22 November 2022, 15:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Aku sebatang pohon meranti. Aku dilahirkan di sebuah hutan hujan tropika yang jauh daripada kepesatan pembangunan dan pemodenan. Mahligai syahduku merupakan hutan belantara yang bebas daripada pencemaran dan arus pemusnahan. Aku bahagia hidup di ekosistem yang menggabungjalinkan biodiversiti pelbagai jenis flora dan fauna.

Bersebelahan dengan sungai yang mengalir deras, Aku berdiri megah dipagari kelestarian alam semesta yang tidak terukur keindahannya. Dengan restu yang tidak terhingga, Aku sedar bahawa Aku dianugerahi sebuah penghidupan yang sejahtera, berkat doa moyang-moyangku yang dimustajabkan oleh-Nya. Aku berjanji dalam bakti untuk kekal bersyukur atas rahmat ini.

Aku sangat bersyukur bukan hanya kerana disisihkan sedikit ruang di muka bumi yang terbentang luas ini, malah juga kerana dihabitatkan di sebuah buana alam yang sarat dengan hikmahnya. Bergurukan alam, warga sejagatku yang lain turut merafakkan doa kepada Sang Pencipta atas kurniaan yang begitu mengasyikkan. Maklumlah, kewujudan kami merupakan berkat hasil ciptaan-Nya.

Badanku tegap menjulang tinggi ke langit. Akarku kukuh terhampar dalam bumi bagaikan hamba abdi yang bersujud bersejadahkan tanah. Ukuran lilitan batangku cukup besar sehingga beruang matahari dewasa tidak dapat mempertemukan kedua-dua tangannya sewaktu memelukku.

Adakalanya, Aku berasa egois kerana mewarisi struktur fizik yang menawan dan menggoda bagaikan pengamal setia susuk keramat. Mujurlah, Aku berasal daripada baka yang berkualiti tinggi. Walau bagaimanapun, Aku tidak pernah takbur dalam mendamparkan dahanku yang kukuh untuk monyet dan kera bergayutan. Ranting kecilku tidak pernah bakhil memberikan ruang untuk burung merbah dan burung tempua bertenggek.

Pada waktu subuh, Aku tidak pernah sunyi daripada cengkerama tupai merah bersama dengan pasangannya di celah lubang pada tunjang badanku. Alunan kasar urat tubuhku pula menjadi lorong laluan bagi semut dan kerengga sewaktu mencari sumber makanan. Kadang-kadang, Aku terlalu khusyuk mengamati perjalanan mereka sehingga leka menggugurkan daun yang layu. Mujurnya, aliran angin halus yang bertiup di selingan dahan mengatasi kelalaianku, meluruhkan bahagian tubuh yang sudah uzur.

Berbekalkan seutas benang sutera, labah-labah liar persis membuat sarangnya di celah-celah daunku, tanpa sebarang ilmu Matematik. Akar tunjangku yang terbenam ke dalam tanpa menikam bumi menjadi gelongsor permainan tikus dan cacing tanah. Bungaku yang putih kekuningan yang tumbuh berumpun-rumpun di penghujung ranting sering kali menjadi kamar penginapan lebah, ulat bulu, rama-rama dan kupu-kupu. Aku ikhlas menyusukan serangga ini dengan nektar manisku kerana merekalah yang gigih berusaha untuk mewasiatkan butiran debungaku di merata rimba ini.

Tanpa kehadiran makhluk kecil ini, tidak mungkin generasi spesisku dapat terus berkekalan. Kadang-kadang, Aku terhibur menyaksikan pertembungan jinak mereka untuk merebutkan manisan bunga yang baru bermekar, bak bayi kembar yang bersaing untuk menghisap puting payudara yang sarat dengan susu.

Aku bangga menjadi singgahsana pelbagai jenis hidupan alam di sini. Tanah lahirku terhias dengan sungai yang deras, taburan hutan yang kaya dengan pelbagai jenis hidupan serta alunan bukit bukau yang seragam. Dalam suasana ini, kadang aku kesejukan mendakap titisan air hujan yang melonjak membasahi seluruh badanku hingga ke pangkal. Adakalanya, Aku terjemur kepanasan akibat jaluran cahaya matahari yang terpancar pada rangka badanku.

