Oleh Chua Pei Yong
20 Januari 2023, 15:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pin Hock rasa rimas. Suasana di Pasar Besar Meru yang sesak menyukarkan dirinya untuk mencari barang yang dikehendaki. Sangkanya, dia cukup awal apabila dia bercuti pada hari ini lalu bangun pada pukul 5.00 pagi dan sampai di pasar itu pada pukul 6.00 pagi. Sangkaan Pin Hock meleset apabila dia tidak dapat mencari tempat letak kereta setibanya di kawasan tersebut. Orang ramai terutamanya masyarakat Tionghua mula membeli barang dapur untuk persiapan menyambut Tahun Baharu Cina zodiak arnab.

Tadi, dia sudah berpusing selama 15 minit tapi belum mendapat tempat letak kereta di pasar borong tersebut. Pin Hock terpaksa meletakkan keretanya di deretan kedai yang bertentangan dengan kawasan pasar itu. Pembinaan Projek LRT 3 yang sedang berlangsung juga turut menambah kesesakan lalu lintas di kawasan itu. Dia hampir dilanggar lori ketika hendak melintas jalan ke situ. Nasib baik dia berjaya menyeberangi jalan tersebut dalam keadaan yang selamat.

‘Harap senarai belian saya tidak tercicir,’ lirih hati Pin Hock ketika dia cuba mencari senarai bertulis yang diletakkan di dalam poket kiri seluarnya.

Pin Hock kelihatan tercungap-cungap kerana dia baru sahaja melepasi dugaan maut yang hampir menimpanya ketika melintas jalan tadi. Dia takut jika kertas itu mungkin tercicir ketika dia melintas jalan sebentar tadi. Dia berasa lega apabila dia menyentuh lipatan kertas itu. Tanpa membuang masa, dia mengeluarkan kertas itu dan membuka lipatan kemas kertas tersebut.

Pin Hock meneliti senarai seperti satu peket yis, tepung beras, gula Melaka dan satu papan telur. Pin Hock tidak membeli sayur dan daging kerana dia sudah membelinya beberapa hari lepas. Dia tidak mahu kehendak mengatasi keperluan dalam pembelian barang keperluan seharian. Biskut untuk tahun baharu telah dia buat dan ada beberapa jenis biskut lain yang diberi oleh jiran tetangga. Lagipun, itu bukan tujuan dia berada di sini. Fokus utamanya ialah dia hendak mendapatkan barang yang tertulis dalam senarai.

Pin Hock bergegas ke kedai Arun di hujung sudut kanan pasar besar itu. Mak Cik Kamala, wanita pertengahan 50-an yang merupakan pemilik gerai itu sempat tersenyum melihat kelibat Pin Hock di gerai. Pin Hock sempat bertanya khabar dengan Mak Cik Kamala. Dia menyerahkan senarai itu kepada wanita tersebut. Muka wanita itu berubah keruh apabila melihat barangan yang ingin dibeli oleh Pin Hock.

“Maaf ya Pin Hock. Mak cik cuma ada tiga barang sahaja dalam senarai ini,” ujar Mak Cik Kamala perlahan, menyembunyikan perasaan kecewa yang bertandang.

“Tak apa mak cik. Saya maklum bahawa bekalan telur kebelakangan ini amat sukar didapati di pasaran. Berapa lama sudah tiada telur?” soal Pin Hock kembali.

Pin Hock sempat menoleh ke arah tempat pameran telur di hujung sudut kedai itu. Sudut itu hanya diletakkan kadbod telur tanpa telur. Dia menoleh kembali dan melihat wajah resah Mak Cik Kamala yang menurutnya telah dihujani pertanyaan tentang bekalan telur sejak

“Sudah dua bulan bekalan telur tidak tetap di sini. Sekejap ada, sekejap tiada. Paling banyak pun kami dapat 20 papan telur. Itu pun setelah Pak Cik Arun kamu meminta bantuan daripada rakan pembekal,” ujar Mak Cik Kamala bernada kecewa.

