29 Mac 2023, 10:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Fattah pulang dari sekolah seperti biasa melalui jalan di tepi sawah. Dia berjalan terhuyung-hayang, berpusing-pusing ibarat orang mabuk dek riangnya menikmati langit biru.

“Mengapa warna daun padi dah bertukar menjadi coklat dan menggulung ke dalam? Minggu lepas aku lihat padi masih tumbuh tegak dan masih ada pigmen hijau?” Fattah mengerutkan kening dan berfikir-fikir kalau dia tersalah pandang. Persoalan demi persoalan bermain dalam mindanya. Dia meneruskan langkahnya sambil menggigit kuku. Dia mengais-ngais jawapan jauh di sudut benaknya. Dia teringat akan kata-kata guru mata pelajaran Sains bahawa daun pokok mula menguning disebabkan oleh kekurangan air atau cahaya matahari.

Aku tak percaya jika sawah yang terbentang luas tak menerima pencahayaan yang cukup.

Dia terus berlari ke arah punca sistem saliran yang mengalirkan air dari sungai utama ke sawah. Alangkah terkejutnya dia apabila tali air sepanjang tiga kilometer itu penuh dengan sampah yang bertebaran.

Setiap ketua unit peladang sepatutnya cakna tentang infrastruktur saliran dan pengairan untuk memudahkan petani menanam padi mengikut jadual penanaman yang dikeluarkan.

Siapakah yang harus dipersalahkan? Bagaimanakah sampah sarap boleh terkumpul di sini? Fattah rampang memikirkan kebejatan yang dilakukan oleh penduduk. Dia hampir memekik. Tekaknya mulai loya membayangkan nasi yang dimamah sebenarnya hasil daripada air yang hitam pekat, bergumpal dengan zarah kekotoran.

‘Mengapakah penduduk Kampung Permai sudah mula menunjukkan kelakuan yang tidak semena-mena?’ sungut Fattah dalam hatinya.

Mereka tidak ambil peduli lagi tentang kelestarian alam sekitar, semua pentingkan diri sahaja. Sampah tidak dibuang ke dalam tong yang disediakan, malahan dicampakkan ke dalam longkang dan parit tanpa rasa bersalah, tiada resah. Orang yang datang ke kampung juga sama naik. Cacamarba pula yang dibalas oleh mereka setelah diberi baik budi warga kampung. Sisa buangan yang berlonggok dicacatkan lagi dengan balingan sampah oleh tangan durjana penziarah tanpa diundang.

Hipotalamus otak dirangsang melepaskan hormon kortikotropin mencetuskan api kemarahan dalam diri Fattah. Pandangan matanya layu membayangkan manusia hidup dipenuhi dengan tangisan bumi akibat sikap tidak bertanggungjawab penduduk kampung. Sampah sarap dibawa air hujan kelmarin telah menyumbatkan tali air. Kecil hati pesawah. Penat lelah mereka bergilir untuk menanam padi, hanya hampa yang diperoleh bersulam celoteh. Tanah bendang semakin mengering kerana kadar pengaliran air ke sawah semakin perlahan akibat terhalang oleh sisa buangan manusia.

Kira-kira satu kilometer lagi Fattah akan sampai di rumahnya, dia ternampak sekumpulan pesawah membuat kecoh di pondok. “Konon Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) ditubuhkan bertujuan untuk menjaga kebajikan sosial, fasal sampah saja dibiarkan. Cis, nama mereka sahaja berpangkat tetapi kosong!” Jeritan seorang mak cik yang usianya kira-kira 40-an itu membuat dia bergegas ke sana. Api ingin tahu Fattah yang menyala-nyala telah meledakkan satu pertanyaan.

Apakah yang berlaku sebenarnya? Fattah dengar suara terpekik-pekik menghamburkan amarah dari jauh lagi.

Kehadiran aku dipandang sinis. Seorang daripada mereka terus menjawab dengan santun yang kharab, “Aduan dah dibuat, laporan dah diutarakan, apakah tindakan orang-orang berjawatan di kampung? Engkau nampak tali air dah tersumbat, sarat dengan sampah? Habuk saja yang diperoleh jika tanam padi di tanah yang semakin kering. Cis, padi pula tumbuh bukan daripada air yang bersih tetapi sebenarnya hasil daripada air sampah!”

