22 Disember 2022, 12:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kafe itu menjadi saksi kepada bermacam ceritera pertemuan antara pasangan kekasih, suami dan isteri, ibu dan anak, rakan sekerja atau sahabat yang sudah lama terpisah. Semuanya datang ke kafe untuk bertemu dan berkongsi rasa, meluahkan isi hati dan menikmati detik indah sebuah pertemuan.

Tempoh pertemuan itu tidak menentu. Yang sungguh menguja, majoriti pengunjung tidak akan keluar dari kafe dengan muka masam. Mereka keluar dengan senyuman manis yang terukir di bibir, berjalan seiringan dan berpegangan tangan bagi suami isteri atau pasangan kekasih.

Situasi begitu dapat disaksikan dalam tempoh yang lama di kafe itu, bahkan sejak awal pembukaannya lagi. Sehinggakan orang ramai menggelar Kafe Ikatan Kasih. Perkhabaran itu menjadi sebutan orang dan tersebar luas ke segenap kota metropolitan yang menjadi tumpuan orang demi mencari rezeki. Cerita kafe ini sampai kepada pengetahuan Darwisy.

Keinginan mula timbul dalam hati Darwisy untuk turut sama berkunjung ke kafe itu. Sebelum ini, Darwisy tidak pernah berkunjung ke mana-mana kafe, meskipun sudah banyak kafe baharu dibuka di kota itu. Dia tidak tahu dan tidak pernah mengambil tahu apakah yang ada di dalam kafe, sama ada menu yang disediakan, bahan bacaan yang disediakan untuk bacaan pengunjung, siapakah yang pernah berkunjung ataupun dekorasi dan reka bentuk yang terdapat di dalam kafe tersebut.

Namun, kali ini berbeza, Darwisy nekad untuk berkunjung ke kafe yang disebut-sebut mempunyai daya penarik dan sering kali menjadi lokasi pertemuan banyak orang. Keinginan yang meluap-luap itu seolah-olah memberontak, menerjah di dadanya dan membuatkan dia tidak senang duduk. Darwisy tidak sanggup menunggu lagi! Esok, sejurus sahaja habis waktu kerja, dia akan berkunjung ke kafe itu.

Walau bagaimanapun, hasratnya tersekat apabila memikirkan siapakah yang mahu menemaninya ke kafe itu. Siapakah yang sudi bertemu dengannya, atau sudi memenuhi undangannya? Tidak mungkin dia ke kafe, memesan kopi dan kek tapi makan bersendirian.

Darwisy ke kota ini seorang diri. Keluarganya tinggal di kampung. Kenalannya hanya rakan sekerja, jiran rumah flat tempat dia menyewa dan teman serumahnya. Tidak mungkin dia ingin mengajak rakan serumahnya atau mana-mana rakan sekerjanya semata-mata untuk berkunjung ke kafe itu tanpa alasan yang kukuh.

Engkau dah buang tabiat?

Terngiang-ngiang suara sindirin rakan serumahnya. Kalau nak minum kopi di rumah pun boleh, siap pakej sembang-sembang kosong, baring dan menonton televisyen.

Darwisy terus memikirkan perkara itu hingga malam. Biarpun dia cuba melupakannya setelah tidak menemui siapakah yang boleh menemaninya ke kafe itu atau siapakah yang boleh diajak untuk bertemu. Perkara itu difikirkan sehingga terbawa-bawa dalam mimpi. Benar. Pada malam itu, dia bermimpi seolah-olah dia sedang mencari-cari seseorang dan bertanya, mahukah sesiapa menerima tawarannya untuk berkunjung ke kafe itu. Jika tidak ikhlas pun tidak mengapa. Biar sekadar berpura-pura mengenalinya, bahkan kalau dibayar sekalipun, dia sanggup.

Tidurnya dikejutkan dengan bunyi objek yang terjatuh ke lantai. Lalu mimpinya hilang begitu sahaja. Darwisy tidak berminat untuk mengambil tahu objek apakah yang jatuh itu, kerana dia lebih tertarik dengan apa-apa yang berlaku dalam mimpinya itu. Tidak disangka-sangka keinginan yang membuak-buak itu berjaya menerobos masuk dalam ruang mimpinya. Dia melihat jam loceng yang diletakkan di kepala katilnya, sudah pukul 4.00 pagi. Rasa mengantuknya dibawa pergi oleh rasa gundah hatinya dalam memikirkan siapakah yang ingin menemaninya ke kafe yang dikhabarkan bakal menjanjikan sebuah pertemuan indah kepada warga kota ini.