‘Tak apa mak cik. Berapa jumlah barang-barang ini?” Pin Hock sudah mengeluarkan dompet sambil menanti jawapan Mak Cik Kamala.

“Semuanya RM9.50,” ujar Mak Cik Kamala.

Setelah membayar harga barang tersebut, Pin Hock mengucapkan terima kasih lalu beredar dari kawasan pasar borong itu.

Sebenarnya, sudah seminggu Pin Hock cuba mencari bekalan telur untuk membuat kuih apam perang atau dikenali sebagai huat kuih dalam dialek Hokkien. Huat dalam dialek Hokkien bermaksud kembang. Kuih tersebut wajib digunakan untuk upacara sembahyang semasa sambutan Tahun Baharu Cina. Ia membawa maksud simbolik perkembangan positif dalam hidup individu terhadap kehidupan mereka.

Pin Hock berasa bersalah kerana dia telah cuba membuat kuih tersebut pada minggu lepas dan membazirkan bahan yang telah dibeli sebelum ini. Dia membuat kuih tersebut dengan jiwa yang resah. Menurut tabu masyarakat Tionghua, perasaan gundah dan tidak aman pembuat kuih akan meyebabkan kuih itu tidak berkembang cantik dan menjadi bantat.

Pin Hock masih ingat yang dia perlu menjamah kuih tersebut selama seminggu kerana tidak mahu membazirkan hasil usahanya. Dia nekad untuk mencari telur kerana tidak lama lagi dia harus menggunakan kuih tersebut pada malam lusa, iaitu malam sebelum Tahun Baharu Cina.

Pin Hock meletakkan barang di dalam kereta lalu dia membelek telefon bimbit. Jam telefon sudah menunjukkan pukul 7:30 pagi. Perutnya mula berkeroncong kerana dia minum susu sahaja sekadar alas perut dua jam lepas.  Dia mula memandu untuk mencari restoran. Telefon bimbitnya mula berdering semasa dia memandu. Pin Hock memberikan tumpuan untuk memandu ke destinasi.

Setelah dia meletakkan kereta di Jalan Stesen berdekatan dengan Restoran Bismillah, Pin Hock mula membelek telefon bimbit dan tertera panggilan tidak berjawab daripada rakannya yang bernama Sulaiman. Dia mendail nombor telefon Sulaiman dan panggilan tersebut dijawab selepas beberapa saat.

“Helo Man. Maaf tadi saya sedang memandu kereta. Ada apa kamu hubungi saya?” soal Pin Hock menanti jawapan daripada Sulaiman.

“Helo Ah Hock. Tadi isteri saya beritahu ADUN di tempat kita ada buat program Jelajah Ehsan Rakyat, khabarnya ada satu papan telur dengan harga RM10. Kamu nak saya belikan?” tawar Sulaiman menanti jawapan rakannya.

“Di mana jualan dilakukan dan mula pukul berapa? Saya cuba beli sendiri, kalau tak sempat baru saya hubungi kamu. Terima kasih,” jawab Pin Hock.

“Tapak jualan di Dewan Serbaguna Taman Klang Jaya dan mula pukul 10.00 pagi. Kalau tak sempat, nanti beritahu ya,” tawar Sulaiman.

“Baik, terima kasih beritahu. Jasamu dikenang,” ujar Pin Hock lalu dia mematikan talian.

Pin Hock memasuki Restoran Bismillah dan memesan roti canai serta teh tarik. Dia segera memulakan pemanduan ke destinasi usai selesai bersarapan. Jalan raya sesak tapi tidak mematahkan semangat Pin Hock untuk memandu ke destinasi. Lagu di radio menjadi halwa telinganya untuk mengisi keheningan pagi.

Dia sudah tiba di pekarangan dewan serbaguna dan hon dari motosikal Sulaiman mula kedengaran. Sulaiman mengangkat tangan dan tersenyum melihat kelibat Pin Hock di tempat letak kereta dalam kawasan dewan tersebut. Pin Hock berjalan ke arah Sulaiman dan mereka mula melangkah masuk ke dalam dewan tersebut.