“Ya, saya nampak mak cik! Bukankah sebab orang kampung juga perkara ini terjadi?” soal Fattah tanpa meleret.

Taufan kemarahan mak cik itu sudah mengganas, Fattah pula makin menambah wap dan haba emosinya.

“Kalau betul sebab penduduk kampung, mengapa aku tak nampak usaha pihak berkuasa untuk mengatasi masalah ini? Sebaliknya, sampah dibiarkan terus mencemari sumber air.” Ujaran keras dan renungan tajam menembusi hati Fattah yang gundah melihat pelbagai perwatakan yang dipamerkan orang kampung. Hanya gelengan dan nada dengus mengiringi Fattah sepanjang perjalanan pulang.

Kemegahan kampung yang dipuja-puja Fattah sudah lenyap. Tanaman indah yang mewarnai udara di kampung lesap begitu sahaja. Benih sikap tidak ambil peduli dan kepentingan diri yang tersemai dalam diri penduduk pada akhirnya merosakkan permai sekampung. Dia rindu akan suasana kampung sebelum ini. Sebut sahaja nama Kampung Permai, pengunjung teruja untuk menziarahi kampung kerana terkenal dengan warna-warni hiasan dan reka bentuk perumahan yang menarik.

Fattah, seorang anak perantau, berpindah dari Kuala Lumpur ke Kedah. Dia dan ibunya merelakan hati untuk terus menetap di kampung itu atas hasrat ayahnya ingin menguruskan kebun kelapa sawit. Dia tahu bahawa hanya dengan akur akan perintah dan permintaan pemberi nafkah keluarga, kehidupan seisi rumah tangga terbela.

Fattah terus mengelamun terkenang akan kemeriahan kampung setahun yang lalu. Tiada pembuangan sampah berleluasa di mana sampah-sampah dikumpulkan dan dibakar secara terkawal mengikut jadual berkala. Satu perkara yang lebih membesarkan jiwanya lagi bilamana “Pertandingan Halaman Terunik” dianjurkan oleh JKKK mendapat sambutan hangat. Penduduk kampung menggunakan daya kreatif dan minda inovasi yang dimiliki sepenuhnya demi mencantikkan halaman rumah dengan hiasan istimewa.

Kagum dengan gubahan pokok dan produk kitar semula seperti papan tanda daripada skuter terpakai yang memantas halaman rumah, Fattah merindui detik semangat bersaing yang menunjukkan adrenalin mengalir deras dalam darah penduduk kampung. Alangkah bertuahnya jika waktu itu dapat diputar kembali. Tiada lagi tampak jalur ikhtiar berkobar-kobar dalam kalangan penduduk demi mengabadikan aura keindahan kampung dan kebugaran mereka.

Kekaguman Fattah melambung setelah dia mengetahui bahawa penduduk tidak mengeluarkan kos langsung untuk menghijaukan kawasan kampung. Mereka hanya berbekalkan idea kreatif dan sebulat usaha sahaja. Pembuangan barangan kitar semula bukan kelaziman bagi mereka. Botol plastik, kertas, kaca dan tin aluminium dijadikan kraf tangan yang menarik seperti tanglung, wajah robot, gasing, bakul, pasu dan kelekatu palsu. Kombinasi warna yang pelbagai ditambah pula dengan anugerah tangan yang berseni sememangnya membuat Fattah ternganga kerana gelora ombak teruja semakin kuat dalam dirinya.

Kekacauan timbul antara penduduk kampung membuatkan mereka ego, tidak mahu memberikan apa-apa komitmen lagi berkaitan aktiviti-aktiviti di kampung. Tanggapan janji aku dapat makan, ada pakaian, ada tempat tinggal, dah cukup untuk hidup di sini berlegar memenuhi rangkaian neuron yang kompleks dalam minda mereka. Rutin pembakaran sisa pepejal di kawasan khas oleh pihak bertanggungjawab pula sekadar hangat-hangat tahi ayam.

Sedar atau tidak sedar, hal sedemikian mendesak dan membuka ruang penduduk untuk mula membakar sampah di kawasan terbuka. Kalau bukan kerana Pak Azad mengaburi mata juri berbekalkan wang sebanyak RM2000, pasti kekalutan tidak berlaku. Orang-orang kampung gaduh besar. Hasrat dan keinginan nama dijulang dan diangkat sebagai warga paling kreatif, sanggup dia hilang integriti daripada menerima kekalahan. Penduduk desa mula membusungkan dada apabila berjumpa.

Kehijauan kampung mula memudar menjadi coklat lalu lindap dipenuhi dengan tangisan alam. Asap-asap hitam membuak-buak, habuk kotor memenuhi bumantara.  Peratus karbon dioksida dan nitrogen dioksida meningkat akibat hasil daripada pembakaran sampah yang memudarkan pelangi ceria di kampung. Mata Fattah terasa pedih apabila melihat ramai yang mencampurkan sahaja barangan plastik pakai buang dan tin-tin aerosol dengan sisa buangan yang lain terus dimusnahkan dengan nyala api seperti lava yang dimuntahkan oleh gunung berapi.

Kalau aku ditakdirkan menjadi ozon, memang aku menggila. Aku berbudi untuk menghalang makhluk di bumi daripada sinaran yang mengakibatkan mutasi genetik dan kanser kulit, sebaliknya aku dibalas dengan pencairan logam perisai perlindungan yang telah aku bina.

Baru satu perkara sahaja sudah meleburkan logam kemarahan Fattah ditambah pula dengan satu bencana longgokan sisa sampah. Jikalau mereka tidak membakar, sampah itu dibiarkan bertambun.

Fattah lihat sekarang sudah menjadi tabiat, kalau seorang dah membuang sampah di satu kawasan, orang lain turut ikut juga. Kenapa harus pentingkan diri sahaja?

Fattah akhirnya memberanikan diri untuk bertanya kepada ayahnya. “Jika hendak dibandingkan dengan waktu dahulu, seluruh warga amat sensitif tentang pengurusan sampah tapi sekarang kutip sampah depan mata pun mereka tak mahu,” gertak Halim dengan wajah yang bengis.

“Betul ayah, Fattah hairan penduduk kampung sekarang hanya sibukkan diri dengan urusan masing-masing. Mereka tak kisah suasana kampung masih nyaman atau kelam, sedangkan mereka sendiri gigih berusaha untuk mengekalkan kehijauan desa siang dan malam,” ujaran ayah diakui Fattah tanpa bantah.

Bagaimana dengan pihak bertanggungjawab? Keberadaannya kini tidak memberikan apa-apa manfaat kepada penghuni desa. Fattah tidak melihat sebarang usaha dilakukan untuk memusnahkan kelakuan bilazim penduduk kampung.

Ayah, adakah benar ada khabar mengatakan kerajaan negeri sebenarnya dah memberikan dana untuk membuat satu tapak pelupusan sampah berdekatan dengan kampung kita?

Fattah cuba mengingat kembali sumber berita yang didengarnya. Halim mengeluh sambil menyarungkan kasut but getah dengan pandangan mata yang layu.

Ya, ayah ada dengar juga perbualan orang kampung bahawa kertas kerja dah diluluskan tapi ayah tak lihat sebarang kawasan dipilih apatah lagi diperincikan untuk kegiatan melupuskan sampah saja!

Penghulu kampung juga sama naik, tidak lagi menghiraukan suram atau kelam sebuah desa selagi pihak atasan tidak melawat kawasan. Dana dan peruntukan yang diperoleh hilang entah ke mana tanpa tujuan bermakna. Semuanya bertindak demi kepentingan diri sendiri.

Oleh sebab tiada tempat pelupusan sampah, bahu jalan dan longkang menjadi mangsa. Walau hanya sekecil-kecil sampah dibuang ke dalam longkang, lama-kelamaan membentuk bola sampah gergasi yang menghalang laluan air. Walau hanya sebungkus plastik sampah dibaling dan dicampak begitu sahaja di bahu jalan, selagi menjadi rutin harian masyarakat, lama-kelamaan membentuk distrik yang dihujani unggunan sampah.

