebenarnya, kamu siapa? Adakah kamu mencari bidadari sepertiku?” Tuan John menyoal. Kali ini Isabel bingkas bangun dan menangis lagi.

“Cik Isabel … .” Isabel menoleh apabila terasa sepasang tangan lembut menyentuh bahunya. Dia menoleh.

“Jom, ikut saya ke dalam!” Lelaki yang memakai tanda nama Zaqi mengajaknya masuk ke sebuah bilik. Isabel menuruti dan duduk berhadapan dengan lelaki itu.

“Apakah tiada cara lagi untuknya, doktor?” soal Isabel.

“Saya sudah mencuba yang terbaik, Cik Isabel,” keluhan pendek terbit daripada bibir Doktor Zaqi.

“Berapa lama lagi saya harus menderita melihatnya begini?” Air mata Isabel mengalir laju. Doktor Zaqi menarik nafas panjang.

“Pulihkan dia doktor. Saya merayu. Doktor pernah katakan kepada saya bahawa doktor mampu merawatnya.” Isabel menangis. Dia tidak segan-segan lagi menumpahkan air mata yang entah ke berapa kali di hadapan doktor muda itu.

Demensia menyebabkan dia kehilangan memori masa sekarang. Alzheimer ini tidak mampu dirawat. Ubat-ubatan yang diambil hanya mampu melambatkan proses yang berlaku. Tubuhnya sendiri menolak ubat-ubatan yang diberikan. Kami telah mencuba yang terbaik.

Penerangan Doktor Zaqi membuatkan Isabel mahu menjerit. Meluahkan segala yang terbuku di hati. “Berdoa agar ada keajaiban yang berlaku,” ujar Doktor Zaqi.

“Hanya itu?” Isabel terkejut. Dia bangun menghampiri jendela membuang pandang bersama dengan air mata yang mengalir. Berkali-kali dia memejamkan matanya.

Usai berbincang Isabel keluar menemui Tuan John. Dia memandang Tuan John lama.

“Namaku Tuan John. Mahukah kau aku ceritakan tentang bidadariku?” Tuan John berhenti menangis dan memandang wajah Isabel. Perlahan-lahan Isabel mengangguk dengan linangan air mata.

Farhan memerhatikan dari kejauhan. Isabel masih melayan lelaki itu yang sebaya usia ayahnya. Farhan tidak buruk sangka. Pasti ada hubungan istimewa antara Isabel dengan lelaki itu. Farhan meminta kebenaran pengawal keselamatan untuk memulangkan telefon bimbit Isabel yang terjatuh di atas kusyen teksi sebentar tadi.

“Isabel.” Isabel menoleh dan terkejut melihat Farhan sedang berdiri di hadapannya. Isabel bingkas bangun dan memandang Farhan.

“Maaf kalau kau tidak keberatan, siapakah lelaki ini?” soal Farhan ingin tahu. “Tidak mengapa kalau kau tidak ingin menyatakannya. Maaf.” Farhan menundukkan kepalanya. Dia menahan rasa. Perlahan-lahan, dia menoleh dan meninggalkan tempat itu.

“Farhan!”  Dia menoleh memandang Isabel.

“Kenalkan ini Tuan John. Insan yang paling aku sayangi,” ujar Isabel.

Farhan menelan rasa.

“Oh, baik! Aku akan menunggumu di luar.” Farhan bersuara.

“Aku Tuan John. Mahukah kaumendengarkan kisahku, anak muda?” Tuan John memandang langit yang kebiru-biruan.

“Sekiranya diizinkan, pasti aku mahu mendengarnya.” Farhan menghampiri dan duduk di hadapan Tuan John.

“Aku punya seorang gadis yang kucintai. Dialah bidadari yang dipinjamkan Tuhan kepadaku.” Tuan John memegang erat foto di tangannya. Farhan menoleh memandang Isabel.

“Di mana bidadarimu, Tuan John?” soalan Farhan membuatkan Tuan John menangis tersedu-sedu. Isabel cuba menenteramkannya, namun gagal. Tuan John masih menangis.

