21 November 2024, 17:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Oleh: Muhammad Adam Raihan Mohd Nasir

Bangi – “Jika saya menjadi peguam, saya hanya dapat membantu satu orang dalam satu-satu masa, namun jika saya menjadi seorang penulis, saya akan dapat membantu banyak orang dalam satu-satu masa.”

Hal ini dinyatakan oleh Munsyi Dewan (Sastera), Nisah Haron dalam Program Bimbingan Penulisan Artikel yang berlangsung pada 15 November anjuran Pusat Kajian Bahasa Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Program yang berlangsung dengan sambutan yang menggalakkan daripada para peserta ini rata-rata dihadiri oleh mahasiswa peringkat Sarjana dan Sarjana Muda Pengajian Arab dan Tamadun Islam (ArabIC).

Antara objektif program yang dilaksanakan ini adalah untuk mendidik dan mengasah kemahiran peserta dalam penulisan ilmiah khususnya dalam penulisan artikel yang berkualiti.

Perkongsian ilmu yang disampaikan oleh graduan Fakulti Undang-Undang ini tidak hanya berlegar sekitar ilmu teknikal penulisan yang berkesan tetapi juga turut menyelitkan perkongsian pengalaman realiti sebenar dunia penulisan kreatif. Kongsinya,

Selepas beberapa tahun berkecimpung dalam dunia mahkamah dan perundangan, saya berhasrat untuk berehat daripada dunia itu. Saya sedar saya ada minat yang mendalam terhadap penulisan kreatif (terutamanya), jadi saya ambil keputusan untuk meninggalkan kerjaya saya sebagai seorang peguam dan terus fokus menjadi penulis profesional sepenuh masa.

Keputusan yang dibuat ini bukanlah kerana minat semata-mata tetapi atas dasar prinsip yang lebih menjadi keutamaan.

Prinsip penulis wanita ini secara tidak langsung memperjelaskan lagi bahawa dengan menulis sesuatu ilmu, tulisan tersebut akan kekal dan dapat dibaca oleh ramai orang sekali gus mampu menyumbang manfaat kepada masyarakat daripada satu generasi ke generasi yang lain.

Bertempat di Dewan Mesyuarat Bitara Fakulti Pengajian Islam, UKM, Program Bimbingan Penulisan Artikel ini telah disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Ermy Azziaty Rozali selaku Pengerusi Pusat Kajian Bahasa Arab dan Tamadun Islam, UKM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.