“Cis, akhirnya aku hidup dikelilingi sampah, malang sungguh nasib aku!” rintih Fattah tergugat melihat suasana kampung berubah sekelip mata.

Ke arah manakah jari ini harus ditudingkan? Masyarakat atau pihak bertanggungjawab? Hidung penduduk tercium oleh bau busuk bagaikan bangkai dibiarkan tanpa ditanam. Reputnya kotoran bahan pepejal mengeluarkan gas-gas yang berbau sengit. Mereka hidup menghirup dan menghembus jumantara yang toksik. Nafas sesak, emosi terusik, berang terdetik. Jijik dan dekil menyelubungi kawasan kampung. Jiwa mereka bergelumang dengan lumpur kehinaan. Sistem perparitan juga akhirnya tersumbat. Segala perkara yang berlaku berpunca daripada satu perkataan.

Ah, memang kampung sampah!

Fattah bingit mendengar erang masyarakat berkenaan ketidakselesaan bernyawa di sini. Dia tidak mampu berkata-kata lagi, tiada yang boleh mengubah selagi mereka tidak berniat untuk berubah. Wakil rakyat yang telah dipertanggungjawabkan amanah kepadanya pula membisu begitu sahaja.

Hanyut dalam arus kekuasaan, tenggelam dalam laut kelam, dibutakan oleh wang, dirasuk oleh nafsu dan kehendak hati mengundang kepada pengabaian tanggungjawab. Penduduk pula kekal bermuka selamba dan berjalan lengah. Tangan mereka kotor dicemari oleh tindakan semberono mencampakkan bungkusan sampah merata.

“Dah tiga hari hujan turun tanpa henti, tergendala kerja aku nak kutip buah sawit, hasil dah kurang sekarang,” omelan Halim tanpa dia sedar bahawa anaknya mendengar ayat gusar yang dilontarkan.

Halim mengangguk tanpa membalas sepatah kata. Belum sempat ayah mengenang hasil penjualan buah sawit, dia melihat longgokan sampah dihanyutkan oleh air di sekeliling kediaman.

Fattah, lihat paras air di longkang tepi rumah, air hampir penuh!

“Ayah, Fattah nak tengok muara sungai, mesti air sedikit sahaja lagi akan melimpah,” nada rayu Fattah akhirnya mengizinkan dia untuk meredah hujan lebat demi melihat keadaan di sungai. Fattah bergegas keluar rumah tanpa diarah.

Fattah mengayuh basikal laju-laju bagai ingin terbang ke awan. Dia berdiri kaku dengan mata terbeliak sebaik sahaja tiba di tepi sungai.

“Eh, apa benda yang terapung-apung itu?” ujar Fattah yang kebingungan tentang kejadian yang berlaku.

Mungkin itu hanya batang-batang kayu dan ranting-ranting pokok yang patah. Dia masih kelu menunggu sambil memikirkan kejadian yang bakal berlaku. Alangkah tubuhnya tersentak apabila dia melihat objek yang melampung itu sebenarnya sampah sarap yang berbondong-bondong dihanyutkan oleh air yang mengalir begitu deras menuju ke kampung. Fattah terus pulang tanpa leka.

“Ayah, dah banjir, banjir sampah!” Dia menutup lopong mulutnya dengan sebelah tangan kerana masih tergemap menyaksikan fenomena itu. Arus air yang kuat membawa longgokan sampah mengalir laju ke kawasan kediaman. Kecelakaan menimpa tanpa henti. Lalainya manusia tidak bersyukur atas nikmat kedamaian dan kesejahteraan di bumi malahan dimusnahkan begitu sahaja.

