Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangTanjong Malim – Apresiasi Puisi Muallim Diamond Creeks yang berlangsung di Gerchang Lake House, Diamond Creeks pada 29 September lepas menyaksikan pertemuan penyair berbeza generasi.
Majlis tersebut merupakan anjuran Komuniti Sastera Muallim dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dan bertemakan alam dan kemanusiaan.
Antara penyair yang mendeklamasikan puisi dalam majlis tersebut ialah pengasas Komuniti Sastera Muallim, Encik Zakaria Ariffin, Dr. Zakaria Ali, Dr. Hasrina Baharum, Chai Loon Guan, Syahidatul Munirah, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Dr. Norzuraina Mohd Noor, Dr. Ghazali Din, Dr. Ariff Mohammad, Mohamad Fairul Rashid, Muhammad Awwal Hakimi, Ridzuan Harun, Darwisyah Afrina Kamarul-Anuar dan karyawan DBPWU, E Pian a/l Pro Poul.
Majlis ini bukan sahaja menampilkan pendeklamasi sajak semata-mata, malah turut mengetengahkan puisi lain seperti gurindam yang didendangkan oleh Darwisyah Afrina daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Awwal Hakimi yang merupakan Juara Sayembara Syair Peringkat Sekolah Kebangsaan Muallim 2024 turut mendendangkan syair. Selain itu, terdapat juga pementasan monolog yang diterajui oleh Syahidatul Munirah yang menambahkan lagi seri majlis tersebut.
Turut hadir memeriahkan majlis tersebut ialah Tan Sri Johan Jaafar, Zaidi Omar (pelakon), mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan karyawan DBP.
Majlis ini telah disempurnakan dan dirasmikan oleh Encik Armin Azhari Salleh, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU).