20 Oktober 2024, 11:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Peserta dari Malaysia, Tai Weuy Liang muncul sebagai Johan Sayembara Deklamasi Puisi Bahasa Melayu Antarabangsa ke-2 (SDPBMA2) 2024 yang berlangsung di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma DBP pada 19 Oktober lalu.

Dengan kemenangan itu, Weuy Liang, 18 tahun, membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta piala dan sijil penyertaan.

Mendeklamasikan puisi berjudul “Jika Bahasaku Itu”, karya M. Ashikin dengan penuh penghayatan dan kekuatan vokal, beliau kelihatan jauh mengatasi sembilan orang peserta lain.

Tai Weuy Liang ketika mendeklamasikan puisi.

Gelaran naib johan pula menjadi milik Nusanwari Ha’ dari Thailand yang mendeklamasikan puisi “Merdeka Bahasaku”, karya Ami Masra. Nusanwari turut menerima wang tunai RM3,000, piala dan sijil penyertaan.

Sementara itu, tempat ketiga dimenangi peserta dari Syria, Roa’a Muhanad Alhamad yang membawa pulang wang tunai RM2,000, piala dan sijil penyertaan. Menariknya, Roa’a juga mendeklamasikan “Merdeka Bahasaku”.

Pemenang tempat keempat dan tempat kelima pula menjadi milik Yasir Hassan Sayid Ahmed dari Arab Saudi dan Marianna Gurgutsova (Russia).

Mereka menerima wang tunai RM1,000 dan hadiah iringan, serta sijil penyertaan. Yasir mendeklamasikan puisi “Cuit-cuit Anak Muda”, karya Mohd. Ghazali Taib, sementara Marianna dengan puisi “Dalam Kekusutan” (Sasterawan Negara Datuk Baha Zain).

Penerima sagu hati yang membawa pulang wang tunai RM500 dan sijil penghargaan ialah Ayse Gul Uzundemir (Turkiye, puisi “Bahasa Setinggi Kurnia” karya Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan), Ahmed Barakat (Palestin,  puisi “Kau Hidup dalam Sejarah yang Panjang” karya Wan A. Rafar), Maria Kuwata (Jepun, puisi “Cuit-cuit Anak Muda”), Yu Shenghan (China, puisi “Cuit-cuit Anak Muda”), dan Khanak Amit Jain (India, puisi “Biar Semerbak Mewangi” karya Norazimah Abu Bakar).

Semua puisi yang dideklamasikan oleh para peserta diambil daripada antologi puisi Bahasa Bonda, terbitan GAPENA (2022).

Panel juri bagi sayembara ini ialah YBrs. Tuan Haji Hamzah Hamdani (ketua), YBhg. Datuk Dr. Lim Swee Tin, YBhg. Brig. Jen. Dato’ Dr. Mohd. Radzi Hj. Abdul Hamid, YBrs. Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi dan YBrs. Dr. Syahidatul Munirah Badrul Munir.

SDPBMA2 diadakan bertujuan untuk menarik minat para mahasiswa terhadap kesusasteraan dan bahasa Melayu. Sayembara ini pernah dianjurkan beberapa kali oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) suatu ketika dahulu bersempena dengan Festival Bahasa dan Sastera, tetapi dihentikan kerana kekangan kewangan.

Selain itu, sayembara ini penting diadakan kerana dapat menarik minat warga asing untuk mempamerkan kemahiran bertutur, dan mendeklamasikan puisi dalam bahasa Melayu.

Secara tidak langsung, sayembara ini juga membantu warga asing dalam mengembangkan minat dan kecintaan mereka terhadap bahasa dan kesusasteraan Melayu, khususnya puisi.

Kesemua hadiah kepada pemenang disampaikan oleh YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi.

Turut hadir memeriahkan sayembara tersebut ialah YBhg. Datuk Haji Zainal Abidin Datuk Wira Borhan, Presiden GAPENA; YBhg. Dato’ Dr. Mohd. Anuar Haji Rethwan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP; YBrs. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Timbalan Presiden GAPENA merangkap Pengarah SDPBMA2 dan Duta Besar Republik Turkiye di Malaysia, Tuan Emir Salim Yuksel.

Hadirin juga turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian oleh Farah Nabilla Noor Anuar dan kumpulan Dewangga Sakti.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.