30 April 2024, 16:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ayunan bandul berbunyi tepat pukul 12.45 tengah hari. Aku terlena sekejap di sofa usang di hujung kamar. Aku belum lagi berwuduk untuk menunaikan solat. Terasa amat berat untuk memikul tubuh sendiri.

“Aduh, sakitnya!” Aku mengeluh.

“Zaara, mari makan. Sudah pukul berapa ni?” tegur ibu yang sudah berkali-kali mengajak aku makan.

“Bukankah kamu yang meminta ibu masak tempoyak ikan bilis dan sambal petai?” sambungnya sambil cuba mengumpan dengan makanan kegemaranku. Namun, aku tidak mempedulikan pelawaanya dan memilih untuk berdiam diri sahaja. Lagipun, aku tiada selera makan sejak pagi tadi.

Semua kerana bergaduh dengan si dia. Buah hatiku yang sering bermain dengan emosiku yang sensitif. Malah, dia juga insan yang membawa seribu keindahan yang bermakna dalam hidupku. Kami berkenalan sejak lima tahun yang lalu. Namun, masih juga timbul salah faham akibat kedegilan masing-masing. Setiap kali kami berkonflik, aku tidak akan berganjak daripada pendirianku, malah sanggup menunggunya menegurku dahulu. Meskipun begitu, dalam waktu menunggu yang panjang itu, aku memang terseksa jiwa kerana perasaan rindu yang sering kali disembunyikan daripadanya. Maklumlah, aku seorang wanita yang kurang sifat sabar. Jika jiwaku terasa gembira, aku menjadi sangat periang. Akan tetapi, kalau hatiku panas membara, maka habis semua aku amuk. Sifat ini menyulitkan hubunganku dengannya, bak kata pepatah “Sudah panas, berbaju pula”.

Sudah lima hari kami tidak bertegur sapa. Persengketaan ini bertambah rumit kerana sifatnya yang sensitif dan cepat tersinggung. Aku pula jenis pemarah yang mudah melemparkan kata-kata tanpa berfikir. Namun, kami memang serasi dalam segala pendapat dan ideologi. Sudah berjam-jam aku merenung skrin telefon pintarku menunggu panggilan daripadanya. Mungkin kata-kataku yang tajam masih kuat berakar umbi di jiwanya. Mungkin juga dia menunggu aku untuk memulakan perbicaraan. Kebingungan semakin menyelubungi kalbu.

“Aduh, Wan Harraz! Awak berada di Kelantan. Saya pula di Pulau Pinang. Cukuplah penyeksaan kita dengan membisu begini.” Aku merungut sendiri.

“Belahlah dada saya. Barulah awak akan faham isi hati saya.” Aku mengetuk bucu meja dengan geram. Tiba-tiba, jatuh sehelai sapu tangan dari atas meja. Aku lekas memungutnya lalu mencermati tulisan yang disulam dengan benang merah.

‘Zaara, bersyukurlah dengan hidupmu sekarang. Saat kamu patah hati dan sedih nanti, ingat-ingatlah pada saudara kalian di Syria yang jauh lebih susah dan merana.’ Sapu tangan ini merupakan pemberian arwah ayah pada tahun 2011 ketika aku berusia 15 tahun. Dalam selayang pandang melihat sapu tangan ini, hatiku terhanyut dalam gelombang nostalgia, teringat akan senyuman dan kehangatan yang terpancar daripada wajah ayahku.

Pada ketika itu, aku belum cukup matang untuk memahami makna sebenar di sebalik sulaman itu. Aku masih ingat hadiah itu diberikan dengan sebuah set permainan video, ganjaran kerana aku meraih keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) ketika itu. Aku masih ingat lagi, betapa gembiranya aku ketika itu. Kini, usiaku telah menginjak dewasa. Namun, aku masih ragu-ragu dengan pemahamanku terhadap krisis kemanusiaan yang berlaku di negara Syria. Aku seolah-olah terdengar suara hatiku berbisik, ‘Zaara, dalam era digital tanpa limitasi ini, teknologi sudah menongkah arus kemajuan yang rancak. Pergilah buka Internet.”