Walau apa-apa pun cuacanya, hatiku tetap bersabar menanti angin sepoi-sepoi bahasa yang hadir silir-semilir antara kedua-dua cuaca itu. Indah nian syurga duniaku yang tercipta beribu tahun dahulu. Besar sungguh ciptaan-Nya. Aku yakin tidak ada sesuatu yang lebih indah daripada mendapat keberkatan untuk melihat keanggunan alamku daripada jendela mataku sendiri. Aku beranggapan bahawa kebahagiaan dan nikmat hidupku tiada mukabalahnya.

Malangnya, segala nikmat ini hanya dipinjam buat sementara waktu. Rupa-rupanya, nasibku tidak lagi menyebelahi pihakku. Kerianganku terpaksa disemadikan di dalam peti yang sudah kehilangan kuncinya. Takdirku telah berubah atas desakan arus penyahhutanan yang tidak mampu kulawan. Kini, Aku bagaikan penglipur lara yang tergesa-gesa mendendangkan tangisan yang tidak kedengaran di telinga puak bergelar manusia. Denyutan nadiku mengompangkan rintihan yang terselubung di sanubari lemahku.

Aduh, dalam selayang pandang, segala-galanya telah hancur!

Kemurkaanku terhadap kaum tersebut tidak akan bertemu kesudahannya. Merekalah pengkhianat muka bumi ini. Merekalah penderhaka kedamaian alam lahirku. Mereka jugalah penyamun segala kekayaan dan kemampanan ekosistem ini. Datang tanpa diundang, mereka mencerobohi tempat tinggalku bagai mencabul seorang anak dara yang suci. Demi meraih kekayaan duniawi, mereka mengeksploitasi rimba kediamanku bagai meragut bayi daripada rahim seorang bonda.

Suasana persekitaranku sudah tidak beriak lagi seperti dahulu kala. Maklumlah, saat mereka menjejak kaki di habitatku, duniaku telah dilanda kemalapan. Lama benar Aku menanggung kegusaran akibat kekhilafan mereka. Namun, Aku tewas tanpa diajak bertanding. Berpegang ketamakan, harimau dan buaya dibunuh untuk menyiat kulitnya tanpa mengendahkan kepupusan spesiesnya.

Tanpa rasa bersalah, gajah dan badak sumbu pula diburu untuk mendapatkan gadingnya. Pokok jiran yang membesar bersama denganku menjadi pilihan idaman peraksian mesin bergerigi yang berbutangkan teknologi canggih. Sarang burung layang-layang yang memangku di celah dahanku dicuri tanpa belas kasihan oleh si warga pemusnah yang kononnya digelar makhluk berakal tinggi. Kicauan burung kenari, murai dan unggas yang bertalu-talu lantaran bunyi mesin yang mengagetkan bergema lantang di telingaku. Teriakan kongkang dan musang liar yang saling memberikan amaran terhadap pencerobohan ini menyebabkan hatiku menguncup kepiluan.

Aku ingin merayu meronta-ronta kepada angin untuk mencabutkan akar tunjangku demi menculik meninggalkan keperitan ini. Aku bertekad tunduk melutut kepada hilir sungai untuk lekas menghanyutkanku sebelum dijadikan serpihan habuk di tangan pendatang. Akan tetapi, apakan dayaku. Aku hanyalah sebatang pokok yang tidak berkuasa untuk menentukan nasib sendiri.

Aku sedikit pun tidak menyangka akan menyaksikan kehapusan alam lahirku dengan cara sebegini. Aku pasrah melihat tanah syurgaku tergondol dalam sekelip mata. Pohon jiran yang pernah bertali barut denganku tumbang satu demi satu, ekoran daripada keratan gergaji pada dasar batang mereka. Bunyi bising mesin hanya berhenti apabila kerangka tubuh pokok tetanggaku gugur di tanah diselimuti butiran debu kayu. Perasaanku seolah-olah melihat aksi penyembelihan ayam tanpa membaca kalimat doa.

