28 September 2024, 14:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Damansara – Kumpulan puisi pertama Khoo Phau Liang, iaitu Manusia yang Diikat Jamin Tuhan dan Rafi Harumin bertajuk Bukan Perindu terbitan KataPilar memaparkan kejujuran, imej yang unik dan sederhana serta makna yang penting dalam kehidupan.

Perkara tersebut diungkapkan dalam program Wacana dan Pelancaran Debut Pertama bagi kedua-dua penyair muda tersebut yang berlangsung di Tintabudi Bookshop, TTDI Plaza, malam tadi.

Wacana tersebut menampilkan Qurratul ‘Ain sebagai moderator dan ahli panel, iaitu Khoo Phau Liang, Zaen Kasturi dan A. Muziru Idham.

Kedua-dua buku puisi ini mempamerkan gaya dan suara kepenyairan Khoo dan Rafi yang tersendiri. Puisi penyair muda ini tidak terlalu mendalam dan ideologikal tetapi memberikan impak yang besar dalam kehidupan dengan pemaparan hal-hal kecil yang berada di sekeliling kehidupan.

Antara puisi unik yang dicuit dalam wacana tersebut oleh Qurratul ‘Ain ialah puisi Khoo yang bertajuk “biografi ais”.

Oh, ais pun boleh diceritakan dari sudut naratif dalam puisi. Khoo mengesan benda-benda yang kecil seperti gula, semut dan sebagainya.

Ketika ditanya oleh moderator mengapa memilih imej-imej yang kecil dan sederhana tersebut untuk dimasukkan dalam puisi, jawapan Khoo mudah sahaja:

Saya tidak pandai menulis ‘benda’ besar. Saya cari ‘benda’ yang saya tahu dan nampak polos. Ketika saya sedang mencari idea, saya akan tengok benda-benda yang jarang orang tulis.

Dalam hal yang lain, A. Muziru Idham pula menyatakan bahawa beliau sebagai pembaca melihat wacana dan kesejajaran tema dalam dua kumpulan puisi ini.

Saya melihat kedua-dua penyair ini membawa tema yang hampir sama, iaitu tentang ibu. Walaupun ada hal lain, tetapi yang dominan ialah ibu.

Selanjutnya, beliau memerihalkan bahawa “ibu” di sisi Khoo dan Rafi adalah sangat berbeza. Cara pandang, naratif dan pengucapan bahasa membezakan kedua-dua penyair tersebut apabila memperkatakan tentang ibu.

Ketika mengulas tentang tema yang selalu digunakan oleh penulis pemula seperti keluarga, Zaen Kasturi sebagai penyair mapan menganggap bahawa perkara itu tidaklah berlaku hanya pada penyair pemula.

Beliau memberi contoh tentang puisinya yang terbaharu juga berkenaan tentang ibu. Katanya lagi:

Idea sebenar ‘gunung’ sekalipun jika tidak ditulis dengan baik maka tidak sampai puitis dan rasanya kepada pembaca.

Beliau menjelaskan lagi bahawa setiap penyair akan melalui prosesnya yang tersendiri dalam mematangkan karyanya.

Ketika mengulas tentang penyair muda lagi, Zaen menyatakan bahawa walaupun sudah “berumur”, namun beliau tetap mencari, membaca dan menikmati puisi penulis muda.

Zaman saya dahulu lain dan zaman penyair muda sekarang juga lain. Saya ingin menikmati zaman penyair muda sekarang.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.