Masa berlalu dengan begitu cepat sehinggalah kedengaran azan subuh. Darwisy yang sudah tidak dapat melelapkan matanya terus bangun menuju ke bilik air. Namun fikirannya tidak lekang seputar kisah pertemuan yang diidamkan sehinggakan dia tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap apa-apa yang dia lakukan saat itu. Selera makannya hilang. Dia langsung tidak menjamah apa-apa makanan pada pagi itu, selain air kosong yang terasa pahit untuk dia telan. Kerongkongnya terasa sempit.

Apa-apa pun keadaannya, hari ini, dia perlu menggagahkan diri untuk melangkah ke pejabat. Dia tidak boleh beralasan atau mengambil cuti semata-mata untuk ke kafe itu. Lagipun perancangannya, dia ingin berkunjung ke kafe itu pada waktu petang atau sebelah malam. Dia bersiap-siap untuk turun dari rumah sewanya sambil mengambil kunci kereta yang diletakkan di dalam kotak berhampiran pintu masuk.

Tempoh perjalanan dari tempat kerja ke pejabat hanya mengambil masa 15 minit sahaja. Kafe yang terletak di tengah-tengah kota itu mengambil masa setengah jam perjalanan dari rumahnya.

Pada hari itu, kerjanya terganggu dengan fikirannya yang menerawang jauh. Fokusnya hilang kerana sering kali berkira-kira, apakah yang patut dilakukannya demi memenuhi hasrat dan keinginannya itu. Jasadnya berada di tempat kerja, tetapi jiwanya berada di kafe idaman. Kerjanya menjadi perlahan dan tidak produktif kerana berasa dirinya tidak bersemangat dan hilang kesungguhan sehingga menarik perhatian rakan sekerjanya, Razif.

Aku tengok kaumoyok je hari ni, ada masalah?

Boleh kongsi dengan aku.”

Er … tak ada apa-apa. Aku okey je.

Darwisy menafikan. Dia sebenarnya segan untuk berkongsi keinginannya itu dengan orang lain, walaupun rakan sendiri.

Betul ni?

Razif masih tidak berpuas hati dengan jawapan daripada Darwisy. Dia berasa ragu-ragu dengan jawapan yang Darwisy beri.

Betul, aku sihat.

Darwisy cuba meyakinkan.

Razif akhirnya akur dengan kenyataan Darwisy dan berlalu dari situ serta meneruskan kerjanya semula. Namun hatinya mengesyaki sesuatu yang tidak kena dengan rakan sekerjanya itu.

Sepanjang hari itu, Darwisy hanya meneruskan kerjanya seperti robot yang tidak mempunyai apa-apa perasaan. Biasanya dia akan bersemangat dan melakukan kerjanya dengan bersungguh-sungguh dan akan memastikan hasil kerjanya disiapkan dengan cermat dan teliti. Namun pada hari ini, dia tidak fokus pada kerjanya. Apabila tiba waktu rehat, dia menolak ajakan rakan-rakannya untuk makan bersama dengan alasan kurang sihat dan tidak berselera.

Sebaik sahaja habis waktu kerja, Darwisy tidak terus pulang ke rumah. Sebaliknya dia melencongkan keretanya menuju ke tegah-tengah kota sebagaimana yang dia rancang. Tujuannya untuk mengunjungi kafe itu. Apabila hampir tiba ke lokasi yang dia tuju dengan bantuan Maps, Darwisy memperlahankan kenderaannya sambil matanya melilau mencari tempat letak kenderaan. Rezeki bagi dirinya apabila ada satu petak kosong dan tanpa berlengah, dia memulas stereng kereta lalu mencelah masuk ke ruang yang kosong itu. Di kiri dan kanannya sudah pun tersedia dua buah kereta jenama luar negara.

Darwisy tidak terus turun dari kereta, sebaliknya dia hanya menunggu sambil matanya merenung jauh menembusi ke dalam kafe yang hanya berdindingkan cermin lut sinar. Dia memerhati tindak-tanduk dan gelagat pengunjung di dalam kafe itu. Ternyata kafe itu masih dipenuhi banyak orang dan mungkin inilah gambaran yang sentiasa meniti di bibir masyarakat di kota itu sehingga sampai ke telinganya. Pada hari ini barulah dia dapat melihat suasana di dalam kafe itu dengan matanya sendiri. Kebanyakan pengunjung datang berpasangan.