Yang Aku pasti, setiap anggota badan milik kami dan hasil hutan yang dirampas tanpa izin ini tidak mungkin menjadi halal untuk kegunaan mereka. Aku bertambah berang melihat pemaling yang berpakaian selekeh itu membuang segala sisa aktiviti pemusnahan ke dalam sungai di sisiku. Tali air yang pernah menghilangkan kehausanku sekarang dijadikan keranjang sampah. Tiada sesiapa pun yang berhak memusnahkan khazanah alam dengan sewenang-wenangnya tanpa perancangan pemeliharaan dan pemuliharan yang teliti. Mereka telah lupa bahawa kamilah pembekal oksigen yang membuat mereka masih hidup.  Alpa sungguh golongan keji ini sehingga sanggup menyakiti seluruh jagatku sambil bergelak tawa memikirkan habuan yang lumayan.

Kini, Aku sudah kehilangan penghuni sealam yang pernah membesar bersama denganku. Aku kelenyapan populasi fauna yang datang mencariku untuk berteduh  sambil melepaskan penat lelah. Aku kerinduan ciuman bayu yang kadang bertiup halus mengajak berdamai manakala pada waktu lain, bertiup kencang mengungkit persengketaan manja denganku. Sekarang, semuanya hanya tinggal kenangan sahaja. Aku telah dipisahkan daripada anasir air, angin dan tanah buat selama-lamanya.

Manusia lantas menjadi makhluk yang mendahulukan harta kekayaan dan membelakangkan himbauan nilai-nilai moral. Sadis sungguh! Mereka berkongkalikung hanya untuk mengancam habitatku tetapi tidak sedar akan kegagalan mereka untuk melindungi tempat kediaman sendiri nanti. Mereka tidak ambil peduli akan impak perbuatan mereka yang bakal menjemput bencana alam seperti banjir kilat dan tanah runtuh. Bak kata pepatah, “Yang dikejar tidak dapat, yang dikendong keciciran”.

Aku sempat melihat teman setiaku, burung kelicap yang datang menjengah nasibku, sambil menghinggap di atas kren beroda yang bakal memikul jasadku nanti.  Di sebalik wajahnya yang sayu, Aku mengerti pengiriman ucapan selamat tinggal buat pemergianku selama-lamanya. Lemah dalam tahanan manusia, akhirnya, tibalah giliranku untuk menjadi mangsa jentera bergergaji rantai itu. Aku kedengaran batin jiwaku sedang berima kencang. Layangan fikiranku pergi kemari mengingatkan bahtera hidupku yang akan lenyap selama-lamanya dalam tempoh hitungan minit.

Dalam diam, aku menjerit kesakitan. Dalam laungan sumpahan yang memekik, aku pasrah membisu. Emosi gering dan perit datang pergi bersilih ganti. Apakan daya Aku, padahal Aku hanya sebatang pokok meranti yang menjadi narapidana penjara manusia walau tidak pernah berdosa. Aku berserah diri menunggu tekanan butang mesin penamat hidupku. Mungkin, beginilah rupanya takdir warga alam hutan di tangan pendosa yang bengis.

Aku menguatkan diri menerima suratan takdir ini. Biarpun begitu, Aku yakin terhadap pengadilan di akhirat nanti. Di saat nadiku tidak berlagu lagi, Aku bersumpah bahawa, mereka yang mengakibatkan kemusnahan alam tidak akan mencapai kesejahteraan hidup sepanjang hayat. Aku percaya akan Sang Pencipta yang Maha Adil yang akan membalas kezaliman mereka tanpa muzakarah.

Wahai manusia, Aku berpesan, janganlah kamu menjadi hipokrit, melemparkan kesalahan berbalik kepada alam apabila lapisan ozon semakin menipis, suhu di muka bumi makin naik dan ais di kutub utara kian mencair meningkatkan paras laut. Aku sempat memanjatkan doa,

Ya Tuhan, tolonglah Engkau selamatkan alam ini daripada belenggu manusia yang durjana.

Bunyi mesin penebang berlanjutan menamatkan riwayat hidupku. Aku melepaskan hembusan terakhirku sambil bertasbih dalam jiwa.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.