Diterbitkan pada 31 Oktober 2024, 07:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuching – Lokman Hakim, 39 tahun, menerima penganugerahan sebagai Penulis Harapan Sarawak 2024 dalam Majlis Anugerah Sastera Sarawak 2024 yang berlangsung di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri Sarawak, pada malam tadi.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar.

Sebagai penerima anugerah tersebut, beliau membawa pulang wang tunai berjumlah RM2000 ringgit, watikah penghormatan negeri dan sepersalinan pakaian.

Anak kelahiran Sibu ini sememangnya sudah bergiat lama dalam dunia penulisan sejak kecil lagi. Latar belakangnya dalam bidang kejuruteraan tidak menghalang beliau untuk terus giat menulis demi memajukan kesusasteraan dan berkongsi perasaan serta ideanya kepada para pembaca.

Beliau yang dikenali sebagai penulis fiksyen sains dan fantasi telah memenangi banyak sayembara penulisan sebelum ini, antaranya termasuklah Hadiah Sastera Penulis Sarawak, Hadiah Sastera Selangor, Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan Hadiah Cerpen Komanwel.

Sejak tahun 2019, beliau telah menerbitkan sebanyak 12 buah novel, dua buah kumpulan puisi dan sebuah kumpulan cerpen. Karyanya juga pernah diterbitkan dalam pelbagai media cetak antaranya termasuklah dalam majalah Dewan Budaya, Dewan Sastera, Pelita Bahasa, Tunas Cipta, akhbar Berita Harian, Mingguan Malaysia, Utusan Borneo, Utusan Sarawak dan SelangorKini.

Novel Lokman Hakim Jaz untuk Dayana terbitan DBP.
Novel Kosmonaut terbitan DBP.

Ketika ditemu bual oleh wartawan JendelaDBP, beliau yang juga merupakan penggemar karya SN Arena Wati mendedikasikan penganugerahan ini kepada isteri dan anaknya. Bercakap tentang harapannya terhadap penulis muda yang boleh memajukan dunia kesusasteraan negara, beliau menyatakan:

Saya nampak penulis muda sangat aktif dengan cara penulisan masing-masing. Ada kesungguhan dalam diri penulis muda untuk menulis dalam pelbagai platform serta pandai mencari peluang. Penulis muda juga perlu menguatkan aspek pemikiran dan gagasan dalam karya mereka.

Selain itu, beliau juga berharap agar adanya usaha kolektif oleh semua pihak supaya karya sastera dapat diangkat ke peringkat global.

Lokman Hakim bersama-sama dengan watikah penghormatan negeri sebagai Penulis Harapan Sarawak 2024.

Bercakap tentang dunia digitalisasi yang berkemungkinan menyebabkan masyarakat tidak lagi terlibat dalam dunia pembacaan, beliau menyatakan bahawa kita perlu berlapang dada menerima perubahan tersebut:

Kita kena menerima perubahan bentuk tersebut. Saya tengok ada yang baca cerpen dan teks sastera di TikTok. Namun, bagi saya pembacaan konvensional akan masih bertahan kerana ada ‘sesuatu’ yang akrab antara manusia dengan teks yang tidak boleh digantikan dengan digital.

Beliau juga turut berkongsi tentang karya kegemarannya yang diulang baca banyak kali, iaitu karya SN Arena Wati bertajuk Pada Sayap Burung Helang.

Saya suka gagasan yang dibawa SN Arena Wati dalam cerita itu. Saya juga suka cara beliau mengemukakan visinya terhadap bahasa Melayu. Sangat menarik.

Sekarang, Lokman Hakim berniat untuk mengembangkan diri dalam penulisan dengan mengasah bakatnya menulis esei. Beliau menggemari esei kesenian dan kesusasteraan oleh penulis dari Ireland, iaitu Brian Dillon.

Berkongsi projek penulisannya sekarang dan akan datang, beliau menyatakan bahawa beliau sekarang sedang bergiat dalam kerja penterjemahan.

Sekarang, saya sedang menyambung siri Kronikel Dewata dan menterjemahkan Ulysses dan cerpen Edgar Allan Poe.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi