Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Jurufoto: Norfazrie Isquandy Nurol
Kuching – Sebanyak 12 buku baharu penulis Sarawak terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dilancarkan di Pentas Utama, The Hills, pada pagi tadi. Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Timbalan Premier, Menteri Kesihatan Awam, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak. Pelancaran buku tersebut adalah bersempena dengan majlis perasmian Sarawak Book Fair and Authors Festival 2024.
Penerbitan buku terbaharu ini membuktikan iltizam dan tekad penulis Sarawak dalam menyuburkan dan memperkembangkan penulisan berbahasa Melayu. Hal ini juga menterjemahkan semangat dan kesungguhan penulis Sarawak dalam berkarya demi kebaikan masyarakat.
Penerbitan buku tersebut juga merangkumi pelbagai genre kreatif dan bukan kreatif. Antara buku yang diterbitkan termasuklah Asuhan Cinta Remaja dan Psikologi dalam al-Quran (Abang Ishar Abang Yaman), Menyingkap Alam dari Jendela Akal (Antologi Karya Penerima Hadiah Sastera Tunas Sarawak), Sape (Hallan Hashim), Kumpulan Sajak Cerita Sebuah Kehidupan (Hipani Alwi), Kumpulan Sajak Sonata Embun Kasihku (Ainul Nuriman), Diari Irtiyah, Dunia Dura, Parasit dan Paranoia (Radzemah Bolhassan), Lada Hitam Permata Sarawak (Izzah Abd Hamid dan Wan Abrina Wan Yahaya), dan Trans-Malaysia (Yusuf Mustanir).
Kesemua penulis buku terbaharu ini merupakan penulis Sarawak yang terdiri daripada penulis muda dan penulis mapan. Gabungan kedua-dua generasi ini secara tidak langsung menterjemahkan keupayaan DBP dalam mempertemukan idea dan wacana menerusi penerbitan buku.
Selain pelancaran buku tersebut, turut diadakan ialah Penyampaian Anugerah Perpustakaan Awam Premier Sarawak 2024 dan Anugerah Penulis dan Penerbit Sarawak 2024.
Turut hadir menyempurnakan majlis ialah YBhg. Dato Dr. Jeniri Amir, Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP dan YBrs. Tuan Haji Japri Bujang Masli, Ketua Pegawai Eksekutif, Pustaka Negeri Sarawak.