Pin Hock melihat susun atur yang tertib di dalam dewan serbaguna tersebut. Barang seperti telur, daging, minyak masak dan gula disusun mengikut kategori masing-masing dan diletakkan harga yang mampu milik bagi pengguna. Bekalan telur di sana juga banyak dan mampu menampung pembelian seluruh kawasan mereka.

Dia mula beratur dan menunggu giliran untuk membeli telur. Suasana bertukar menjadi riuh-rendah apabila hampir tiba giliran Pin Hock. Wanita dalam pertengahan umur 40-an mula mencetuskan konflik.

“Saya tidak kesah, saya nak juga beli enam papan telur,” ujar wanita tersebut dengan nada bongkak.

“Tapi, pihak kami sudah mengehadkan pembelian dua papan telur untuk seorang individu,” balas sukarelawan di tempat telur tersebut.

Wanita tersebut beriak meluat dan sukarelawan tersebut kelihatan serba salah. Wanita itu membayar harga dua papan telur dan berlalu pergi. Pin Hock hanya mampu menggeleng melihat perlakuan wanita tadi. Dia tidak mahu mencampuri hal tersebut. Setibanya giliran, dia hanya membeli satu papan telur dan dia mengucapkan terima kasih kepada Sulaiman sebelum berlalu pergi.

Setibanya di rumah, Pin Hock segera mandi dan menyimpan barang yang telah dia beli. Dia kemudian melihat ramalan cuaca kerana dia baru boleh buat kuih dengan cuaca yang panas. Hal ini disebabkan persekitaran yang panas dan lembap boleh mempercepatkan proses fermentasi yis. Barulah huat kuih berkembang dengan jayanya.

‘Ramalan cuaca mengatakan hari ini cerah, bolehlah saya bersiap untuk membuat kuih,’ getus Pin Hock.

Pin Hock bergegas ke dapur dan melihat ke arah altar Dewa Dapur.

‘Dewa Dapur, tolong berkati saya agar pembuatan kuih ini berjaya dan lapangkan hatiku,’ doa Pin Hock bersungguh-sungguh.

Pin Hock berasa hatinya amat lega dan dia mula bergegas kembali ke dapur untuk memulakan persiapan membuat kuih. Dia mula mencairkan gula melaka yang dibeli menggunakan sedikit air dan mula menyukat serta bahan yang ingin digunakan seperti tepung beras, telur, yis, dan minyak masak. Gula melaka hampir cair dan dia biarkan sejuk sebelum menapis gula tersebut.

Kemudian, dia menapis gula tersebut dan menuang ke dalam bekas berisi tepung beras. Proses menggaul diteruskan dengan arah ikut jam sehingga acuan menjadi sekata. Tuang sepeket yis dan gaul rata. Biar adunan tersebut berehat paling kurang dalam sejam. Sementara menunggu, Pin Hock mengangkat baju daripada ampaian dan melipat baju serta memanaskan kuali pengukus.

Setelah tiba masa, dia melihat adunan tersebut berkembang dua kali ganda daripada saiz asal dan dia menuang sesudu minyak masak dan terus menggaul sehingga sekata. Adunan tersebut dituang ke dalam acuan berlipat kertas merah yang telah disediakan. Lalu kuih tersebut dikukus sekurang-kurangnya 30 minit.

Pin Hock menanti hasil kuih dengan gelisah. Dia tidak mahu usaha kali ini gagal lagi. Tiba masanya, dia menutup dapur gas dan memeriksa hasilnya. Huat kuih itu berkembang mekar seperti bunga peony. Senyuman nipis mula terukir di bibirnya.

‘Terima kasih kalian, semoga tahun ini merupakan tahun huat bagiku!’ doa Pin Hock dalam hati.

Glosari

Huat – Kejayaan dan perkembangan positif dalam dialek etnik Hokkien Tionghua.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.