Keinginanku untuk melayari Internet dan mencari pemahaman yang lebih mendalam tentang krisis kemanusiaan di negara Syria semakin berkobar-kobar. Aku memegang sapu tangan itu dengan erat dalam genggaman sehingga dapat aku rasakan detak nadi sendiri. Aku membetulkan posisi duduk di atas kerusi sambil membuka komputer riba di depanku. Butang pencarian Google memaparkan pelbagai tayangan video, berita, dokumentari dan artikel yang mengisahkan peperangan dan penderitaan yang dialami oleh rakyat Syria. Aku menyeret kerusi kayu mendekati meja untuk menonton dengan lebih khusyuk. Aku tidak sedar bahawa bunyi heretan kerusi itu terdengar dari luar.

“Zaara, bunyi apa itu? Lekaslah datang makan. Ibu mahu mengemas dapur.” Ibu melaung dari ruang legar dapur. Dia memang tahu aku sedang murung tetapi tidak tahu penyebabnya merupakan teman lelakiku. Aku belum berani memberitahunya walaupun dia seorang yang berfikiran terbuka.

“Mak, Zaara tak lapar lagi. Nantilah Zaara makan dan kemas dapur,” ujarku sambil memasang peranti fon kepala yang bersambung dengan komputer ribaku. Tanganku terlekat pada tetikus komputer sambil menatal susur laman-laman video dokumentari berkenaan sinopsis peristiwa gelap yang berlaku di Syria.

Aku tergamam sedetik melihat tajuk sebuah video yang sangat menggundahkan jiwa sebelum mengetik pautannya. Sejam setengah sudah berlalu. Video demi video sudah kutonton. Pelbagai artikel dan berita sudah ditelaah. Aku tercenggang sejenak dalam lamunan fikiran yang kusut dan bercelaru. Begitu rupanya perasaan kabut otak. Tiba-tiba, aku tersentak dengan bunyi cicak yang mengecap-ngecap di belakang almari. Hatiku sebak memikul duka lara yang berat. Mataku bergenang. Namun, dengan perlahan-lahan, keresahan mulai merayap ke lubuk fikiranku. Rangkai demi rangkai, aku cuba menghadam kisah rakyat Syria yang baru diketahui.

“Astaghfirullah hal’azim! Apakah dosa saudaraku di Syria sehingga diseksa begini?” Aku beristighfar sambil melemparkan pandangan ke arah awan yang berkumpul dan berarak di luar tingkap. Kisahnya terlalu kompleks untuk dicerna. Menjelang 15 Mac 2023, genap 12 tahun tanah Syria disambar petir kezaliman yang masih berlarutan hingga ke hari ini. Seruan dan rintihan rakyatnya hanya seperti memekik di tengah padang luas. Aku cuba membayangkan maung kehidupan rakyat Syria di sana walhal aku di sini selesa dan selamat di negara demokratik yang berdaulat.

Setiap hari ditempuh dalam ketakutan bak peribahasa “tergerenyeng-gerenyeng bagai anjing disua antan.” Fikiranku menerawang mengenangkan nasib kanak-kanak yang kehilangan orang tua dalam pertempuran yang menzalimi takdir mereka. Adegan seorang lelaki melaung “Allahuakbar! Allahuakbar!” setelah letupan bom dan bedilan kereta kebal masih terlantun berbolak-balik di gegendang telingaku. Peperangan tersebut berpunca daripada kekejaman tentera rejim di bawah pemerintahan Presiden Bashar al-Assad yang ditentangi oleh rakyat jelata. Pemimpin kuku besi yang langsung tidak mempedulikan nasib rakyatnya berniat menghapuskan semua penentangnya tanpa belas kasihan. Kelemahan rakyat Syria itu diperlihatkan bagai besi dengan penempa.

Syria, pada suatu ketika dahulu, terkenal dengan keindahan alam yang lestari, seni ukir yang mengasyikkan dan himpunan sejarah yang meremang bulu roma. Bersempadan dengan Turki, Iraq, Jordan, Lubnan dan Israel, Syria mencapai kemerdekaan pada tahun 1946. Damsyik, ibu negara Syria merupakan kota peradaban tinggi yang tertua di dunia. Masjid Umayyad di Damsyik merupakan sebuah daripada masjid yang terbesar dan tertua di dunia yang berkait rapat dengan ilmu eskatologi Islam. Begitu juga dengan kota Aleppo dan Palmyra yang sarat dengan seni bina bangunannya yang mempesonakan dan berusia ratusan tahun. Kini, semuanya telah hancur berkecai menjadi serpihan batu dan butiran debu yang hanya dihuni oleh roh mangsa peperangan. Pertempuran tersebut membasahkan tanah Syria dengan lumuran darah dan gelimpangan mayat.