Siapakah yang harus dipersalahkan? Timbunan sampah dan kecuaian semua pihak akhirnya mengundang bala. Kampung Permai dibanjiri sampah, harta benda ditenggelami air yang kotor, hitam dan pekat likat. Separuh badan setidak-tidaknya terendam dalam aliran jijik ditambah pula dengan bau yang kurang enak. Hanya fikiran menyelamatkan diri masing-masing bermain dalam minda warga kampung. Keadaan bingit akibat huru-hara penduduk kampung memaksa mereka untuk mengaut barang berharga terus keluar dari rumah.

Penduduk kampung dibenarkan pulang semula ke kawasan kediaman masing-masing setelah banjir surut. Nasib semuanya seperti lebai malang, harta benda dan tanaman sudah rosak, wabak lain pula menyerang. Sampah yang berserak-serak terutama kotoran sisa pepejal telah membawa mudarat, melemahkan kudrat penduduk untuk menjalani kehidupan semula.

Lalat dan tikus mengerumuni longgokan sampah membuat seluruh warga resah, ada sesuatu yang membuat jiwa mereka menggelupur. Untung sepanjang jalan, malang sekejap mata. Bersenang lenang mereka membuang sampah saban tahun tanpa hirau, penghujungnya membawa malapetaka tanda murka.

Mereka hidup di bawah alam kabut, dipenuhi angin cicik, kesejahteraan pula semakin merosot. Seorang demi seorang menunjukkan gejala demam panas, sakit kepala, loya, muntah-muntah dan cirit-birit.

Simptom yang dilihat paling ketara apabila Fattah melihat seorang lelaki pertengahan usia memandangnya dengan mata yang merah seperti biji saga. Tangan dan kakinya dipenuhi bintik-bintik merah. Kulitnya kering seperti radang berwarna ungu atau abu-abu pada kulitnya yang sedikit gelap. Kakinya longlai berjalan dengan pandangan yang suram sambil menggaru-garu tangan dan kakinya.

Kesibukan mengemas rumah termasuklah membuang barang yang rosak hanya memburukkan lagi keadaan apabila longgokan sampah akibat banjir dibiarkan begitu sahaja. Tiga hari berlalu, keadaan masih sama tetapi ada rasa curiga dan wasangka akan kesegaran warga kampung. Tingkah laku canggung yang dipamerkan tulat dilihat oleh Fatah sudah tersebar kepada penduduk yang lain. Ramai menuju ke klinik berdekatan kampung untuk mendapatkan rawatan.

Fattah murung mengenangkan perihal kampung. Harta rosak, badan pun tergadai. Doktor mengesahkan penghuni Kampung Permai diserang penyakit berjangkit leptospirosis. Hasil buangan haiwan perosak khususnya tikus yang hadir setelah mendapat undangan daripada timbunan dan longgokan sampah yang masih terbiar akhirnya memudaratkan penduduk. Sumber air tercemar, haus hilang, sakit lain yang dapat.

Penduduk mulai rasa hilang harapan, hilang segala-galanya. Harta sudah musnah, sakit pula datang menimpa. Wang yang banyak digunakan demi kepentingan diri sendiri akhirnya tidak memberikan apa-apa kebahagiaan.

Penghulu kampung dan sekutunya kelihatan kesal. Kebejatan yang dilakukan membina gunung kesengsaraan lalu meleburkan lava duka nestapa terus menghancurkan jiwa penduduk desa. Mata mereka terbuka luas bahawa sikap acuh tak acuh tentang kelestarian alam sekitar telah merumitkan perjalanan hidup mereka.

Kemudaratan yang menyelap telah mengetuk hati penduduk untuk memperbaiki kesilapan dan kealpaan mereka atas kurniaan yang diberikan secara percuma tanpa harus dibayar atau diganti rugi. Gotong-royong mula dijalankan dengan rasa hasrat yang baru ditambah dengan perasa permuafakatan membentuk hidangan nilai murni.

Undang-undang pembuangan sampah diperketat, audit pendanaan berkaitan segala kegiatan di kampung dikaji semula. Mereka sedar bahawa hanya berharmoni dengan alam tabii, dikara sebuah kehidupan itu dapat digarap. Aura keindahan dan ketenangan itu akan kekal apabila manusia menjadi sebahagian daripada alam.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.