Darwisy terus memerhatikan dari dalam kereta tanpa berhasrat untuk keluar, apatah lagi memasuki kafe itu dan membuat pesanan. Dia hanya memerhatikan sahaja pengunjung yang keluar masuk ke dalam kafe dan benar sebagaimana khabar angin yang sampai ke telinganya. Pengunjung yang datang ke kafe itu jelas sekali mempamerkan perasaan yang gembira. Tiada yang keluar dari situ dengan wajah biasa atau masam. Darwisy teringin untuk mengetahui apakah rahsianya. Tetapi tidak mungkin dia hanya bertanya sahaja, dalam hatinya teringin untuk merasainya sendiri. Masalahnya, dengan siapa? Di dalam kafe yang kedap bunyi itu tidak mampu memberikan gambaran sebenar suasana di dalamnya.

Darwisy tidak sedar yang masa semakin senja. Apabila dia melihat jam di tangannya, jarum sudah menunjukkan pukul 6.30 petang. Akhirnya dia mengubah fikiran, memberanikan diri untuk masuk ke dalam kafe itu biarpun tiada sesiapa yang menemaninya. Dia keluar dari keretanya dan melangkah perlahan menuju ke pintu masuk kafe itu. Apabila sampai sahaja di pintu kafe, seorang wanita sudah sedia menunggu dan bertindak sebagai penyambut tetamu.

Darwisy tersenyum. Sejujurnya dia tidak tahu apakah yang perlu dia lakukan selepas memasuki kafe itu. Ini kali pertama dia memasuki kafe seumpama ini. Dia memilih meja yang berada di satu sudut yang paling hujung sekali. Dia berasa janggal dengan situasi seperti ini. Baru sahaja dia hendak duduk dan memastikan dirinya berada dalam keadaan selesa, datang kepadanya pelayan lelaki untuk mengambil pesanan

Pada sangkaannya, perkhidmatan yang ditawarkan adalah sama dengan mana-mana restoran atau kedai makan yang ada di kota itu. Setelah membelek-belek katalog itu, ternyata perkhidmatan yang ditawarkan amat berbeza sekali. Darwisy meletakkan kafe itu pada kelas tersendiri dan menepati sebahagian konsep yang dibawakan oleh kebanyakan kafe terbaik di dunia. Dalam katalog itu, turut dinyatakan beberapa konsep kafe terkenal yang dihimpunkan dan membentuk identiti baharu kepada kafe itu.

Darwisy melihat-lihat katalog di tangannya sambil pelayan tersebut menerangkan beberapa menu hidangan dan perkhidmatan yang ada. Selain pelbagai jenis minuman khususnya kopi dan beraneka hidangan pencuci mulut bercita rasa barat, perkhidmatan yang ditawarkan adalah seperti sesi terapi dengan pelbagai medium dan kepakaran, walaupun berlangsung secara tidak formal seperti seni lukisan, muzik, biblioterapi, terapi drama dan terapi bermain. Bahkan, ada terapi yang berkait dengan teori psikologi seperti terapi kognitif tingkah laku, psikodinamik dan terapi keluarga. Jika pelanggan yang hadir menginginkan sesi formal, barulah akan dibuat janji temu.

Wah … hebatnya.

Darwisy berasa kagum dengan perkhidmatan yang ditawarkan di kafe itu.

Pelayan itu tersenyum mendengar pujian yang diberikan oleh Darwisy.

Boleh bawakan saya secawan kopi Arabica. Satu hidangan makan petang yang ringan. Er … yang istimewa di kafe ini.

Darwisy teragak-agak kerana realitinya dia tidak pernah mengetahui dan mencuba mana-mana kopi terbaik atau apa-apa hidangan yang sememangnya bercita rasa barat yang memiliki nama yang agak pelik itu.

Darwisy melihat di sekelilingnya. Kafe itu mempunyai sudut dan tema yang berbeza mengikut perkhidmatan yang ditawarkan di kafe itu. Bahkan, ada sesetengah pengunjung yang berbakat diberikan peluang untuk mencuba melukis, mendeklamasi puisi, bermain alat muzik, atau apa-apa persembahan yang mereka mahu. Darwisy juga tertarik dengan satu ruangan di dalam kafe itu yang menempatkan sudut bacaan dan ada ruang untuk berdiskusi dengan kerusi dan meja kopi. Jumlah buku dan pelbagai bahan bacaan lain kelihatan amat banyak sekali menjadikan sudut itu seperti pustaka mini. Suasana di dalam kafe itu santai dan harmoni.

