Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangOleh: Muhammad Azri Hisyam Farizan
Sungai Petani – “Pertandingan Eksplorasi Bahasa bukan sahaja memberi peluang kepada guru pelatih untuk mempelajari aspek bahasa secara interaktif, tetapi juga membantu mereka membina keyakinan, meningkatkan kreativiti serta pastinya memupuk semangat bekerjasama”.
Demikian antara ucapan daripada Tuan Haji Abdul Rahim Othman, Ketua Jabatan, Jabatan Pengajian Melayu Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Sultan Abdul Halim (IPGMKSAH) ketika menyampaikan ucapan dalam Pertandingan Eksplorasi Bahasa.
Pertandingan ini melibatkan semua pelajar pengajian Melayu yang terdiri daripada pelbagai kaum. Eksplorasi Bahasa ini memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang inklusif dan harmoni. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah menjadi titik persamaan yang menghubungkan pelajar daripada pelbagai latar belakang etnik.

Pertandingan ini diadakan sempena Bulan Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat IPGM Kampus Sultan Abdul Halim. Pertandingan ini diadakan adalah untuk memperkasakan penguasaan bahasa Melayu dalam pelbagai aspek dalam kalangan bakal pendidik. Selain itu, Eksplorasi Bahasa ini juga dapat memupuk semangat bekerjasama dalam satu pasukan ketika menyelesaikan cabaran permainan bahasa yang diadakan.
Terdapat lapan stesen permainan bahasa yang melibatkan pelbagai aspek tatabahasa dalam Bahasa Melayu. Antaranya ialah Lukis dan Teka Peribahasa, Susun Kata Majmuk, Radio Buruk Simpulan Bahasa, Kata Banyak Makna, Teka Penjodoh Bilangan, Kata Nafi, Rampas Pen Kata Kerja dan Kata Pemeri.

Pendekatan inovatif dalam pertandingan ini bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga berkesan dalam memperkukuhkan penguasaan bahasa Melayu.
Program ini diharapkan berfungsi sebagai alat penyatuan dan merapatkan hubungan antara pelajar berbilang kaum dalam kalangan bakal pendidik. Pendekatan yang menggabungkan pendidikan dan hiburan ini akan menjadikan bakal pendidik lebih bersedia menguasai bahasa dan menggunakan ilmu yang didapati di dalam kelas nanti.