“Lihat, apa yang kaulakukan Farhan?” Isabel menoleh dengan wajah yang tegang melihat Tuan John  menangis.

“Isabel, biarkan Tuan John meluahkan kesedihan yang terbuku agar hatinya berasa lega.” Farhan memandang Isabel dengan pandangan penuh makna.

“Tetapi dia akan jadi bertambah sedih!” Isabel tidak bersetuju dengan kata-kata Farhan.

Percaya dengan kata-kataku, Isabel. Sesetengah kenangan yang menyakitkan tidak akan pernah hilang walau zaman beredar. Tetap terbuku di hati. Tiada yang mampu menghilangkan kesedihan perpisahan, apatah lagi perpisahan dengan insan yang tersayang. Jadi, seharusnya kaumembiarkan air mata itu mengalir. Tak usah ditahan sekiranya itu mampu melegakan.

Kata-kata Farhan membuatkan air mata Isabel turut mengalir. Tuan John memegang tangan Farhan. Isabel dan Farhan terpempan saling berpandangan.

“Aku Tuan John, aku punya kisah indah untuk diceritakan. Mahukah kaumendengarkan kisahku, anak muda?” Kali ini wajah Tuan John berubah ceria memandang Farhan. Isabel menyeka air mata yang mengalir.

“Siapakah nama bidadarimu, Tuan John?” Farhan duduk dan memegang erat telapak tangan Tuan John.

“Dayana. Dayana Sophea. Kau tahu kami telah melalui zaman percintaan yang panjang sebelum disatukan. Aku berasa sangat bahagia.” Tuan John bercerita dengan tekun. Farhan dan Isabel menumpukan seluruh perhatian kepada kisah yang diceritakan oleh Tuan John.

“Apakah kau sangat berbahagia dengan bidadarimu, Tuan John?” soalan Farhan membuatkan Tuan John membuang pandang ke langit.

“Sangat berbahagia. Waktu indah bahagia dalam hidupku bila kami dikurniakan seorang anak gadis. Namanya … Isabel.” Sebaik sahaja Tuan John menjelaskan, Isabel memeluk erat Tuan John. Terasa seluruh kesedihan yang terbuku di hatinya sekian lama dilepaskan.

“Sudah lama aku menunggu dia menyebut namaku. Bertahun lamanya Farhan. Aku menunggu, bertahun lamanya.” Isabel memandang Farhan.

“Kausiapa?” Tuan John mendongak ke arah Isabel.

“Aku … aku … Isabel puterimu.” Isabel memandang wajah Tuan John.

“Oh, puteriku, Isabel!” Tuan John mengangguk dan memeluk Isabel lama. Seketika kemudian, dia memandang wajah Isabel dengan pandangan yang kosong semula.

“Kenapa kaumenangis? Kausiapa?” Tuan John memandang Isabel. Farhan menarik lembut tangan Isabel dan memberikan isyarat untuk beredar.

“Biarkan ayahmu berehat. Mindanya bercelaru.” Farhan menjelaskan tindakannya menarik tangan Isabel.

“Isabel, esok kita datang lagi. Percayalah musim dingin ini pasti ada bianglalanya,” kata-kata Farhan membuatkan Isabel mengangguk mesra dengan linangan air mata.

Kenangan yang paling menyakitkan dikala berlakunya perpisahan. Perpisahan bukan hanya antara jasad, namun juga perpisahan antara dua jiwa. Tiada kepedihan yang mampu merawat kerinduan tanpa linangan air mata. Angkat kedua telapak tanganmu dan tadahlah ke langit. Lontarkan segala kesedihan dan kepedihan di jiwa.  Setiap doamu bakal diangkat ke langit dan diatur masa untuk dimakbulkan Tuhan. Percayalah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Ilham Kreatif

Hajat Empot

3 Julai 2023, 16:40
Ilham Kreatif

Che Merah Latah

18 April 2023, 08:36
Ilham Kreatif

Kembang!

20 Januari 2023, 15:17
error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.