Darwisy membelek-belek lagi katalog yang berada di tangannya. Konsep yang digunakan untuk kafe itu juga tidak terpisah dengan memfokuskan kepada pelanggan tertentu sahaja, tetapi ada konsep secara bersama yang memberikan ruang kepada pelanggan untuk mengenali antara sama lain tanpa mewujudkan sebarang isu yang sensitif yang boleh menimbulkan konflik.

Antara konsep yang diambil daripada bermacam kafe di luar negara dan disesuaikan dengan nilai dan norma masyarakat di kota itu ialah kafe sebagai simbol pertemuan dan tempat berkumpul, berdiskusi dan berkongsi idea seperti Kafe Odeon di Zurich. Art deco merupakan gaya cantik dan klasik bohemian dan terkenal kerana menjadi penulis, penyair, ahli muzik dan intelektual.

Antara lain ialah Cafe Central, Vienna. Kedai kopi palatial ini telah menjadi tempat pertemuan beberapa minda terbesar dunia. Budaya kafe Vienna akan membuatkan pengunjung sanggup menghabiskan masa yang lama di situ dan Vienna sendiri mempunyai sejarah budaya kopi yang kaya, orang berkumpul dan membincangkan politik, agama dan sains. Penulis dan pemikir menghirup minuman yang sesuai dalam perbualan falsafah yang mendalam.

Manakala Bar Klang dan Kilang Bar Kliring, di Kaiserslautern ditubuhkan oleh ahli aktif Rangkaian Kaunseling Tentera. Kaiserslautern, Jerman merupakan pusat saraf Eropah pangkalan tentera global Amerika Syarikat, menempatkan Pangkalan Udara Ramstein dan Pusat Perubatan Wilayah Landstuhl. The Clearing Barrel dibuka untuk veteran dan orang awam. Di situ tetamu boleh menikmati kopi fairtrade, sarapan yang lazat, spageti vegan atau pelbagai mufin dan kuih. Kedai kopi itu bertujuan untuk menyediakan perlindungan yang selamat untuk veteran perang, askar dan keluarga mereka.

Tanpa disedari Darwisy, matahari sudah pun menghilangkan diri di ufuk barat dan warna kemerah-merahan menguasai segenap tempat di kota itu. Suasana yang wujud di dalam kafe itu seolah-olah menjadi tabir yang menutup apa-apa yang berlaku di luarnya. Masing-masing hidup dalam dunia penceritaan, menikmati hidangan sambil berbual-bual, melayan irama muzik, bacaan puisi atau apa-apa aktiviti dan terus diulit perasaan baharu untuk membentuk suasana yang selesa dan terapeutik. Jika dia ingin lebih daripada itu, janji temu boleh dilakukan untuk menghadiri sesi yang lebih formal tetapi jelas sekali banyak orang memilih yang pertama dan lebih santai, jauh daripada kesibukan dan pergolakan di luar sana seterusnya menjadi terapi yang menenangkan jiwa seterusnya mencorakkan lakaran baharu dalam hidup mereka.

Menyedari dirinya sudah lama menghabiskan masa di kafe itu, Darwisy segera bangun dari tempat duduknya. Dia melihat jam yang tergantung di dinding bersama pelbagai hiasan lain yang membentuk dekorasi yang menyejukkan mata. 15 minit lagi pukul 8.00 malam. Dia menuju ke kaunter lalu membayar bil seterusnya keluar dari kafe tersebut dengan tergesa-gesa dengan niat untuk melunaskan kewajipannya sebagai Muslim.

Hakikatnya kafe itu turut menyediakan ruangan untuk solat bagi pengunjung tetapi disebabkan kekalutan yang melanda, Darwisy tidak berfikir ke situ. Kafe itu benar-benar menjanjikan sebuah pertemuan. Meskipun pengunjung hanya datang seorang diri sebagaimana dirinya, Darwisy berasa dirinya menemukan satu bentuk inspirasi, ketenangan dan semangat baharu.

Darwisy kini sudah merancang untuk mengunjungi kafe ini jika berkelapangan. Mungkin beberapa hari lagi atau pada hujung minggu ini dia tidak akan datang seorang diri lagi. Dia tersenyum sambil membelokkan kereta ke arah sebuah masjid yang sememangnya berada tidak jauh dari kafe itu. Dia tidak sabar untuk meneruskan rutin sebagaimana biasa dan tidak lagi berasa segan untuk berkongsi pengalaman ini dengan rakan-rakannya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.