Pemuda-pemudi Syria, yang seharusnya memiliki masa depan yang cerah dan penuh harapan kini terperangkap dalam lingkaran kesengsaraan dan ketidakpastian. Mereka harus berjuang setiap hari untuk bertahan hidup dengan menghadapi isu kekurangan makanan, air yang bersih dan tempat untuk berlindung. Kehidupan mereka yang dulu penuh dengan cita-cita dan impian kini telah pun terhenti lalu digantikan dengan iktibar perjuangan untuk melawan ketidakadilan.

Sekarang, aku sudah sedar betapa dalamnya maksud di sebalik sulaman sapu tangan pemberian arwah ayahku. Mungkin realisasi ini merupakan kudrat-Nya. Ketika aku teruja bermain permainan video Street Fighter yang penuh aksi pergaduhan, kanak-kanak Syria di hujung pelosok dunia yang lain pula sedang berdepan dengan dentuman bom dan tembakan peluru yang dilepaskan secara silir-semilir, menggugurkan insan-insan persaudaraan tali barut mereka satu demi satu. Pada saat aku melalaikan panggilan ibuku yang bertubi-tubi, ramai kanak-kanak di sana yang sedang merindui suara ibu bapa mereka yang sudah lama tidak kedengaran. Ketika aku melengahkan waktu solat tanpa alasan, ramai saudaraku di sana masih utuh mendirikan solat di medan peperangan. Perasaan bersalah menyelinap dalam diriku sambil menyemarakkan bakti dan cintaku terhadap tanah air. Ilmu baharu ini telah menyedarkan aku betapa beruntungnya aku dibandingkan dengan mereka yang harus menghadapi krisis kemanusiaan yang sulit. hidup Aku baru menyedari nikmat kehidupanku dalam kenyamanan dan keamanan di sebuah negara demokratik yang berdaulat.

Aku rasa darahku mengalir tanda kesyukuran yang mendalam kerana dilahirkan di Malaysia, sebuah negara MADANI yang menjunjung dan menganuti nilai-nilai perpaduan. Sebagai seorang warganegara Malaysia, aku amat berbangga kerana hidup dalam masyarakat yang mempromosikan toleransi, kefahaman dan kerukunan antara agama dan budaya. Maklumlah, rakyat Malaysia terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, agama dan etnik yang hidup secara bermuafakat dan muhibah. Meskipun jauh dari medan peperangan dan kekejaman, pengetahuan dan pengalaman baharu ini mengingatkan aku akan kepentingan menghargai setiap kurniaan yang dimiliki. Tambahan pula, lingkungan yang kaya dengan pelbagai budaya inilah yang memberikan peluang untuk kita memahami dan menghargai keunikkan di negara sendiri. Aku bertuah kerana berpeluang mempelajari tradisi dan adat istiadat yang berbeza-beza sehingga memperluaskan pemahaman dan wawasanku tentang negara sendiri.

Aku sempat menarik nafas dengan dada yang lapang memikirkan betapa bersyukurnya aku hidup di sebuah negara yang aman dan harmoni. Di sebalik tirai minda, hatiku masih diselimuti perasaan sedu mengingati balutan kain kasa putih pada luka mangsa-mangsa peperangan.

“Nauzubillah! Ya Tuhan, jauhkanlah penindasan dan kekejaman sebegini terhadap sesiapa pun makhluk ciptaan-Mu.” Aku berselawat dalam hati sambil menadah tangan bertentangan dengan wajahku yang sayu tidak berdaya. Hidup ini hanyalah fatamorgana kerana yang disangka realiti merupakan bayangan semata-mata.

Maka, janganlah kita hidup mendongak ke langit padahal tapak kaki tetap harus memijak tanah. Aku bersyukur atas segala nikmat dan keselesaan yang dianugerahkan. Aku menginfakkan doaku yang mustajab kepada rakyat Syria. Mungkin ada hikmah di sebalik penderitaan ini. Aku yakin bumi yang dihempap kesusahan itu akan berubah sebelum nyawaku terlepas dari raga.

“Aku sempat merefleksi diri atas rahmat-Nya,” bisikku dalam hati. Lalu, aku bergegas ke bilik air untuk berwuduk.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.